Dr Nurafiza Mohd Arif (dua dari kiri) memberi pandangan dalam forum bertajuk "Mitos dan Realiti Penyakit Diabetes" di samping ahli panel lain iaitu Shaidah Shafie (kanan), Norzaini Daud (dua dari kanan) dan moderator, Dr Muhammad Izhar Hashim.


KOPI segera 3 dalam 1 (3 in 1) yang menjadi kegilaan masyarakat hari ini yang kononnya boleh memberi tenaga tambahan kerana ada ramuan seperti kacip fatimah, tongkat ali dan ginseng hanyalah mitos kerana realitinya ia punca kepada peningkatan kes diabetes di negara ini.

Pegawai Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Bangi, Dr Nurafiza Mohd Arif, berkata kajian mendapati 50 peratus rakyat negara ini mengambil kopi 3 in 1 setiap hari. Ia jumlah yang besar dan membimbangkan kerana kebanyakan mengambil kopi berkenaan berdasarkan promosi, bukan hasil pembacaan dan ilmu.

Dr Nurafiza Mohd Arif


"Kopi 3 in 1 menjadi pilihan pengguna di mana-mana sahaja, di rumah, warung, kedai makan atau pantri pejabat kerana penyediaannya yang jauh lebih mudah dan murah berbanding membelinya di kafe. 

"Walau pun kopi 3 in 1 dikatakan mengandungi ginseng atau tongkat ali untuk menambah tenaga, kandungannya amat sedikit tapi publisiti atau hebahannya menenggelamkan kandungan gula yang tinggi di dalam kopi berkenaan.

 “Ia tidak memberi sebarang kesan dalam penjagaan kesihatan sebaliknya mengandungi gula yang banyak iaitu lebih daripada tiga sudu teh dan peminumnya terdedah kepada bahaya diabetes," kata Dr Nurafiza dalam forum bertajuk, Mitos dan Realiti Penyakit Diabetes sempena Hari Kesihatan Mental dan Diabetes Klinik Kesihatan Bangi (KKB), Selangor.

Beliau berkata, ada juga pesakit bertanya, mengapa gula dalam darah tinggi sedangkan mereka sudah mengurangkan pengambilan nasi.

"Memanglah dah kurang atau tidak ambil nasi lagi tapi makanan seperti mi goreng mamak, burger dan pisang cheese masih "bedal" lagi. Jika tabiat sedemikian tidak boleh disekat, memang susah untuk mengawal diabetes," katanya lagi. 


Norzaini Daud


Forum Mitos dan Realiti Penyakit Diabetes itu turut disertai dua ahli panel lain iaitu Ketua Jururawat Keluarga (KJK) KKB), Norzaini Daud dan Peserta Kaunseling Berkumpulan Untuk Pengurusan Diabetik, Shaidah Shafie. Moderatornya ialah Pakar Perubatan Keluarga KKB, Dr Muhammad Izhar Hashim.  

Bagi Norzaini, pengambilan jenis dan jumlah makanan oleh pesakit diabetes perlu dikawal dan diberi perhatian kerana ia boleh mempengaruhi serta memberi kesan mendadak pada paras gula darah pesakit itu. 

Beliau berkata, walaupun karbohidrat sering dikaitkan dengan peningkatan paras gula darah, ia mesti diambil pesakit diabetes kerana karbo penting sebagai sumber tenaga utama bagi tubuh manusia.

"Pesakit diabetes digalakkan mengambil makanan yang tinggi kandungan serat seperti beras perang dan pengambilannya mestilah tidak kurang daripada 130 gram setiap hari. 

"Selain itu, kuantiti pengambilan makanan perlu dijaga kerana 95 peratus pesakit diabetes ada masalah berat badan berlebihan. Banyakkan makan sayur-sayuran bagi membantu mengurangkan paras gula dalam darah, melakukan senaman sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan diet seimbang suku-suku separuh," katanya. 


Shaidah Shafie


Shaidah pula yang mempunyai diabetes mengakui, bukan mudah untuk mengawal pemakanan dan gula dalam darah kerana ia memerlukan kesungguhan serta semangat yang kuat selain sokongan dari ahli keluarga dan rakan-rakan.

"Dulu gula dalam darah saya 13, memang takut sebab apabila ada diabetis, penyakit lain mudah datang seperti darah tinggi, jantung dan buah pinggang.

"Justeru, saya mengubah cara hidup dengan melakukan diet dan pengambilan pemakanan secara terkawal, mendapat sokongan rakan-rakan dan keluarga selain melakukan aktiviti berenang. Alhamdulillah, diabetes saya kini terkawal dan saya rasa lebih selesa untuk bergerak ke mana-mana," katanya.


Dr Syaza Izura Mat Isa 


Sementara itu, Pegawai Perubatan Keluarga dan Kesihatan Mental KKB, Dr Syaza Izura Mat Isa, berkata kesihatan mental penting untuk mewujudkan individu yang sejahtera dalam keluarga dan masyarakat, sekali gus menjadi warga yang sihat serta produktif kepada negara. 

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lebih 450 juta individu di seluruh dunia mengalami masalah penyakit mental sepanjang kehidupan mereka.

Beliau berkata, kajian mendapati ada beberapa faktor yang menyebabkan kesihatan mental terjejas termasuk masalah peribadi yang mengakibatkan tekanan perasaan, keletihan dan kemurungan. 

"Teknologi turut menyumbang kepada peningkatan kes kesihatan mental. Pendedahan kepada maklumat dari media sosial, interaksi dengan skrin yang berpanjangan, aktiviti fizikal yang berkurangan atau tabiat makan yang tidak sesuai boleh memberi kesan. 

"Peningkatan harga barang dan yuran perkhidmatan membuat ramai tidak mampu untuk memenuhi keperluan sehingga memberi kesan kepada kesejahteraan diri," beliau menambah. 


Amar Aimullah Azizul


Bagi Pegawai Psikologi dan Kaunseling Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Amar Aimullah Azizul,  ada beberapa senaman mudah boleh dilakukan dengan menggunakan teknik relaks bagi membantu ketenangan minda.

Penyelidikan saintifik membuktikan bahawa individu yang aktif secara fizikal mempunyai kadar tekanan dan kemurungan lebih rendah berbanding individu yang tidak aktif. Ia dapat meningkat kesihatan mental dengan membantu otak mengatasi tekanan dan kemurungan.

Beliau berkata, anda boleh melakukan senaman ringan lain seperti regangan badan atau mengetuk ubun-ubun, kening, bibir, bahu dan tulang rusuk secara perlahan-lahan. 

Ia nampak remeh tapi jika dilakukan berterusan, anda boleh merasakan perubahan dan kesegaran tubuh selain menghilangkan stres. 

"Bagi kanak-kanak, ada aktiviti boleh dilakukan seperti mewarna, menyanyi, menari dan sebolehnya kurangkan penggunaan gajet. "Manakala bagi warga emas, lakukan aktiviti santai seperti melihat album lama, berkebun, berhubungan secara spiritual dengan haiwan peliharaan seperti kucing dan mendengar lagu lama," katanya. - KitaReporters


Amar Aimullah Azizul menunjukkan amalan yang boleh dilakukan untuk menghilangkan tekanan mental.

17
8
0
10
0

Copy Link: