PADA mulanya, mereka menjadi penasihat pelanggan dalam perniagaan, dua sahabat karib ini akhirnya meninggalkan kerjaya yang lumayan untuk menceburi bidang keusahawanan.

Sharul Nizam Ishak dan Mohd Qusyairi Mohd Amri nekad meninggalkan kerjaya sebagai pegawai di sebuah bank terkemuka hanya untuk menceburi bidang perniagaan bateri kereta dengan membuka cawangan bateri berjenama Bateriku.com.

“Dalam banyak pelanggan yang mendapat khidmat nasihat bank di tempat kami bekerja, kami merasa tertarik dengan perniagaan ini yang kami anggap mempunyai prospek perniagaan yang sangat baik.

“Memang keputusan yang kami ambil adalah sangat berisiko, tetapi kami beranikan diri kerana sesuatu yang tidak dicuba, maka kita tidak akan tahu hasilnya,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Four Qul Batteries (M) Sdn Bhd.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan alat bateri

Sharul Nizam Ishak dan Mohd Qusyairi Mohd Amri di hadapan salah satu cawangan Bateriku.com yang dimiliki mereka.


Lebih menakjubkan, keputusan untuk terjun ke bidang tersebut dibuat ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

Malah katanya, pada bulan pertama perniagaan, pihaknya berjaya menjual 85 biji bateri hanya di satu outletnya yang pertama di Bandar Botanic, Klang.

Paling mengejutkan kata beliau, jualan pada bulan kedua telah mencecah hampir 300 biji.

Dalam satu wawancara bersama media di Kuala Lumpur baru-baru ini, Sharul bersyukur kerana setelah berkhidmat selama 25 tahun dalam dunia perbankan, keputusan yang diambil itu dianggap sangat berbaloi.

Katanya, pengalaman berurusan dengan pelbagai pihak dalam perniagaan telah menjadikan motivasi berguna kepadanya untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

“Memang pelik kerana kami memulakan perniagaan ketika Covid-19 iaitu di saat kebanyakan perniagaan juga telah terjejas teruk sehingga ada yang terpaksa menutup perniagaan.

“Namun Alhamdulillah, jangkaan kami adalah tepat apabila perniagaan bateri kenderaan yang diceburinya telah membuahkan hasil,” ujarnya.  

Kata Sharul, pandemik Covid-19 telah benar-benar memberikannya peluang untuk menyelesaikan begitu banyak kenderaan yang mempunyai masalah bateri akibat PKP. 


Sharul Nizam Ishak dan Mohd Qusyairi Mohd Amri menunjukkan salah satu produk Bateriku


Bagi rakan kongsi yang juga Ketua Pegawai Operasi Four Qul Batteries, Mohd Qusyairi Mohd Amri pula berkata, beliau tidak menyesal mengikut jejak Sharul Nizam yang berhenti kerja di bank untuk menjual bateri.

Berasaskan kepada prinsip “tidak cuba tidak tahu”, syarikat itu kini mempunyai beberapa cawangan Bateriku.com di Selangor termasuk di Bandar Botanic Klang, Bandar Puncak Alam, Bandar Semenyih dan Telok Panglima Garang.

Malah sambutan yang diberikan juga boleh dikatakan amat menggalakan dan pihaknya kini merancangkan untuk memperluas lagi operasi dan perniagaannya.

“Kini, kami berjaya menjual lebih satu ribu biji bateri sebulan dan saya yakin perniagaan ini akan dapat kami kembangkan dengan lebih meluas dalam tempoh waktu yang singkat.

“Kini kami telah mencuba dan sudah tahu mengenai hasilnya, maka itu kami tidak akan berlengah untuk merangka pelbagai strategi perniagaan pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata, apa yang membezakan perkhidmatan yang ditawarkan syarikatnya termasuklah menyediakan perkhidmatan penghantaran atau pemasangan bateri dalam lingkungan jarak 20 kilometer tanpa apa-apa caj.

Mohd Qusyairi menambah, dengan menawarkan mutu produk dan perkhidmatan yang berkualiti, beliau berterima kasih kepada masyarakat yang telah dan akan memilih produk Bateriku.com untuk kenderaan mereka.

Orang yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan Bateriku boleh menghubungi talian 011-59599519 untuk kawasan Puncak Alam, Bandar Botanic (011-18866001), Semenyih (014-3773175) dan Telok Panglima Garang (01157557731). - KitaReporters/Kenyataan Media


6
9
0
14
0

Copy Link: