Khairy Jamaluddin, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) dan Dr Alias Razak membincangkan  isu perbekalan vaksin ke negeri Terengganu.


TERENGGANU menyasarkan sejumlah 12,000 dos sehari bagi aktiviti suntikan vaksin dalam kalangan penduduk negeri itu bagi mencapai sasaran 80 peratus rakyat negeri berkenaan menerima vaksin mulai Julai hingga November 2021.

Usaha itu digerakkan menerusi pelbagai aktiviti bagi menarik lebih ramai penduduk diberi peluang untuk mendapatkan vaksin percuma, sekali gus mencapai imuniti kelompok dan sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika memberi jaminan itu berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi terutama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan imuniti kelompok

 Dr Ahmad Samsuri Mokhtar


Kata Dr Samsuri, sehingga ini JKNT telah membuat pelbagai program untuk vaksinasi termasuk mengembleng tenaga memasuki kawasan pedalaman negeri itu dalam usaha memastikan semua rakyat tidak ketinggalan mendapatkan suntikan vaksin.

“Saya amat menghargai Kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang turut membantu mempercepatkan proses memberi suntikan kepada penduduk negeri ini dengan perbekalan vaksin,” katanya ketika meninjau Pusat Pemberian Vaksinasi di Stadium Gong Badak, Kuala Nerus pada Khamis 17 Jun 2021.

Yang turut hadir, Menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Amzad Hashim; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak; dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus.


Dr Ahmad Samsuri bertanyakan sesuatu kepada salah seorang penerima vaksin ketika meninjau PPV di Stadium Gong Badak,Kuala Nerus.


Sementara itu, Khairy berkata, Kerajaan Pusat memberi jaminan bahawa Terengganu akan menerima 200,000 dos tambahan vaksin jenis Pfizer-BioNTech pada Julai 2021. 

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),  berkata, beliau yakin dengan tambahan dos ke Terengganu itu lebih ramai penduduk akan divaksin dengan kadar segera.

“Keyakinan itu disuarakan oleh pihak JKNT yang memberi jaminan mampu meningkatkan kadar suntikan kira-kira 12,000 sehari sebaik terima sejumlah 200,000 dos tambahan vaksin pada Julai nanti,” katanya.

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkemungkinan akan menyediakan unit bergerak (Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak) bagi memberi suntikan vaksin satu dos kepada penduduk di pulau-pulau di Terengganu.

“Vaksin yang sama iaitu CanSino dan Johnson & Johnson sebelum ini turut diberi kepada penduduk di kepulauan Sabah, Sarawak dan kepada Orang Asli,” katanya. - KitaReporters


Ahmad Samsuri bersama Khairy Jamaludin ketika memantau aktiviti suntikan vaksin di Stadium Gong Badak,Kuala Nerus.Kredit gambar Media MB Terengganu 

1
1
0
0
0

Copy Link: