Berhasrat menyertai pertandingan Festival Orkestra Antarabangsa dan Pertandingan Golden Sardana yang bakal diadakan di Barcelona, Sepanyol pada 12 hingga 17 September 2023 depan, pasukan orkestra wind (wind orchestra) Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya memerlukan dana sehingga RM900,000 untuk merealisasikan impian mereka.

Sehubungan itu, sekolah tersohor dengan pencapaian terbaik dalam dan luar negara itu bakal mengadakan Konsert Amal Gala Simfonik Winds Seri Puteri menampilkan pelantun lagu 'Lelaki Ini', Anuar Zain pada 20 Mei 2023 ini, bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya.

Konsert berjudul ‘Flourishes 23: Symphonic Gala Concert’ berkenaan yang akan dijayakan menerusi Orkestra Simfonik Winds Seri Puteri (SPWinds) turut mendapat sokongan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.



Untuk rekod, SPWinds merupakan  sebuah pasukan orkestra wind (orkestra instrumen brass atau instrumen tiup) yang ditubuhkan pada tahun 1976 di Sekolah Seri Puteri. Ia diiktiraf sebagai School of Global Excellence (SGE) oleh KPM.

SPWinds yang merupakan watak kebitaraan SSP telah memanifestasi pengiktirafan SGE, dengan memenangi pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa serta mengharumkan nama negara di pentas ternama dunia muzik klasik seperti Carnegie Hall di New York dan Golden Hall Musikverein di Vienna, Austria.



Tidak dinafikan lagi, pelbagai kejayaan yang diraih itu menjadikan Sekolah Seri Puteri antara sekolah terbaik di Malaysia dengan rekod kecemerlangan tertinggi akademik dan pencapaian kokurikulum yang luar biasa pada peringkat global. 

Justeru dalam menjayakan misi ‘Road To Barcelona 2023’ , SPWinds berharap kerjasama pihak swasta dan mengalu-alukan sumbangan individu dan tajaan pihak korporat di mana semua hasil kutipan konsert akan disalurkan kepada SPWinds.

Tiket konsert boleh didapati melalui laman web Ticket Empire di https://www.myticketempire.com/flourishes23 dengan harga bermula RM168 hingga RM468.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Hawariah (019-259 1724) atau Shahriyah (019-435 2090) serta melalui emel spwinds@seriputeri.edu.my. - KitaReporters


17
10
0
15
0

Copy Link: