IA merupakan hari yang cukup menggembirakan buat zirafah; Tilly dan Gerald, dan harimau Malaya, Jagoh baru-baru ini kerana Zoo Negara menyambut kedatangan syarikat peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, Mr DIY Group (M) Berhad (Mr DIY) sebagai rakan terbaharunya

Pada 27 April 2022, syarikat peruncit itu mengumumkan penyempurnaan sumbangan selama dua tahun bernilai RM408,288 di bawah inisiatif #DIY4ZooNegara, yang merangkumi sumbangan untuk pengambilan tiga haiwan angkat (adoption) itu. 

Dana yang disalurkan sepanjang tahun 2021 hingga 2022 itu telah digunakan untuk memperbaiki dan menyenggara kemudahan zoo, termasuk menaik taraf bumbung dan lantai terowong untuk ke kandang harimau, serta membina gazebo untuk kegunaan pengunjung

Mr DIY juga menyumbangkan peralatan, kelengkapan, pakaian seragam dan pelitup muka edisi khas untuk 300 kakitangan zoo.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Zoo Negara

Dari kiri,  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mr DIY, Adrian Ong, bersama Naib Presiden Zoo Negara, Rosli Ahmat Lana’ semasa penyerahan sumbangan untuk #DIY4ZooNegara.


Semasa penyerahan cek sumbangan inisiatif #DIY4ZooNegara, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mr DIY, Adrian Ong, dalam satu kenyataan media berkata, “Ramai antara kita mempunyai kenangan menarik semasa mengunjungi Zoo Negara ketika zaman kanak-kanak, kerana ia merupakan mercu tanda yang ikonik untuk beberapa generasi rakyat Malaysia. 

"Kunjungan ke zoo membantu mempromosi serta memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian dan kepentingan ekosistem negara yang mampan. Inisiatif #DIY4ZooNegara telah membantu memastikan generasi masa kini dan akan datang supaya dapat terus menikmati pengalaman yang sama.”


Adrian Ong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mr DIY menikmati pengalaman melawat Zoo Negara bersama-sama anak-anak kakitangan Mr DIY.


Pada April 2022, Mr DIY menjalankan sebuah undian dalam Facebook dengan menjemput rakyat Malaysia untuk memberi nama kegemaran mereka kepada haiwan-haiwan angkatnya. Rakyat Malaysia telah memilih untuk menamakan dua zirafah tersebut sebagai Tilly dan Gerald, manakala harimau jantan itu diberi nama Jagoh.

“Pengambilan Tilly, Gerald, dan Jagoh sebagai haiwan angkat, serta sumbangan untuk kelengkapan, peralatan, uniform dan pelitup muka telah membantu memastikan Zoo Negara kekal sebagai sebuah lokasi tarikan yang menggembirakan pengunjung serta kakitangannya. Kami juga berharap usaha ini akan memberi inspirasi kepada lebih banyak syarikat korporat untuk mencari cara bagi menambah nilai kepada tempat-tempat tarikan yang ikonik di negara kita,” tambah Ong dalam kenyataan tersebut.



Inisiatif #DIY4ZooNegara adalah salah satu daripada aktiviti-aktiviti penglibatan komuniti yang telah dimulakan oleh Mr DIY bagi membantu pelbagai organisasi dan komuniti yang terkesan akibat pandemik COVID-19. 

Sejak Januari 2022, ia telah menyumbangkan kit ujian kendiri kepada komuniti yang memerlukan dan memulakan kempen #DIY4Sungai untuk memulihara dan mempersiapkan kawasan-kawasan tumpuan pelancong di sepanjang sungai dan jalan air untuk kembali menerima kunjungan pelancong. 

Peruncit tersebut juga telah menganjurkan program #DIY4UM dan #DIY4UTAR dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) dan Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), bagi membantu lebih 15,000 pelajar membuat persiapan untuk kembali ke kampus selepas pandemik.

Pada Disember 2021, Mr DIY telah disenaraikan dalam FTSE4Good Index 2021 yang diiktiraf pada peringkat global. 

Ia membuktikan usaha berterusan peruncit perkakas rumah itu untuk terus menghasilkan impak yang positif kepada komuniti-komuniti di mana ia beroperasi. - KitaReporters


7
12
0
13
0

Copy Link: