Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia untuk memasang kawat berduri di kawasan PKPD daerah Besut


SELEPAS penduduk dari 13 kampung dalam Mukim Pelagat, Besut, Terengganu, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula pada Khamis 20 Mei 2021, perintah sama juga akan dilaksanakan hampir ke seluruh daerah Besut

Tindakan yang dilakukan kerajaan itu susulan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sembilan daripada 17 kluster aktif di negeri itu membabitkan daerah berkenaan yang menyumbang peningkatan kes COVID-19 dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dalam komuniti.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PKPD


PKPD yang akan dilaksanakan di 15 mukim di Besut, Terengganu, selama 14 hari bermula Sabtu 22 Mei 2021, membabitkan Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika mengumumkan perkara itu pada Khamis 20 Mei 2021 berkata, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di semua mukim dan lokaliti seperti yang dinyatakan bermula 22 Mei hingga 4 Jun 2021.

Berikutan pelaksanaan PKPD tersebut, hampir keseluruhan daerah Besut, yang bersempadan dengan Kelantan itu dan kini berada dalam status zon merah menjadi daerah pertama di Terengganu dikenakan perintah tersebut secara keseluruhan.


Petugas KKM turun ke lapangan untuk membuat saringan COVID-19 kepada penduduk daerah Besut


Dalam perkembangan lain, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melaporkan tiga lagi mangsa COVID-19 di negeri itu meninggal dunia menjadikan jumlah keseluruhan 23 kes kematian sejak penularan pandemic COVID-19 di  negara ini pada awal 2021.

Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes kematian ke-21 adalah Kes 5852 yang merupakan wanita berumur 89 tahun dari Mengabang Telong, Kuala Nerus. 

Katanya, sejarah penyakit kronik lain (kormorbid) tidak diketahui. Wanita berkenaan baru pulang dari pusat penempatan warga tua di Besut pada 11 Mei 2021. Kes menjalani ujian RT-PCR pada 16 Mei 2021 setelah dikesan menjadi kontak kepada kes positif di pusat penempatan tersebut.

Beliau berkata, pada 18 Mei 2021 kes mengalami sesak nafas yang teruk, tidak sedarkan diri dan meninggal dunia di rumah. Keputusan ujian yang diperolehi pada hari yang sama mengesahkan kes positif COVID-19.


Dr Nor Azimi Yunus


Manakala, kes kematian ke-22 adalah Kes 4495 yang merupakan lelaki berumur 59 tahun dengan sejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis dari Kampung Lubuk Kawah, Besut. Kes hadir ke Hospital Besut pada 2 Mei 2021 setelah mengalami gejala selama empat hari.

“Semasa ketibaan di Hospital Besut, kes mengalami kemerosotan fungsi pernafasan yang serius dan segera diberikan alat bantuan pernafasan serta dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut. Walaupun rawatan intensif berterusan diberikan selama kira-kira 18 hari, pesakit menghembuskan nafas terakhir pada 19 Mei 2021," kata Dr Nor Azimi.



Beliau berkata, kes kematian ke-23 adalah Kes 5289 yang merupakan lelaki berumur 78 tahun, tanpa sejarah penyakit kronik lain dari Kampung Raja, Besut. Kes didapati positif COVID-19 pada 13 Mei 2021 melalui saringan bersasar dalam komuniti di Alor Lintang (Active Case Detection/ ACD).

Katanya, kes seterusnya dimasukkan ke Hospital Setiu untuk rawatan. Pada 18 Mei 2021, kes mengalami sesak nafas dan kemerosotan fungsi pernafasan yang serius lalu dirujuk ke HSNZ pada hari yang sama.

“Ketika berada di HSNZ kes terus mengalami kemerosotan dan segera diberikan alat bantuan pernafasan serta dimasukkan ke ICU. Walaupun rawatan intensif berterusan diberikan, pesakit menghembuskan nafas terakhir pada Rabu 19 Mei 2021,” katanya lagi. - KitaReporters


2
1
2
1
0

Copy Link: