PERSATUAN Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyokong gesaan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) agar Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) menangguhkan penganjuran Festival Filem Malaysia ke-31 yang dirancang jadualnya pada bulan Oktober 2021.

Sebaliknya, FINAS disaran agar merangka  program Pelan Pemulihan Industri Kreatif (PPIK) sejajar dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengekang pandemik COVID-19 supaya penggiat industri dapat terus bernafas dan bergiat aktif semula.

“Sebagai agensi kawal selia industri perfileman, FINAS perlu peka kepada keadaan semasa yang tidak memungkinkan  FFM-31 dapat dijalankan dengan jayanya berikutan keadaan negara yang masih berdepan isu kesihatan serta kesengsaraan hidup rakyat yang kehilangan punca pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara yang menghentikan sama sekali kegiatan ekonomi,” ujar Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim (gambar bawah).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan festival filem


Menurut Ahmad Ibrahim, meskipun ia dirancangkan secara hibrid atau virtual sepenuhya, penganjuran itu tetap memerlukan kos dari aspek penyediaan trofi, pengacara dan sebagainya.

“Justeru, FDAM berasakan masanya tidak sesuai untuk penganjuran FFM-31 pada masa ini,” tegas beliau yang lebih mesra disapa sebagai 'Mat London'

Sehubungan itu, FDAM  berharap FINAS dapat mengemukakan kertas cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar mempertimbangkan syarikat penerbitan filem dan program televisyen dibenarkan beroperasi pada Fasa 3 PPN sekitar bulan September atau Oktober 2021 kelak.

“Ini bagi memulihkan kembali kehidupan lebih 10,000 penggiat industri kreatif yang majoritinya adalah karyawan bebas (freelancer) yang bukan sahaja tiada pendapatan lain malah mereka juga tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” tambah pengarah dan pelakon veteran itu.

Sambungnya, pihak FDAM berharap FINAS dapat juga mengemukakan cadangan kepada MKN dan KKM agar melonggarkan syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memberi kebenaran kepada pasukan penerbitan merentas negeri dan membenarkan penggambaran di zon hijau seperti di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sabah selewat-lewatnya pada hujung bulan Julai 2021 ini.

Bagi tujuan tersebut, Mat London berharap  KKM dapat mempercepatkan program imunisasi berkelompok untuk kira-kira 9,000 orang pekerja filem, program TV dan iklan yang masih belum menerima jadual vaksinasi.


Gambar hiasan... Suntikan vaksin.


“FDAM mencadangkan agar program imunisasi untuk pekerja penerbitan dibuat dalam tiga fasa iaitu fasa pertama pada bulan ini, fasa kedua pada Ogos dan fasa ketiga pada bulan Septmber bagi membolehkan mereka memulakan atau menyambung kerja penggambaran yang terhenti berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” ujarnya.

Beliau berpendapat dalam situasi serba payah dan genting ini di mana banyak syarikat penrbitan tempatan terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat menampung kos operasi kerana kehilangan kontrak penerbitan serta menanggung hutang dan pembiaya dana, FINAS tidak seharusnya mengutamakan festival semata-mata.

“Nasib pekerja seni terumbang-ambing tanpa sedikitpun bantuan, seolah-olah kami bukan warganegara yang berjasa kepada negara. Apakah dalam situasi suram dan muram begini FINAS lebih memikirkan untuk berpesta sahaja?” tanya Ahmad Ibrahim.


Gambar hiasan... Dato Seri Siti Nurhaliza antara artis jemputan FFM-30 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 30 Mac 2019.

FDAM, kata beliau, tidak menafikan kepentingan festival sebagai satu usaha bagi merancangkan industri penerbitan filem namun dalam situasi sekarang, festival filem hanyalah hiasan semata-mata tanpa dapat dimanfaatkan oleh penggiat industri.

“Hidup insan seni yang ‘ada kerja ada gaji’ terus tertekan dan tidak akan selesai dengan festival filem sahaja, Kami ibarat sekumpulan tentera yang sudah tercedera, tanpa makanan dan tanpa sebutir peluru pun tetapi diarah ke medan perang. 

"Sepatutnya FINAS perlu memikirkan bagaimana dana yang ada ini dimanfaatkan ke arah yang lebih membantu mengisi perut kosong kami,” akhiri Ahmad Ibrahim panjang lebar mewakili suara ahli-ahli FDAM. - KitaReporters


2
1
0
0
0

Copy Link: