Berita Terkini| Laluan Subang - Glenmarie ditutup! Kebocoran gas! 25 hari untuk dibaik pulih!

Published by
KitaReporters

LALUAN yang ditutup selama 25 hari berikutan kebocoran gas asli .- Kredit foto: Kosmo! 


LALUAN dari Subang menghala ke Glenmarie ditutup bermula Jumaat, 23 April 2021 berikutan kejadian kebocoran gas asli di lokasi projek pembinaan projek laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Jalan Persiaran Kerjaya, Seksyen U1, Shah Alam pada Khamis, 22 April 2021.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib memaklumkan saluran paip berkenaan adalah saluran utama bagi membekal gas asli ke Kuala Lumpur dan kawasan sekitar.

“Penutupan itu hasil perbincangan bersama dan saranan pihak bomba atas faktor keselamatan pengguna jalan raya dan kawasan berhampiran.

“Lokasi penutupan itu merupakan penghubung laluan utama dari Subang menghala ke Glenmarie. Sekiranya penuh dijalankan akan menyebabkan kesesakan teruk ke arah Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Shah Alam,” katanya dalam kenyataan media di Shah Alam, pada Jumaat 23 April 2021.

Baharudin menambah bagi mengelakkan kesesakan tersebut, laluan kontra akan dibuka bermula dari simpang tiga Temasya Kasih hingga ke bangunan Palm Grove dengan jarak laluan dua lokasi tersebut adalah kira-kira 350 meter.

Beliau berkata, tempoh masa penutupan jalan dan pembukaan laluan kontra itu dijangka selama 25 hari bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih selesai dilakukan.

“Sepanjang tempoh berkenaan, bantuan rondaan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dari IPD Shah Alam dan pihak LRT akan dilakukan bagi menilai tahap kesesakan lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk memandu secara berhemah, patuhi isyarat lalu lintas dan berhati-hati semasa melalui laluan kontra tersebut,” ujarnya. – KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter


TEMPOH masa penutupan jalan dan pembukaan laluan kontra itu dijangka selama 25 hari bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih selesai dilakukan.

0
0
0
0
0

Copy Link: