Berita Terkini| Warga emas ditahan polis ketika punggah rokok seludup! Rampasan bernilai RM94k

Published by
KitaReporters

Antara rokok seludup yang dirampas. - Kredit Foto: Ihsan PGA


DUA warga emas berputih mata apabila rokok seludup yang dipunggah masuk ke dalam kereta ditahan oleh pasukan polis Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam dalam Op Kontraban.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 65 dan 66 tahun itu ditahan ketika sedang ralik memasukkan bahan berkenaan ke dalam kereta di kawasan Jalan Abu Bakar, Batu Pahat, Johor kira-kira jam 4 petang pada Ahad, 18 April 2021.

"Ketika ditahan, mereka sedang memunggah 250 karton rokok dipercayai tiada cukai kastam.

"Turut dirampas, kereta jenis Toyota Camry dan Proton Saga yang dipercayai digunakan dalam sindiket tersebut. Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM94,000," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin, 19 April 2021.

Dimin menambah kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada orang ramai supaya berkongsi maklumat dengan polis dalam mengatasi lambakan barangan seludup .

"Saya menyeru kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban," ujarnya. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

Seorang warga emas ditahan ketika ralik memunggah rokok seluduh ke dalam kereta di Jalan Abu Bakar, Batu Pahat, Johor. - Kredit Foto Ihsan PGA 

0
0
0
0
0

Copy Link: