Berita Terkini| Padah lari daripada polis, kereta terbabas masuk longkang! 3 dicekup, 1 lari!

Published by
KitaReporters

Kereta dinaiki suspek terbabas ke dalam longkang sewaktu cuba melarikan diri daripada polis. - Kredit foto: Media sosial


CUBAAN empat individu menaiki sebuah kereta untuk melarikan diri sewaktu dikejar oleh peronda polis mengundang padah setelah kenderaan itu terbabas memasuki longkang di Hulu Langat, Selangor pada 15 Jun 2021.

Dalam kejadian berhampiran Taman Sri Nanding itu, tiga individu termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 36 tahun berjaya diberkas dengan bantuan penduduk tempatan, manakala seorang lagi suspek sempat melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, terdahulu pada jam 5.15 petang anggota MPV yang sedang membuat rondaan jenayah di Jalan Cheras menghala ke Kajang menyedari sebuah Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan.

“Ekoran itu, anggota bertugas arahkan pemandu kereta berhenti  bagi melakukan pemeriksaan namun dia bertindak melarikan diri dengan memecut laju kenderaan.

"Anggota MPV (kenderaan peronda polis) terlibat kemudiannya meminta bantuan daripada Pusat Kawalan Cheras dan tiga MPV lain dikerahkan untuk membantu menahan suspek.  Polis mengejar kereta berkenaan sejauh beberapa kilometer sebelum kenderaan itu terbabas sendiri.

“Hasil bantuan penduduk setempat, polis berjaya memberkas dua lelaki serta seorang wanita, seorang lagi melarikan diri. Semakan awal mendapati semua suspek ditahan punyai pelbagai rekod berkaitan jenayah dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada 16 Jun 2021.

Tambah beliau, saringan awal air kencing dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dan polis kini sedang giat mengesan seorang lagi suspek.

Katanya lagi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

1
1
0
4
0

Copy Link: