Segalanya masih menjadi tandatanya?

“Tunggulah apabila filem itu ditayangkan pada malam tayangan perdananya bertarikh 2 Januari 2024 kelak,” demikian yang dapat disimpulkan pada jawapan beberapa persoalan yang diajukan baik kepada penerbit Studio Kembara mahu pun barisan pelakon, antaranya Fattah Amin.



Bagi Abdul Rahman Mat Dali selaku penerbit, beliau enggan menjawab pertanyaan media berhubung siapa kah pengarah filem terbabit setelah bekas pengarah terdahulu, Areel Abu Bakar digugurkan.

“Saya hanya akan umumkan siapa pengarahnya pada hari tayangan perdana pada 2 Januari depan (2024),” ujar Abdul Rahman ringkas menutup persoalan lanjut.


Fattah Amin menerima baju-T dan produk "Pendekar Awang" daripada Abdul Rahman sambil disaksikan oleh Mohd Fadzil Hashim (tengah) dan Ismail dari Studio Kembara. _ Kredit foto: FAS.


Malah pelakon Fattah Amin juga, apabila ditanya pengalaman pahit manisnya memegang watak ‘Panglima Awang’ sekadar menjawab ringkas. “Memang ada cabarannya melakonkan watak tersebut tetapi jika nak tahu bagaimana lakonan saya kenalah tunggu apabila ia ditayangkan kelak.”

Mereka berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis pelancaran treler dan runut lagu rasmi serta ‘merchandise’ filem ‘Pendekar Awang: Darah Indera Gajah’ terbitan Studio Kembara yang berlangsung di Malakat Mall, Cyberjaya pada malam 13 Disember 2023.



Runut lagu rasmi berjudul ‘Darah Bangsa’  hasil ciptaan dan nyanyian Faizal Tahir yang turut berlakon sebagai ‘Utusan To’ Ku Paloh’, diperkenal pada barisan tetamu yang hadir iaitu Pegawai Eksekutif Brainy Bunch Education merangkap pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim serta barisan pelakon ‘Panglima Awang’  iaitu Fattah Amin, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Amir Ahnaf dan Ali Karimi.



Sebelum itu, majlis diserikan dengan persembahan silat oleh Ali Karimi yang memegang watak Brahim dalam Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.



“Ini adalah sebahagian daripada barisan pelakon, Kemunculan yang lainnya akan disaksikan pada tayangan perdana kelak,” ujar Abdul Rahman yang hanya menjemput Fattah Amin hadir tanpa isterinya, Nur Fazura yang memegang watak sebagai ‘Sayang’  dalam ‘Panglima Awang: Darah Indera Gajah’,  sambil memaklumkan filem kedua terbitannya itu adalah ‘spin off’ daripada watak Awang dalam filem pertamanya,’ Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ yang memecah rekod pungutan paling tinggi iaitu RM97 juta bagi sebuah filem Melayu.


Antara barisan pelakon lain yang terlibat adalah Mawi, Azrel Ismail, Amerul Effendi, Dian P. Ramlee, Namron dan Andy Teh di samping mengekalkan Wan Hanafi Su sebagai Tok Gajah dan Geor Andra Feyaerts sebagai Kapten Syers.

Jika terdahulu, Studio Kembara membelanjakan lebih kurang RM8 juta namun kali ini kos penggambaran filem ‘Panglima Awang’ menelan belanja antara RM10 hingga RM15 juta waima beberapa penggambaran perlu dilaksanakan semula apabila timbul isu pengarahnya ditamatkan dan digantikan dengan pengarah baharu. 

Malah khabarnya cabaran yang dilalui Panglima Awang tentunya apabila berdepan isu pengarahan di mana melibatkan tiga pengarah dalam sebuah filem sebenarnya dan berikutan itulah kos dikatakan ‘pecah’ daripada anggaran asal sehingga melibatkan kerugian kira-kira RM2 juta.


Abdul Rahman (tengah) bersama Ismail Mat Dali dan Ali Karimi dari Studio Kembara pada sidang media.


Menurut Abdul Rahman, walaupun pengarah terpaksa ditukar ganti namun ada sebahagian daripada babak-babak tertentu arahan mereka akan terus digunakan.

"Jika perlu rombak semua lagilah kos penerbitan akan meningkat menambahkan lagi kerugian, jadi kami gunakan mana yang sesuai,” ujar Abdul Rahman sekali gus memaklumkan tagline terbaharu Studio Kembara kini berbunyi "Hiburan Bermanfaat Seisi Keluarga' daripada asalnya iaitu 'Hiburan Bermanfaat' sahaja.

Berkongsi lanjut, kata Abdul Rahman,  pihaknya belum memutuskan untuk meletakkan nama-nama pengarah terbabit dalam senarai kredit filem.

"Kita belum putuskan, Mungkin ada, kita akan kaji dari segala aspek,” jelas Abdul Rahman  sambil berharap filem keduanya ini mendapat sambutan hangat daripada semua lapisan masyarakat dan seisi keluarga waima filem terbitan Studio Kembara fokus kepada hiburan bermanfaat seisi keluarga selaras dengan taglinenya.



Sementara itu, dua pelakon adik beradik wanita yang turut membintangi filem “Pendekar Awang’ iaitu Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani Helmi masing-masing melahirkan rasa syukur dan teruja  dapat tawaran berlakon daripada Studio Kembara.

Kenang Heliza mahu pun Hazwani, mereka yang baharu sahaja berjinak-jinak dengan hobi memanah dan sukan sunah berkuda tidak sangka impian untuk berlakon dalam filem epik dimakbulkan.

“Ketika kami menunaikan haji di Mekah tahun lalu (2022), antara doa kami adalah ingin belajar sukan sunah seperti berkuda, memanah dan berenang dan dapat berlakon dalam cerita srikandi sahabaih, Dan apabila balik ke Malaysia, tanpa disangka, kami dapat tawaran berlakon dari Studio Kembara,’ ujar Hazwani sambil Heliza menyambung kata, ‘sehingga menitis air mata kami bila doa kami dimakbulkan.”


Pengunjung di Malakat Mall diberi peluang bergambar bersama barisan artis 'Pendekar Awang: Darah Indera Gajah'.


Majlis yang turut  memperkenal ‘merchandise’ (barang dagang) ‘Panglima Awang: Darah Indera Gajah’ mengumumkan penjualan produk-produk yang dilancarkan seperti baju-T, lanyard, buku nota dan sebagainya sudah pun bermula malah pengunjung sekitar Malakat Mall turut diberikan peluang bergambar bersama artis kesayangan mereka.



“Diharap mereka yang menonton filem ini di pawagam seluruh Malaysia pada 11 Januari akan hadir dengan baju-T yang kini sudah boleh di tempah awal,” akhiri Ismail Mat Dali selaku Ketua Promosi dan Pemasaran Studio Kembara.

Menurutnya, pre order baju t mahu pun jualan merchendise Panglima Awang yang lain boleh didapati di kedai dalam talian di platfom malakat.com. - KitaReporters


11
12
0
15
0

Copy Link: