Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) buat julung kalinya menganjurkan Persidangan Industri Ekonomi Digital Islam (IDE) 2023 bagi memupuk kerjasama dengan pihak berkepentingan utama dalam sektor ekonomi digital Islam.

IDE merupakan salah satu sektor penting dalam pengagihan kekayaan dan sumber yang inklusif selaras visi Malaysia Madani. 

IDE juga merupakan salah satu daripada sembilan bidang tumpuan utama di bawah insiatif strategik nasional, Malaysia Digital (MD) dalam membantu MDEC memastikan hala tuju yang tepat menerusi Program Mangkin Malaysia Digital (Pemangkin).

Malaysia kekal sebagai peneraju Penunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) selama sembilan tahun berturut-turut, dipacu ekosistem halal yang pesat dalam sektor kewangan Islam, industri makanan-farmaseutikal-kosmetik halal, pelancongan mesra-Muslim, media dan rekreasi. 



Sektor ekonomi Islam ini dijangka mencecah nilai global sebanyak AS$7.7 trilion menjelang 2025.

MD Tasree`turut diperkenal untuk menerajui penglibatan industri, penjanaan idea, mempromosi projek perintis, pengkomersialan penyelesaian teknologi dan menjadi saluran yang kukuh bagi agenda MD Pemangkin.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MDEC dengan Halal Development Corporation (HDC) dalam pembangunan teknologi digital halal seperti Halal Assurance System dan Halal Traceability serta meningkatkan tahap penerimagunaan dalam kalangan usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Usaha ini dipergiat melalui penglibatan syarikat berstatus MD yang akan dibantu oleh MDEC dengan kerjasama rakan ekosistem. - KitaReporters/Kenyataan Media

15
17
0
10
0

Copy Link: