HAMPIR 10 tahun tidak dapat mengadakan program membabitkan komuniti termasuklah Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya Aidilfitri akhirnya 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan membabitkan penduduk di taman perumahan sekitar Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor dapat menyempurnakan hasrat itu pada 27 Mei 2022 lalu.

Program beraspirasikan Keluarga Malaysia ini anjuran Gabungan NGO Bandar Sungai Buaya (GNBSB) yang ahlinya terdiri dari 16 NGO berdaftar berganding bahu bagi menjayakan majlis rumah terbuka berkenaan kerana sebelum ini komuniti di kawasan itu sepi tanpa sebarang aktiviti berikutan pandemik Covid-19. 

Antara NGO terbabit ialah Persatuan Penduduk Jalan Melursari, Persatuan Penduduk Jalan Kiambangsari, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari, KRT Precint 11 Mawarsari, KRT Melatisari 2, KRT Melarisari 3, KRT Melursari, KRT Kembojasari, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bandar Sungai Buaya, PIBG SK Bandar Sungai Buaya, Persatuan Kebajikan Nona Wawasan, Kejiranan Rampaisari, Surau Al-Annsar, Surau Al Ikhlas, Surau At Taqwa dan Surau Nurul Iman.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan majlis rumah terbuka

Penduduk di kawasan komuniti Bandar Sungai Buaya membanjiri Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022.


Pengerusi GNBSB, Datuk Ruslee Hashim, berkata tujuan utama majlis rumah terbuka itu diadakan semula supaya penduduk dapat berkumpul seperti sebelumnya dalam satu perhimpunan bagi mengeratkan jalinan ukhuwah dengan suasana yang amat bermakna.

Menurutnya, akibat kekangan masa antara penduduk yang sibuk dengan tanggungjawab hakiki ditambahi pula kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 menyebabkan banyak aktiviti komuniti yang dirancangkan tertangguh begitu sahaja. 

Jelasnya, langkah yang dilaksanakan GNBSB itu amat bertepatan dengan situasi sekarang bagi menyantuni semula semua penduduk dalam kawasan komuniti berkenaan tanpa membezakan bangsa dan agama berhimpun dalam majlis penuh harmoni.

“Dalam majlis ini kita semua dapat berjumpa, bertanya khabar dan menghulurkan tangan bagi mengeratkan ikatan persaudaraan selepas terkesan khususnya dengan pandemik Covid-19 kerana terpaksa berkurung dalam rumah sebagai langkah membanteras wabak itu daripada merebak.

“Paling menggembirakan apabila semua yang hadir dapat mengukirkan senyuman walaupun sudah lama tidak dapat bertentang mata untuk bertanya khabar berikutan pandemik Covid-19 itu,” katanya dalam ucapan perasmian majlis berkenaan yang turut dihadiri hampir semua pengerusi NGO terbabit.


Penduduk melahirkan rasa gembira dapat bersua muka jiran tetangga dalam satu majlis perhimpunan yang sudah lama tidak dapat diadakan.


Majlis rumah terbuka itu mendapat sambutan luar jangkaan apabila hampir 5,000 pengunjung khususnya penduduk komuniti kawasan terbabit hadir memeriahkannya yang diadakan di kawasan lapang berhadapan SK Bandar Sungai Buaya,Rawang.

Di samping menjamu selera pada malam itu, pengunjung juga disajikan dengan pertunjukan bunga api dan deklamasi sajak oleh Profesor Dr Mohamad Johdi Salleh.

Ruslee berkata, kerjasama dan kesepakatan ahli NGO terbabit terbukti apabila masing-masing bersetuju menyediakan satu menu secara bergotong-royong antara mereka bagi dihidangkan sepanjang majlis itu berlangsung.

Katanya, daripada menu gulai kawah daging lembu, lemang, rendang, nasi impit kuah kacang, nasi lemak, mi goreng dan sebagainya semua disediakan ahli NGO terbabit secara bergotong-royong untuk dinikmati tetamu yang hadir. 

“Saya rasa bersyukur dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terbabit menjayakan program ini dengan menyumbangkan dana seperti Majlis Perbandaran Hulu Selangor , Balai Polis Serendah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kubu Bharu, Jabatan Perpaduan Negara  serta Jabatan Pendidikan Daerah Hulu Selangor,” ujarnya.


Pengerusi GNBSB, Datuk Ruslee Hashim (tiga dari kiri) bersama-sama 16 pengerusi NGO Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor melafazkan ucapan perasmian Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya Aidilfitri secara serentak pada 27 Mei 2022 lalu.


Sementara itu, Pengerusi KRT Kasturisari, Mahmod Mat Ali, berkata majlis rumah terbuka itu memang dinantikan penduduk di kawasan komuniti berkenaan selepas sekian lama tidak dapat terbabit dalam program kemasyarakatan seperti lazim diadakan.

Menurutnya, apabila pandemik Covid-19 melanda negara keadaan penduduk amat terkesan kerana bukan sahaja antara mereka hilang pekerjaan bagi mencari sumber rezeki malah tidak dapat berhubung dengan jiran tetangga berikutan PKP.

“Apabila cadangan mengadakan majlis ini diuar-uarkan hampir semua NGO terbabit mendapat maklum balas daripada ahli yang melahirkan rasa gembira dan mengalu-alukannya  dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pandemik Covid-19 yang ditetapkan,” katanya. - KitaReporters


Penduduk di kawasan komuniti Bandar Sungai Buaya kembali ceria dapat bertemu jiran tetangga sambil menjamu selera.

30
12
1
13
0

Copy Link: