Pusat Sumber SK Bandar Baru Sintok yang dinamakan sebagai Perpustakaan Baitul Hikmah dinobatkan sebagai juara pertandingan peringkat negeri Kedah baru-baru ini. - Kredit foto: SK Bandar Baru Sintok.


AKTIF dengan pelbagai aktiviti dan kreatif dalam menyusun atur hiasan dalaman menjadi antara faktor Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sintok di Kedah dinobatkan sebagai johan pada peringkat negeri Kedah baru-baru ini.

Kejayaan tersebut diraih susulan daripada kemenangan pusat sumber yang diberi nama Perpustakaan Baitul Hikmah itu sewaktu pertandingan pada peringkat daerah Kubang Pasu yang berlangsung pada bulan Jun 2022. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perpustakaan

Susun atur dan keadaan Pusat Sumber SK Bandar Baru Sintok yang kemas dan ceria.


Guru Besar SK Bandar Baru Sintok, Md Rozali berbangga dan bersyukur dengan kemenangan sekolahnya dalam pertandingan tersebut.


Guru Besar SK Bandar Baru Sintok, Md Rozali Hanafi berkata, pihaknya bersyukur dengan kemenangan tersebut dan berbangga apabila Pusat Sumber sekolah mereka terpilih sebagai Showcase di peringkat daerah di samping turut menerima Anugerah Pusat Sumber Cemerlang pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Daerah Kubang Pasu 2022 pada hujung Julai 2022 lalu. 

"Berdasarkan keputusan tersebut, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah telah mengadakan satu lawatan ke sekolah kami bagi tujuan pemantauan untuk pertandingan pada peringkat kebangsaan


Tiga pegawai penilai dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah hadir membuat penilaian dan pemantauan di SK Bandar Baru Sintok yang akan mewakili Kedah dalam pertandingan pusat sumber pada peringkat kebangsaan.


"Seramai tiga orang pegawai penilai hadir untuk melihat dan memantau keadaan Pusat Sumber. Mereka ialah Mohd. Faiz Awang, Sahina@Salina Maydin dan TS Mayamu Baba@Nalikat. 

"Kedatangan mereka telah disambut meriah oleh warga sekolah termasuk persembahan kebitaraan pancaragam dan pasukan golf sekolah. Apa yang menarik, selain pihak pentadbir sekolah, murid-murid juga terlibat meraikan kehadiran barisan penilai sekali gus menunjukkan kerjasama yang baik serta kemampuan menguruskan perjalanan program dengan cemerlang," jelasnya.


Pasukan pancaragam sekolah membuat persembahan sewaktu barisan penilai hadir membuat pemantauan di sekolah mereka.


Tambah beliau, pihak penilai turut menjalani satu sesi temu ramah bersama wakil Kelab Media SK Bandar Baru Sintok untuk tujuan rekod dan dokumentasi melalui siaran dalam buletin sekolah.

"Ketokohan dan kredibiliti yang dipamerkan oleh murid-murid terlibat menarik perhatian barisan penilai dan secara tidak langsung membuktikan kehebatan warga sekolah ini," kata Md Rozali.


Ahli Kelab Media yang bertanggungjawab menemubual para penilai untuk dimuatkan dalam siaran buletin sekolah.


Sementara itu, salah seorang pelajar, Ku Rania Darwisya Ku Ahmad Hafiz berkongsi keterujaan apabila berpeluang memainkan peranan dalam program tersebut. 

Menurutnya pada peringkat awal, dia rasa agak berdebar melaksanakan tanggungjawab menemu bual pihak penilai yang hadir. Bagaimanapun melihat respons baik mereka, debaran yang dirasai terus hilang.  

"Sebaliknya ia diganti dengan perasaan gembira dan teruja apabila dapat membantu menaikkan nama sekolah. Saya harap sekolah kami berjaya meraih kemenangan dalam pertandingan di peringkat kebangsaan nanti. Kami sudah berusaha, selebihnya biarlah Allah yang menentukan," ujar pelajar ini. 


Seorang wakil pelajar memberi penerangan kepada pegawai penilai mengenai aktiviti Pusat Sumber.


Salah Seorang pegawai penilai, Mohd. Faiz cuba bermain mini golf yang disediakan oleh pihak sekolah sambil diperhatikan oleh guru besar (dua dari kiri).


Apa yang pasti, dengan kemampuan dan kehebatan yang telah ditonjolkan oleh seluruh warga sekolah, maka tidak hairanlah mereka turut dinobatkan sebagai Showcase Transformasi Sekolah (TS) 25 pada peringkat daerah Kubang Pasu.

Semoga kesungguhan dan bakat yang ada dalam diri warga SK Bandar Baru Sintok amnya dan pengurusan Pusat Sumber sekolah khususnya, akan memberi  peluang kepada Pusat Sumber Sekolah mereka terpilih sebagai pemenang pada peringkat kebangsaan. 

Untuk rekod, SK Bandar Baru Sintok yang mula beroperasi secara rasmi pada 1 Januari 2001, mempunyai 80 orang guru, sembilan staf sokongan dan 1,190 orang murid. - KitaReporters


Guru besar bersama sebahagian guru SK Bandar Baru Sintok yang sentiasa komited dalam usaha menaikkan nama sekolah.

26
5
0
9
0

Copy Link: