Lebuh Raya SUKE fasa pertama mula dibuka secara rasmi pada 16 September 2022 kepada orang ramai. - Kredit foto: Bernama


WARGA kota begitu teruja apabila kenderaan-kenderaan mereka mula masuk membanjiri Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) bagi fasa pertama sejauh 16.6 kilometer (km) setelah dibuka secara rasmi kepada pengguna-pengguna jalan raya bermula jam 12 tengah hari, 16 September 2022 lalu.

Tambahan pula, 16 September merupakan cuti umum Hari Malaysia sekali gus membuka peluang kepada orang ramai untuk mencuba, meninjau serta bersiar-siar menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan lebuh raya SUKE termasuk melihat (pandangan atas) bandar raya Kuala Lumpur.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan 


Fadillah Yusof (tengah) melancarkan pembukaan rasmi Lebuhraya SUKE fasa pertama di lebuh raya tersebut pada malam Khamis, 15 September 2022. - Kredit foto: Bernama


Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fasa pertama lebuh raya terbabit bermula dari persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke persimpangan Bukit Antarabangsa

"Saya juga ingin mengumumkan bahawa tol diberikan secara percuma selama sebulan, bermula jam 12 tengah hari, 16 September 2022," tambahnya.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd merupakan syarikat yang bertanggungjawab ke atas pembangunan lebuh raya berkenaan.

Lebuh raya bertingkat dikatakan ketiga tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 56.6 meter (bangunan setinggi 18-tingkat) dan melibatkan 11 persimpangan dengan dua plaza tol iaitu Bukit Teratai dan Ampang.


Orang ramai mula membanjiri laluan utama masuk SUKE dari Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE). - Sumber: FB Darich Uwais.


Struktur ikonik SUKE dibina dengan tanjakan helikoid (helicoidal), iaitu tanjakan berbentuk spiral yang memerlukan anda berpusing dua tingkat sebelum masuk ke laluan utama.

Tanjakan helicoidal ini juga merupakan pertama di negara serta mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) dan Anugerah Reka Bentuk Lebuh Raya Dinamik oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Lebuh raya tersebut mula dibina sejak Ogos 2016 dengan menelan belanja sebanyak RM5.7 billion menghubungkan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban (KL-Seremban), Lebuh Raya Sungai Besi (Lebuh Raya Besraya) dan Lebuh Raya Cheras-Kajang (CKE).


SUKE dapat mengurangkan kesesakan teruk di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Ampang, Jalan Loke Yew, Cheras, Pandan Indah, serta Ampang. - Kredit foto: Prolintas


Ia turut mempunyai beberapa jaringan ke Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuh Raya Timur Lembah Klang (EKVE) yang masih dalam pembinaan.

SUKE turut dilengkapi dengan ciri-ciri sistem keselamatan yang canggih mempunyai tiga lorong dua hala dengan kelebaran 3.5 meter bagi setiap lorong serta lorong kecemasan dengan keluasan setiap tiga meter.

Sebanyak 3,377 lampu jalan LED berserta 40 kamera litar tertutup (CCTV)22 telefon kecemasan dan 22 sistem pengesanan kemalangan kenderaan (VIDS) dipasang sepanjang lebuh raya itu.

Secara keseluruhan, Lebuhraya SUKE ini menampilkan laluan utama sepanjang 24.4 km. Tetapi jika dikira sekali dengan laluan susur keluar, panjang sebenarnya adalah berjumlah 57.7 km. - KitaReporters


Pemandangan indah bandaraya Kuala Lumpur dapat disaksikan ketika pengguna-pengguna kenderaan berada di laluan utama SUKE. - Kredit foto: Prolintas


Sumber:

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/09/882324/fasa-pertama-lebuhraya-suke-dibuka-tengah-hari-esok-tol-percuma-sebulan

https://malaysiagazette.com/2022/09/14/fasa-pertama-lebuhraya-suke-dibuka-dalam-masa-terdekat/

https://paultan.org/2022/09/15/lebuhraya-suke-dilancar-secara-rasmi-tol-percuma-sebulan-mula-dibuka-pada-12-tengah-hari-16-sept/

17
12
0
12
0

Copy Link: