MASJID Qaryah Ibnu Khaldun di Taman Lavender Height, Senawang, Negeri Sembilan diarah tutup sementara selama tujuh hari mulai Khamis, 6 Mei 2021 berikutan terdapat jemaah yang positif Covid-19.

Masjid berkenaan difahamkan menjadi masjid yang pertama di Negeri Sembilan yang diarah tutup sementara akibat kes jangkitan virus berkenaan.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengeluarkan arahan penutupan masjid itu sehingga 12 Mei 2021, atas syor Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban bagi memberi ruang proses mengenal pasti kontak rapat kes positif Covid-19.

Pengerusi Masjid Qaryah Ibnu Khaldun Lavender Height, Mohd Hamka Abd Tani, mengesahkan arahan penutupan itu, namun tidak dapat memberikan maklumat tepat jumlah jemaah yang disahkan positif.

"Bagaimanapun, peringatan sudah diberikan agar mereka membuat saringan. Ada yang telah buat saringan di luar dan didapati positif. Jadi buat sementara ini saya nasihatkan kepada jemaah yang ada sebarang gejala berkaitan Covid-19 supaya buat saringan segera.

"Jika ada kontak rapat dengan mereka yang didapati positif, duduk di rumah dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya sambil menambah proses sanitasi sudah dibuat di masjid berkenaan. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

0
0
0
0
0

Copy Link: