Melon Manis Terengganu jadi Icon buah Terenggnu 


JIKA Perlis terkenal dengan mangga Harumanis, Terengganu pula ada Melon Manis Terengganu (MMT) atau nama saintifiknya, Cucumis melo var. Inodorus cv. Manis Terengganu 1 yang  telah dinobatkan sebagai buah ikon negeri Terengganu pada tahun 2017. 

Sejajar dengan usaha kerajaan Terengganu memartabatkan buah MMT dan menjadi fokus tanaman utama negeri, pelbagai pihak turut menyokong dan mengembangkan industri tanaman berkenaan di negeri itu.

Selain jabatan dan agensi pertanian, Universiti MalaysiaTerengganu (UMT) turut mengambil inisiatif dengan mengembangkan lagi sayap keluasan penanamannya melalui projek Empowering Marginalized Communities’ Socio-Economy Through Sustainable Cultivation of Melon Manis Terengganu.


Seorang penanam sedang memetik Melon Manis Terengganu


Projek penanaman MMT oleh UMT ini adalah di bawah tajaan Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera 2020 (DPUB 2020), Kementerian Ekonomi yang berperanan untuk memperkasa agenda ekonomi dan sosioekonomi bumiputera dalam pembangunan negara. 

Melalui dana ini, UMT telah membina 17 unit rumah pelindung hujan yang lengkap dengan sistem fertigasi pada tanah berkeluasan 1.5 ekar bagi menampung 6,500 polibeg di Kampus UMT, Bukit Kor Marang.

Bersesuaian dengan lokasinya yang terletak di kawasan tinggi di Terengganu, maka ia dikenali sebagai Melon Highland (Tanah Tinggi) yang memfokuskan kepada pengeluaran MMT berkualiti tinggi.


Melon Manis Terengganu hidup subur


Ketua Projek Bahagian Agro Dana DPUB 2020, Prof. Madya Ts. Dr. Wan Zaliha Wan Sembok berkata, projek pemindahan ilmu itu melibatkan enam orang peserta projek yang terdiri daripada golongan B40 dan digerakkan pada skala kecil ketika ini sebagai penanda aras kemampuan untuk pengeluaran yang lebih besar.

”Penanaman MMT sebanyak 4,000 polibeg telah dimulakan pada  Februari 2024. Hasil yang diperolehi adalah dalam lingkungan tiga tan sahaja.

”Projek ini akan diperluas kepada komuniti di daerah-daerah lain seperti Kuala Nerus, Marang dan Merang sekiranya sambutan serta jualan melebihi permintaan," katanya lagi. - KitaReporters

17
15
0
12
0

Copy Link: