KERAJAAN memperuntuk bajet kira-kira RM5.7 juta untuk program kesihatan wanita seperti saringan kanser payudara dan serviks tapi hanya 12 peratus golongan itu yang mendapat pemeriksaan awal, puncanya kerana malu dan tidak tahu mengenai perkhidmatan disediakan.

Pakar Kesihatan Keluarga, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Dr Siti Nurhani Rafan, berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan menyediakan bajet yang besar dan mahu memastikan menjelang tahun 2070 tiada lagi wanita yang dijangkiti kanser serviks.

Sebahagian peserta melakukan senaman ringan sebelum program perasmian Sambutan Hari Kanser Serviks peringkat Klinik Kesihatan Bangi, Selangor.


Beliau berkata, kanser serviks memang tiada tanda-tanda awal tapi jika seseorang wanita mengalami masalah gangguan haid atau sakit ketika mengadakan hubungan kelamin, lebih baik mereka datang ke klinik kesihatan untuk mendapat saringan bagi mengesan sama ada dijangkiti kanser serviks atau tidak.

"Jika terus malu atau tidak mahu ambil tahu mengenai kesihatan, mereka mungkin menanggung risiko lebih teruk jika dijangkiti penyakit kanser serviks malah kehidupan mereka akan sengsara.

"Sebab itu, dalam ceramah di mana-mana saya merayu wanita yang berusia 30 hingga 65 tahun, datanglah ke klinik kesihatan untuk mendapatkan saringan kerana pengesanan pada peringkat awal akan menyelamatkan nyawa mereka. 


Dr Siti Nurhani Rafan (kiri) bergambar bersama Dr Nurafiza Mohd Arif (kanan) dan kakitangan Klinik Kesihatan Bangi selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Serviks.


"Begitu juga dengan wanita yang kerap mengadakan hubungan seksual dan sering bertukar pasangan, waspada kerana risiko untuk menghidap jangkitan kanser serviks amat tinggi," katanya pada majlis perasmian Projek Pendidikan Kesihatan sempena Sambutan Hari Kanser Serviks peringkat Klinik Kesihatan Bangi, Selangor.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Klinik Bandar Baru Bangi, Dr Nurafiza Mohd Arif. Temanya ialah "Sayangi dan Hargai Mahkota Wanita".  

Pelbagai acara menarik diadakan sempena program itu, antaranya bersenam di atas kerusi atau "Chair Robic" bersama Tim Wellness Hub, Bandar Baru Bangi, pemeriksaan kesihatan, saringan pap smear dan HPV, kuiz kesihatan dan cabutan bertuah.


Dr Siti Nurhani Rafan


Sementara itu, Pegawai Kesihatan Keluarga, Klinik Kesihatan Bangi, Dr Nur Asmaaini Mohamad Arshad dalam ceramahnya bertajuk, "Kanser Serviks", mengakui wanita boleh melakukan pemeriksaan sendiri untuk mengesan gejala kanser serviks tapi datang dulu ke klinik kesihatan untuk mendapatkan panduan dan nasihat daripada jururawat.

"Jururawat di klinik kesihatan sedia membantu wanita yang mahukan bantuan kerana saringan kanser serviks adalah percuma malah kakitangan kami memberi tip dan panduan untuk memudahkan mereka memeriksa sendiri kesihatan dalaman di rumah. "Jika tahu melakukan sendiri, mungkin lima minit dah siap. Jika tiada gejala kanser serviks, mereka sudah boleh menjalani kehidupan yang selesa dan mungkin datang untuk pemeriksaan dalam tempoh tiga tahun," katanya.  


Dr Nur Asmaaini Mohamad Arshad menyampaikan ceramah bertajuk, "Kanser Serviks".


Beliau berkata, wanita berisiko untuk menghidap kanser serviks, lebih-lebih lagi jika berusia lebih daripada 30 tahun apatah lagi ia jarang menunjukkan sebarang simptom awal tapi boleh dikesan melalui ujian saringan dan pemeriksaan secara berkala.

"Seperti kanser jenis lain, kanser serviks berlaku apabila sel yang bersifat malignan (kanser) terbentuk pada tisu di sekitar kawasan rahim. 

"Di Malaysia, kanser serviks turut dikenali dengan nama kanser pangkal rahim dan wanita yang berkahwin atau mempunyai kehidupan seks yang aktif berisiko menghidap penyakit ini. 

"Hampir semua kes kanser ini (99%) adalah berkaitan dengan jangkitan human papillomavirus (HPV) dan virus itu merebak dari satu individu ke individu yang lain melalui hubungan seksual," katanya.

Selain itu, Dr Nur Asmaaini menasihatkan wanita mengambil pelalian HPV bagi mencegah atau mengurangkan risiko jangkitan ini sehingga 70 peratus. 

"Tapi, vaksin ini perlu diberikan sebelum individu itu terdedah dengan virus HPV kerana ia tidak berkesan terhadap wanita yang pernah mengalami jangkitan HPV," katanya. - KitaReporters


Jurulatih kecergasan dari Wellness Hub Bangi menunjukkan kaedah bersenam di atas kerusi atau Chair Robic.

16
16
0
12
0

Copy Link: