Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 8 April 2023 telah melancarkan Program Kita-Untuk-Kita (K2K), sebuah inisiatif di bawah Belanjawan 2023, yang bertujuan untuk meningkatkan daya huni perumahan awam. 

Program K2K bertujuan untuk memangkin sokongan terhadap komuniti perumahan awam dan pengurusan bangunan bagi menangani cabaran sosial, ekonomi dan fizikal melalui empat cabang kritikal, iaitu, pemerkasaan komuniti, pengurusan bersama komuniti, menambah baik penjanaan pendapatan dan reformasi polisi, yang akan dimulakan di Kuala Lumpur dan diperluas ke Selangor. 

Program pelancaran ini turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Haris Kasim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Dr Nor Fuad Ahmad; dan wakil-wakil dari agensi-agensi tempatan, yayasan, persatuan dan komuniti PPR Kampung Baru Hicom. 



Amirudin berkata, "Saya amat teruja melihat inisiatif-inisiatif yang digerakkan oleh Think City dalam membantu komuniti dalam mendepani cabaran COVID-19. 

"Usaha-usaha ini telah berubah menjadi sesuatu yang lebih besar dan berpanjangan, dengan sokongan daripada sektor swasta dan organisasi yang bukan berasaskan keuntungan." 

"Program K2K ternyata dapat menempuhi ujian masa dengan memperkasa komuniti melalui pemberdayaan ketua-ketua komuniti. 

"Ini ialah satu contoh usaha Kerajaan Negeri Selangor yang terus komited dalam mengubah persepsi perumahan awam yang dahulunya dipandang rendah dan tidak diingini, ke arah mewujudkan persekitaran yang bukan sahaja menawarkan perumahan mampu milik yang berdaya huni kepada rakyat, tetapi juga supaya mereka dapat hidup secara bermaruah.”

Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed berkata, “Selaras dengan Malaysia Madani, pelancaran hari ini menekankan sebuah matlamat bersama dalam mencapai hasil yang lebih saksama dan responsif kepada keperluan dan aspirasi komuniti. "Dalam kita mengusahakan inisiatif-inisiatif dalam masa yang terdekat ini, kami berharap untuk membentuk sebuah haluan yang demokratik dan berdaya tahan berasaskan kepercayaan dengan komuniti perumahan awam, jaringan dan rakan usaha sama untuk melaksanakan program-program yang komprehensif dan berkesan. 

"Usaha-usaha ini juga selari dengan strategi syarikat induk kami, Khazanah Nasional iaitu Advancing Malaysia, untuk menyumbang kepada nilai sosial dan ekonomi yang memberikan impak kepada rakyat Malaysia.” 

Program K2K ini akan diterajui ketua komuniti dan organisasi berasaskan komuniti, disokong oleh Think City melalui kolaborasi dengan rakan usaha sama dan organisasi bukan kerajaan (NGO). 

Program ini juga turut diperkukuh oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan yang merangkumi pemegang-pemegang taruh awam dan swasta bagi menyegerakan koordinasi dan pelaksanaan senada dengan semangat Malaysia Madani, sekali gus memanfaatkan komuniti perumahan tempatan. 



Noor Hayati Ismail, Setiausaha Persatuan Wanita PPR Kampung Baru Hicom (Perwacom) berkongsi pengalaman terhadap cabaran kehidupan sebenar komuniti perumahan awam. 

Perwacom diwujudkan semasa tempoh pandemik untuk membantu komuniti menyelesaikan isu dengan segera dan mengurangkan tekanan persekitaran yang tinggi akibat sekatan pergerakan dan cabaran-cabaran lain. 

Momentum yang wujud telah membolehkan mereka membina perhubungan dengan komuniti dan menjalankan 

program berasaskan pembangunan dengan sokongan rakan organisasi lain. 

Mereka menekankan bahawa mereka tidak mahu menjadi sebuah komuniti yang hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan tetapi mengharapkan sokongan yang membolehkan mereka membina masa depan yang lebih baik pada hari tua dan masa depan anak-anak mereka. 

“Sebuah pendekatan yang komprehensif diperlukan dalam mengubah perumahan awam daripada jerat kemiskinan kepada sebuah tempat yang makmur. 

"Kita perlu bersama-sama memperbaharui perumahan awam selari degan perubahan persekitaran kehidupan urban dan aspirasi generasi muda. 

"Perumahan awam adalah kediaman bagi anak-anak kita untuk mengimpikan kehidupan yang lebih baik dan untuk anak-anak mereka serta generasi seterusnya,” kata Noor Hayati.



Sejak sedekad yang lalu, Think City sebagai sebuah organisasi impak untuk menjadikan bandar bandar lebih mesra rakyat, berdaya tahan dan berdaya huni, telah melaksanakan usaha menambahbaik bandar-bandar Malaysia merentasi semua komuniti urban, terutamanya komuniti rentan. 

Think City telah menjalankan program penyelidikan dan intervensi di perumahan awam dan komuniti tempatan di Malaysia, bermula dengan komuniti perumahan di George Town, Pulau Pinang dan sejak itu, ia telah berkembang kepada projek perumahan awam di Kuala Lumpur dan Selangor. 

Think City menguruskan geran dan pinjaman serta menjalankan kajian dan intervensi awal di kawasan perumahan tersebut bersama-sama komuniti tempatan, pihak berkuasa tempatan, organisasi tempatan dan antarabangsa, institusi pendidikan serta pihak swasta. 

Antara inisiatif Think City yang telah dilaksanakan dengan jayanya adalah hasil kerjasama dengan rakan usaha sama seperti CIMB Foundation, Citi Foundation, Yayasan Hasanah, Mara, Teach for Malaysia, Persatuan Karyawan, Universiti Malaysa, PNSB dan World Bank, yang melibatkan penyertaan lebih daripada 80,000 orang. - KitaReporters/Kenyataan Media


20
13
0
3
0

Copy Link: