Bila sebut Aril Pilus, sudah pasti sekali gus ia akan mengingatkan kita kepada abangnya, Allahyarham Izwan Pilus. 

Namun yang pasti seperti Izwan, adiknya Aril Pilus tidak ketinggalan mengikuti jejak langkah abangnya sebagai penyanyi dan pengacara apatah lagi setelah bergelar Naib Juara Akademi Fantasia (AF) musim ke-7 apabila berjaya diserap semula selepas tersingkir pada minggu ke-7.

Itulah tuah namanya bagi pemilik bernama penuh Khairil Azam Pilus, 38, yang kini sudah pun bergelar ayah kepada dua orang cahaya mata.

Namun kesibukannya sebagai pengacara, penghibur serba boleh, penyanyi dan juga penyampai radio tidak syak lagi antara sebab kali terakhir peminat mendengarnya adalah melalui lagu ‘Bangkit’ pada tahun 2015 yang merupakan salah satu daripada senarai runut album studio pertamanya berjudul ‘Aril’ yang dilancarkan pada tahun 2014.



Terbaharu, Aril terus bangkit selepas hampir 9 tahun tanpa lagu baharu melalui ‘Tak Sempurna’,  hasil ciptaan bersama, komposer berbakat Justin Seow dan penulis lirik, Asyraf Nasir, manakala diterbitkan oleh label hiburan paling berpengaruh di rantau ini, Rocketfuel Entertainment.

“Alhamdulillah, saya masih lagi menerima tawaran untuk melakukan persembahan nyanyian, emcee (pengacara majlis) dan program TV, serta giat menjalankan aktiviti perniagaan yang saya usahakan iaitu kopi foodtruck,” kata graduan Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) ini. 



Melalui ‘Tak Sempurna’ Aril mahu mengembalikan zaman ketika beliau aktif dalam tarian jalanan atau lebih popular disebut ‘shuffle’  di mana ketika itu lebih mesra disapa ‘Ajam The Gambler (Hardstlye Republic).

“Baharu-baharu ini tular dalam media sosial di mana trend tarian ‘shuffle’ kembali diminati ramai, saya dahulunya seorang ‘shuffler’ dan mempunyai pengikut ramai di dalam serta luar negara, jadi saya ambil kesempatan ini untuk menghasilkan sebuah karya berentak pop EDM (electronic dance music atau muzik tarian elektronik) dan berhasrat menghasilkan festival EDM, selain mempromosikannya,” tambah Aril.



Menurutnya, lagu yang membawa maksud ‘kebangkitan semula’, sentiasa berjalan mara ke hadapan, apabila kita jatuh, bangkitlah semula dan jangan menyerah kalah kerana kita semua tidak sempurna.  

“Walaupun rancak, liriknya lebih memberi motivasi dalam membangkitkan semangat,” cerita Aril yang mula merancang menghasilkan singlenya itu seawal bulan Julau tahun lalu (2023) dan proses rakaman mula berjalan selepas bertemu dengan komposer yang betul-betul memahami kehendaknya.

Jelasnya tidak ramai yang memahami konsep muzik EDM ini waima yang menjiwainya sahaja akan faham, 

“Selain saya, saya turut menjemput penyanyi rap tanah air, Nigel Sparks untuk menambah flavour ke dalam karya ini dan hasilnya amat memuaskan hati. 

"Saya anggap lagu ini ibarat comeback saya ke dalam industri muzik, dan bukan saya sahaja, malah untuk komuniti tarian ‘shuffle’ serta penggemar muzik EDM,” harapan Aril. 



Setakat ini, video muzik (MV) bagi single ini masih lagi dalam proses perbincangan dan berkemungkinan hanya lirik videonya sahaja yang bakal dilancarkan.  

Menganggap dirinya seorang yang versatil, Aril bukanlah artis yang yang beromongan kosong, 

“Saya kembali ke universiti kerana ingin memantapkan pengetahuan dalam bidang seni. Sebagai seorang pengusaha kreatif, kita perlu menimba ilmu kerana apabila karya-karya yang dihasilkan, ianya bermutu dan mempunyai nilai,” tambah Aril, sekali gus mengharapkan ‘Tak Sempurna’ mendapat sambutan dan diterima ramai apatah lagi lagu tersebut juga mempamerkan sisinya yang berbeza  di mana ramai tidak tahu bahawasanya suatu ketika dahulu beliau merupakan ‘shuffler’ yang disegani sehingga ditawarkan berlakon dalam telemovie berjudul “Shuffle Milikku’ pada tahun 2010. - KitaReporters


10
14
0
9
0

Copy Link: