KAWASAN berhutan di Semenanjung Malaysia akan dipertingkatkan dari 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040 bagi menyelamatkan spesis Harimau Malaya yang semakin pupus yang kini direkodkan kurang daripada 150 ekor.

Langkah itu antara enam Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya yang diputuskan dalam mesyuarat pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) yang diadakan hari ini, Isnin, 10 Januari 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu sekiranya tidak dilaksanakan segera akan menyebabkan haiwan yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri-negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi itu pupus selamanya.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan kepupusan


“Pendekatan seterusnya adalah pengekalan dan pengukuhan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan, di samping menghentikan kegiatan pencerobohan serta aktiviti pemburuan haram,” katanya.

Katanya, mesyuarat juga bersetuju untuk memperkasa urus tadbir berkesan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah PERHILITAN, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan konservasi ex-situ Harimau Malaya.

Turut dipersetujui ialah memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan kepada insentif kewangan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) bagi Pemuliharaan Biodiversiti sedia ada dan pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.



“Pendekatan terakhir ialah Kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan kesedaran dan pembabitan rakan strategik,” katanya.

Ismail berkata, antara faktor kepupusan Harimau Malaya adalah kehilangan habitat dan sumber makanan akibat perubahan guna tanah, pemburuan serta perdagangan haram, selain penularan virus canine distemper.

“Lebih membimbangkan, spesies ikonik negara itu akan hilang buat selama-lamanya,” katanya. - KitaReporters


9
9
0
8
0

Copy Link: