DIPERDAYA 'DATUK', WARGA EMAS RUGI RM310,000

Published by
KitaReporters

KEINGINAN seorang lelaki untuk terlibat dalam pelaburan projek pembalakan akhirnya punah sekelip mata selepas ditipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Lelaki warga emas berusia 70 tahun itu didakwa kerugian RM310,000 yang diberikan kepada individu berpangkat ‘Datuk’ bagi menyertai pelaburan projek berkenaan di Kuala Lipis. : KitaReporters.com

SEORANG warga emas sanggup menyerahkan wang sebanyak RM310,000 semata-mata mahu terlibat dalam projek pelaburan balak. - Gambar hiasan.


Kejadian penipuan berkenaan dipercayai berlaku pada Oktober tahun lalu selepas mangsa yang berusia 70 mendakwa rakannya memperkenalkan  ‘Datuk’ yang kononnya sedang ‘mencari dana’ bagi memulakan projek berkenaan. 

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian yang yakin boleh terlibat dengan projek pembalakan itu dikatakan telah bertemu dengan suspek di sebuah restoran di Lanchang, Temerloh bagi membincangkan perkara demikian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof.


Lebih menarik, mangsa juga turut dibawa ke tapak yang dikatakan lokasi projek bagi meyakinkan mangsa untuk melabur walaupun projek berkenaan tidak wujud.

Malah, suspek dikatakan menghubungi mangsa hampir setiap hari untuk memujuk dirinya melabur sehingga dia akhirnya menyerahkan wang secara tunai sebanyak RM150,000 di sebuah restoran di Bentong sebagai tanda setuju.

Tergamak betul suspek… sudahlah yang ditipu itu warga emas, mana sikap kemanusian dirinya!

Lebih malang, mangsa kemudian terpedaya dengan pujukan sanggup membuat beberapa lagi transaksi wang kepada suspek bagi bayaran proses kepada permohonan untuk mendapatkan projek itu, yang akhirnya berjumlah RM310,000,” katanya yang dipetik dalam laporan Bernama pada Khamis, 30 Januari 2020.

MANGSA dikatakan membuat beberapa transaksi wang kepada suspek bagi membuat bayaran bagi mendapat permohonan projek pelaburan pembalakan. - Gambar hiasan.


Bagaimanapun, penipuan suspek terbongkar apabila mangsa membuat pemeriksaan di Pejabat Hutan Bentong yang mengesahkan surat yang diterimanya daripada suspek adalah palsu.

Bak kata pepatah sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke tanah!

Menyedari dirinya tertipu, mangsa kemudian terus bergegas ke rumah suspek bagi membatalkan kerjasama dalam projek berkenaan dan meminta semula wang pendahuluan berkenaan.

Namun, mangsa pula dituduh tidak memberikan kerjasama baik dan dimaki oleh suspek menyebabkan mangsa membuat laporan polis.

Sedih sungguh! Sudahlah diri ditipu, terpaksa pula mendengar makian.

Mangsa kemudian terus bergegas ke Pejabat Polis Daerah Bentong membuat laporan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Malang sungguh nasibmu wahai pak cik…- KitaReporter.Com

0
14
1
0
0

Copy Link: