CERITA kejayaan pertahanan kiri skuad muda bola sepak negara, Umar Hakeem Suhar Redzuan menyumbat satu gol kemenangan pada minit ke-84 untuk melayakkan Malaysia ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-19 yang akan berlangsung di Uzbekistan pada tahun hadapan secara automatik tidak ternoktah di situ sahaja. : KitaReporters.com

UMAR HAKEEM (depan, dua dari kanan) bersama rakan-rakan sepasukan sebelum sepak mula perlawanan dengan Thailand.


Ini berikutan, selain nama Umar Hakeem, nama Ahmad Ibrahim Ahmad Jaafar turut disebut-sebut sebaik sahaja persaingan hebat antara Malaysia dan Thailand pada perlawanan Kumpulan G kelayakan Kejuaraan AFC B-19 tamat pada 10 November 2019. 

Lebih menarik, Ahmad Ibrahim bukanlah pemain dalam skuad B-19 negara.

Perlawanan di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh, Kemboja itu menyaksikan Ahmad Ibrahim yang bertugas sebagai ahli fisioterapi bagi Persatuan Bolasepak Malaysia  (FAM) dilayangkan kad kuning pada minit ke-81 oleh pengadil perlawanan, Kurbanov Charymurat dari Turkmenistan.

AHMAD IBRAHIM (kiri sekali) bersama pada pegawai pasukan Bawah-19 Malaysia di Kemboja baru-baru ini.



Alasan Charymurat menyatakan, Ahmad Ibrahim tidak keluar dari padang permainan dengan segera dan melewat-lewatkan permulaan permainan yang ketika itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Ahli fisioterapi berusi 27 tahun dan sudah bertugas dengan FAM sejak 2015 itu dilihat pada awalnya sedang mengutip botol-botol air daripada para pemain Harimau Muda.

Ketika itu juga kelihatan Charymurat mula mengarahkan agar Ahmad Ibrahim untuk keluar dari padang bagi beliau memulakan perlawanan semula.

Namun disebabkan ketika itu Ahmad Ibrahim yang sedang mengemas beg peralatan perubatannya selain para pemain masih sibuk mengambil botol-botol air, Charymurat mula kelihatan bengang.

Yang agak kelakar, ketika itu, botol air yang dipegang oleh Charymurat turut diminta oleh Ahmad Ibrahim yang sudahpun mula melangkah keluar meninggalkan padang.


Namun Charymurat sudah pun menyeluk poket seluarnya - satu situasi ngeri bagi para pemain - dan mengeluarkan kad kuning untuk dilayangkan kepada Ahmad Ibrahim.

Ahmad Ibrahim yang keliru dengan aksi itu masih lagi meminta botol air yang dipegang oleh Charymurat dan seterusnya akur keluar padang.

Jika pemain bola sepak yang dilayangkan kad kuning pertama akan dikenakan tindakan keluar padang pada penerimaan kad kuning seterusnya, bagaimana dengan situasi ahli fisioterapi Ahmad Ibrahim jika dia menerima sekali lagi kad kuning tersebut?

Situasi layangan kad kuning kepada Ahmad Ibrahim mendapat ciapan di laman Twitter di mana twit seorang pengguna Twitter, @akhifairuz_ dengan tanda pagar #SolidaritiAbangAir mendapat 2,400 twit semula termasuk 2,200 sukaan.


Seorang pengguna Twitter, @whitecloudseven pula menyatakan bahawa, insiden ini merupakan satu dalam sejuta di mana kejadian ini juga tidak pernah berlaku pada perlawanan Piala Dunia.

Apa pun, kejadian layangan kad kuning kepada Ahmad Ibrahim itu bukanlah yang pertama dilakukan kepada para pegawai pasukan. 

Untuk rekod, Pengurus Pasukan Manchester City,  Pep Guardiola turut dilayangkan kad kuning oleh pengadil pelawanan Perisai Komuniti dalam Liga Perdana Inggeris, Martin Atkinson Ogos lepas.


Malah peraturan yang mungkin baharu itu sudah mula dipraktikkan di perlawanan bola sepak Jerman, Bundesliga di mana selain jurulatih, para pegawai yang terdiri daripada ahli fisioterapi, doktor pasukan, penolong jurulatih yang berada di kerusi simpanan pasukan boleh berada dalam 'bahaya' jika ingkar dengan peraturan.

Jurulatih yang menerima tiga layangan kad kuning, akan dihalang daripada berada di kerusi simpanan pasukan dalam satu perlawanan Bundesliga.

Antara kesalahan yang boleh dikenakan kad kuning bagi para pegawai termasuklah mencampak dan menyepak botol air selain memaksa pengadil perlawanan untuk menonton kembali video bantuan untuk menentukan kesalahan di dalam padang.

Jangan terkejut, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga pernah melontarkan idea yang sama termasuk mahu mengenakan kad kuning kepada para penonton. - KitaReporters.com

Gambar-gambar oleh FAM





3
1
0
1
1

Copy Link: