SERUAN agar umat Islam menjauhi perbuatan khurafat di Gunung Jerai dekat Yan, Kedah oleh golongan alim ulama seolah-olah dipandang sepi apabila kegiatan yang dikhuatiri memesong akidah itu terus berlaku.

Itu kerana, sejak beberapa hari lalu, tular dalam media sosial satu video berdurasi seminit memaparkan sekumpulan anak muda tega melakukan pelbagai ritual atau upacara khurafat di puncak Gunung Jerai tersebut.


Lagi ceria-cerita menarik berkaitan Gunung Jerai



Insiden tersebut pantas mengundang reaksi dari pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) yang kini menjalankan siasatan setelah menerima pelbagai aduan daripada orang ramai berkaitan video tersebut.

Menurut Pengarahnya, Datuk Mohd. Yusri Daud, pihaknya memandang berat dan menyiasat aduan tersebut mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 atas kesalahan doktrin palsu dan menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam.

“Jika sabit kesalahan, Seksyen 4 memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

“Manakala Seksyen 7 Enakmen yang sama memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya pada 29 Mei 2022.



Sesuatu yang pasti, insiden tersebut bukan yang pertama dan pelbagai pihak sudah melahirkan kebimbangan di atas kegiatan itu memandangkan ia terang-terangan bertentangan dengan ajaran Islam.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad sebelum ini pernah menasihati semua umat Islam menjauhi amalan khurafat tersebut termasuk aktiviti pemujaan yang sering dilakukan di kawasan itu.

Kata beliau, perbuatan itu bukan sahaja merosakkan akidah malah dikhuatiri menjadi punca kepada berlakunya kejadian bencana atau bala di satu-satu lokasi itu.

Kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas kejadian kepala air dan banjir lumpur luar biasa yang memusnahkan sebahagian besar kawasan di kaki Gunung Jerai tersebut selain mengorbankan enam mangsa.



Sesuatu yang pasti kegiatan seumpama itu sinonim dengan Gunung Jerai sejak berzaman-zaman dahulu apabila puncaknya menjadi tumpuan mereka yang ingin melakukan ritual.

Itu termasuk ritual mandi dan mengambil air di Telaga Datuk Sheikh di kawasan berkenaan yang kononnya menjadi penawar kepada pelbagai penyakit.

Selain itu kawasan tersebut juga sering menjadi perhatian kerana dianggap suci kerana dikaitkan dengan pendakwah dari Arab itu, Sheikh Abdullah Al-Qumairi.

Insiden terbaharu ini secara tidak langsung memalit noda di Gunung Jerai yang juga merupakan lokasi pelancongan di negeri ini. - KitaReporters


6
15
0
18
0

Copy Link: