Oleh DR NAZARIYAH YAHAYA 

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


Majoriti pengunjung bazar Ramadan ingin menikmati juadah berbuka puasa yang terbaik selepas seharian berpuasa. Namun, apabila makanan yang dibeli telah rosak dan hanya disedari ketika hampir berbuka puasa, ia akan mengecewakan kebanyakan daripada kita. 

Untuk mengelakkan situasi ini berlaku pada bulan puasa kursusnya, Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan program kesedaran halal dalam kalangan penjaja bazar Ramadan peringkat kebangsaan pada 21 Mac 2023 lalu secara hibrid di USIM dan juga FB Live dengan kerjasama Nestle. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bazar-bazar Ramadan



Dalam slot pertama program ini, Prof Madya Dr. Mohd Mahyeddin Mohd Salleh, Timbalan Pengarah (Fatwa), IFFAH USIM telah menyampaikan perisiannya yang bertajuk ciri-ciri peniaga ahli syurga. 

Menurut Dr Mohd Mahyeddin, peniagaan adalah sumber mata pencarian yang dituntut syarak. 

Menyentuh mengenai hadis Nabi, Dr Mahyeddin menjelaskan bahawa ketika baginda Nabi SAW ditanya mengenai pekerjaan yang paling baik, lantas baginda menjawab;  “Seseorang yang bekerja dengan tulang empat keratnya dan setiap jual beli yang mabrur”. 

Mengulas mengenai hadis ini, maksud jual beli mabrur adalah jual beli yang diterima di sisi Allah Ta`ala dan diberikan ganjaran di mana tiada unsur penipuan dan tidak khianat. 

Tambah beliau lagi, ciri-ciri peniaga ahli syurga adalah menjual barangan yang diharuskan syara, tidak monopoli barang (ihtikar), tidak menjual harga yang terlalu tinggi kepada pembeli melebihi harga siling, menunaikan zakat perniagaan dan tidak lalai dengan perniagaan sehingga mengabaikan kewajipan agama. 



Menyentuh mengenai tajuk perisian kedua iaitu kaedah pengurusan lebihan makanan jualan disampaikan oleh Shamsiah Aziz, penjaja atau peniaga makanan harus mengamalkan amalan kebersihan dengan mengelakkan daripada merokok, berkuku panjang, memegang makanan dengan tangan, mengendalikan sampah semasa memasak, merasa makanan dengan jari, mengorek hidung/telinga , tidak memakai penutup kepala dan menggunakan telefon bimbit ketika menyediakan makanan atau menjual makanan

Shamsiah yang merupakan Pegawai Teknologi Makanan, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan turut mengulas amalan kebersihan yang diamalkan oleh pengendali makanan boleh mengelakkan daripada berlakunya pencemaran silang. 

Selain itu, Shamsiah juga turut berpesan kepada peserta yang hadir untuk memasak juadah pada waktu dan suhu yang betul.

“Tempoh penghidangan makanan selepas dimasak adalah tidak melebihi 4 jam pada suhu melebihi 63C. 

"Ini kerana zon suhu bahaya bagi makanan yang telah disediakan adalah pada suhu 5C hingga 60C di mana ini adalah zon selesa bagi bakteria untuk membiak," katanya lagi. 

Menyentuh mengenai cara mengendalikan lebihan jualan, makanan yang mudah rosak seperti kuih muih yang berasaskan kelapa dan telur perlu dihabiskan dengan kadar segera atau ketika waktu moreh, jika tidak habis ia perlu dibuang. 

Manakala makanan untuk dimakan ketika sahur harus disimpan segera dalam peti sejuk dan perlu dipanaskan dengan suhu yang betul sebelum dinikmati. 

Menurut Shamsiah, juadah yang tidak habis dijual pada hari tersebut dan ingin dijual semula pada keesokannya adalah tidak dibenarkan. Oleh itu untuk mengelakkan lebihan juadah, penjaja dinasihatkan untuk memasak mengikut kuantiti yang sepatutnya. 



Slot ketiga program kesedaran halal ini disampaikan oleh Ustaz Mohamad Samir Sulaiman, Penolong Pengarah Kanan Sekretariat Majlis Halal Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menyentuh mengenai manual prosedur pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020. 

Program ditutup dengan majlis perasmian yang dihadiri Dato` Dr. Sirajuddin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM, diiringi  Professor Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM dan Prof Dr. Azman Ab Rahman, Pengarah IFFAH. 

Dalam ucapan perasmian penutup, Dr. Sirajuddin menyatakan hasrat untuk mewujudkan Sahabat Halal JAKIM yang terdiri daripada kalangan pelajar bertujuan untuk menyebarluaskan kesedaran dan pensijilan Halal Malaysia untuk kebaikan umat Islam di Malaysia kursusnya, dan seluruh dunia amnya. 


DR NAZARIYAH YAHAYA ialah Timbalan Pengarah (Halal), Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).  Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.


9
10
0
11
0

Copy Link: