AMBIL isi, manfaatkan kulit. Itu merupakan satu usaha kreatif yang dilakukan oleh seorang wanita berusia 50 tahun menjadikan kulit jagung yang akan dibuang kepada kuntuman bunga indah.

Mengambil inisiatif untuk memanfaatkan kulit jagung yang dibuang itu, pengasas Upcycled Shack, Tressie Yap, 50, berkata beliau pernah membuat kraf tangan dengan menggunakan kulit jagung seperti bunga dan anting-anting.

Sebelum ini, beliau melakukan gubahan kulit jagung sebagai hobi sahaja dan apabila ditanya mengenai alternatif yang perlu dibuat bagi memanfaatkan kulit jagung selain dibakar beliau menceritakan pengalaman beliau, sekali gus berkongsi kemahiran dimilikinya menerusi kursus anjuran bersama rakannya, Farni Millis seorang usahawan sosial di daerah Marudu.


Kredit foto: Bernama


“Farni bertanya kepada saya adakah saya boleh memberi latihan? Saya mengatakan saya cuba dan kemudian kami memulakannya (kursus dan latihan membuat kraf berasaskan kulit jagung) kira-kira dua bulan lepas,” katanya yang ditemui pemberita di reruai ‘Corn Husk Craft’ (Kraf Kulit Jagung) pada program Kembara Riuh Bah! Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah baru-baru ini.

Melalui kursus itu, beliau berkongsi kemahiran mengubah kulit jagung dengan lebih 20 suri rumah di kota Marudu.

Kota Marudu, kira-kira 125 kilometer ke utara Sabah, merupakan sebuah daerah yang terkenal sebagai pengeluar tanaman jagung.


Berkecimpung dalam dunia kitar semula dan memberi tumpuan kepada konsep sisa sifar - Tressie Yap

Sementara itu, beliau berkata walaupun baru dua bulan beroperasi, tempahan jambangan bunga daripada pelanggan sangat menggalakkan terutama ketika sambutan Hari Ibu, selain untuk majlis perkahwinan, hari jadi dan pembukaan kedai.

“Bunga ini (daripada kulit jagung) adalah produk mesra alam yang organik kerana ia berasal daripada tanaman pertanian. Kami mahu seiring dengan konsep mesra alam. Warna untuk bunga-bunga ini juga menggunakan bahan daripada tumbuh-tumbuhan seperti bunga kertas, kunyit, pandan dan kulit bawang.

“Tidak dinafikan ada sedikit kekangan serta cabaran untuk mendapatkan bahan (bagi menghasilkan warna bunga) dan kami akan cuba mengatasinya. Bagaimanapun, kami akan memberitahu pelanggan bahawa ada sebahagian kuntuman bunga diwarna menggunakan pewarna makanan,” katanya.


Antara contoh bunga yang digubah menggunakan kulit jagung

Menurut Yap, setakat ini kira-kira 2,000 kuntum bunga pelbagai warna dihasilkan daripada kulit jagung telah dijual pada harga RM6 hingga RM7 sekuntum dan sebanyak 30 peratus daripada hasil jualan diagih kepada setiap penggubah bunga.

Yap yang juga seorang arkitek dan usahawan sosial berkata kursus digerakkan menerusi program memperkasa komuniti tersebut merupakan inisiatif bersama Perusahaan Farni dan Upcycled Shack bertujuan melonjakkan potensi wanita luar bandar dengan memanfaatkan sisa pertanian untuk mengembangkan pendapatan.

Beliau yang berkecimpung dalam dunia kitar semula dan memberi tumpuan kepada konsep sisa sifar sejak lapan tahun lepas, mempunyai perspektif untuk memastikan setiap bahan terbuang dijadikan produk barangan mendatangkan hasil dan dalam masa sama dapat menjaga alam sekitar.

“Kami mahu meneruskan usaha ini untuk memperkasa komuniti kampung terutama di luar bandar dengan menggunakan konsep sisa pertanian dijadikan pendapatan. Ia hanya memerlukan modal sangat minimum untuk mereka memulakan perniagaan.

“Inisiatif ini sangat membantu ibu tunggal atau suri rumah yang berminat menjadi usahawan bagi menambah sumber pendapatan,” katanya. - KitaReporters


13
8
0
14
0

Copy Link: