IMPAK ekonomi akibat penularan pandemik maut, penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) di seluruh dunia dijadikan alasan oleh sebuah syarikat penganjuran sukan hiburan yang sudah bertapak 40 tahun untuk melakukan proses pengecilan (down-sizing) operasi. : KitaReporters

KURT Angle (kiri) dan Rusev, akur dipecat WWE serta-merta ekoran impak ekonomi kerana penularan Covid-19. - Kredit foto wwe.com


World Wrestling Entertainment (WWE) Inc. yang berpangkalan di Stamford, Connecticut, Amerika Syarikat milik Vince McMahon nekad memecat 20 penggusti naungannya dalam langkah yang didakwa, "diperlukan sebagai pengurangan kos operasi."

Antara lebih sedozen ahli gusti terlibat ialah bekas juara dunia 12 kali, Kurt Angle yang bukan sekadar pernah menguasai arena WWE bahkan bengkung gelaran World Championship Wrestling (WCW) dan Total Nonstop Action (TNA), menurut siaran media wwe.com pada 15 April 2020.

Anehnya di tengah-tengah kebimbangan dunia dengan Covid-19 dan perintah berkurung (lockdown), WWE masih dibenarkan berurus niaga termasuk melangsungkan acara suka ramai tahunannya, WrestleMania 36 pada 4 dan 5 April 2020 walaupun tanpa penonton di Orlando, Florida.

Program TV popular mingguannya, Raw dan Smackdown juga tetap disiarkan setiap Isnin dan Jumaat serta tanpa penonton di studio Pusat Prestasi WWE, Orlando seperti mana WrestleMania 36 demi mengelak penularan Covid-19.

Menerusi kedua-dua program itu, WWE masih mengaut keuntungan daripada kontrak TV dengan stesen-stesen besar Amerika seperti Fox dan USA Network yang menyiarkannya.

WWE juga masih berani menyebut dalam siaran media itu, “kami mempunyai sumber kewangan yang besar, kedua-duanya daripada wang tunai dan modal hutang yang ketika ini dianggarkan berjumlah AS$0.5 bilion (RM2.19 bilion).”

“Pelaksanaan pelbagai pengurangan kos jangka pendek dan peningkatan aliran tunai diperlukan ekoran kesan ekonomik disebabkan pandemik itu,” kata siaran berkenaan.

Namun ketiadaan kutipan jualan tiket ribuan penonton setianya di venue-venue sejak Mac 2020 dikatakan turut menyumbang kepada keputusan WWE untuk 'mengikat perut' lebih awal daripada menanggung kerugian yang lebih besar kemudian hari

Angle, 52, juga merupakan penyumbang pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996 dalam gusti amatur acara gaya bebas buat Amerika Syarikat.

Penggusti handalan yang senasibnya ialah bekas juara Amerika Syarikat WWE tiga kali, Rusev, 36, atau nama sebenarnya Miroslav Barnyashev.

Warga Bulgaria ini terkenal dengan gimik penampilan di gelanggang sebagai penyokong Rusia yang ‘anti-Amerika’ dan ditemani jelitawan, Lana sejak menyertai WWE pada 2014.

Turut 'dikenakan satu-dua-tiga' WWE itu ialah Drake Maverick, Zack Ryder, Curt Hawkins, Karl Anderson, Luke Gallows, Heath Slater, Eric Young, Rowan, Sarah Logan, No Way Jose, Mike Chioda, Mike Kanellis, Maria Kanellis, EC3, Aiden English, Lio Rush, Primo dan Epico.

BARON Corbin (kiri) meninju Kurt Angle dalam 'Pertarungan Perpisahan' WrestleMania 35, 2019. - Kredit foto wwe.com


Angle dalam ciapan Twitternya, berkata: “Saya mahu ucapkan terima kasih kepada WWE atas masa yang saya luangkan di sana. 

"Saya berkawan dengan ramai orang dan berpeluang bekerjasama dengan sebegitu ramai orang yang berbakat.

“Kepada penggusti-penggusti, teruslah menghiburkan Sejagat WWE (jutaan peminat WWE di seluruh dunia) sedaya upaya anda. Merekalah peminat terbaik di dunia,” katanya.

“Terima kasih semua, Rusev keluar,” ciap Barnyashev ringkas dalam laman sosial itu. 

Nasib Lana yang juga isterinya dijangka tidak terjejas sebagai penggusti wanita di bawah jenama Raw WWE. 

RUSEV (atas) terbang menghempap John Cena dalam pertarungan WrestleMania 31, 2015 merebut Kejuaraan Amerika Syarikat. - Kredit foto wwe.com


2
0
0
0
0

Copy Link: