TERKINI mengenai anak muda kreatif dari Kelantan, Muhammad Syahmi Sazli dan filemnya Mael Totey The Movie (MTTM) telah mencapai kutipan RM5 juta dalam masa 12 hari tayangan dalam saluran 480 Astro First. Satu lagi berita, namanya lebih dikenali, Syahmi Sazli menjadi sebutan di Dewan Rakyat apabila dipuji, Ahli Parlimen, Ahmad Fadhli Shaari. : KitaReporters 



Lagi cerita-cerita berkaitan Syahmi Sazli:

https://kitareporters.com/search?search=syahmi+sazli


Menarik perhatian Dewan katanya, anak muda jika diberikan peluang berkreativiti, boleh mencatat kejayaan contohnya, filem MTTM yang dihasilkan oleh anak Kelantan, Syahmi Syazli, mendapat sambutan.

“Saya rakamkan tahniah di Dewan Rakyat ini, satu filem dibuat dengan belanja rendah RM400,000 telah mencatat sejarah di Astro First, mendapat kutipan RM4 juta dalam masa lima hari. 

"Seorang anak muda, tanpa bantuan kewangan daripada pihak kerajaan, boleh menerbitkan filem sendiri. Dengan kreativitinya, membuka mata pengusaha filem tempatan bahawa dalam keadaan suasana pendamik Covid-19 pawagam ditutup, ada ruang baru untuk karyawan menerbitkan filem," kata Ahli Parlimen kawasan Pasir Mas, Kelantan itu.

Kejayaan filem MTTM  arahan Syahmi Sazli yang diterbitkan oleh syarikatnya, Syahmi Sazli Production dengan kerjasama Astro Shaw telah mencetuskan dimensi baru dalam  industri perfilemanan negara, tambahnya.


Syahmi Sazli, lulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik baru berusia 25 tahun, telah membuktikan kejayaan dalam kerjaya dalam bidang berlainan, tanpa majikan. 

Ternyata keputusannya meninggalkan pengajian ijazah sekerat jalan membawa tuah. Restu ibu, adalah rahsianya. 

Minat mendalam terhadap dunia videografi dan gajet, membawa Syahmi Sazli lebih menonjol dan jauh terkehadapan daripada rakan sebaya. Sokongan isteri yang seia sekata dalam banyak hal, juga faktor kejayaan beliau. 

Bermula sebagai Youtuber dan pengarah drama pendek video dalam saluran sendiri, kini Syahmi Sazli muncul pengarah filem. Karya pertamanya MTTM dihasilkan pada musim pendamik Covid-19, menarik ramai penonton menerusi pawagam di rumah, dengan kutipan terkini sebanyak RM5 juta selepas 12 hari tayangan.


Kredit foto: FB Peminat Mael Totey The Movie



Drama pendek berjodol Mael Totey adalah antara karya terawalnya mendapat sambutan, di mana beliau sendiri pemegang wataknya, sebelum terkenal dengan siri drama spontan membabitkan pelakon remaja istimewa, Muhammad Asif Suhaimi (Asif).

Setiap drama spontan membabitkan Asif menjadi viral, dan kemudian siri itu dimeriahkan pula dengan penyertaan seorang lagi insan istimewa, Muhammad Ashrul Hakim Lukman (Yoe Parey). 

Gandingan pelakon insan istimewa itu melonjakkan jumlah pengikut (subscriber), sehingga pantas mencecah 100,000 yang melayakkannya dianugerahkan plat YouTube Silver Play Button. 

Saluran kedua, Syahmi Sazli Team yang dibuka kemudian turut menerima plat YouTube Silver Button. Saluran kedua, mengkhusus konten mengenai kegiatan tim dan cerita di belakang tabir penggambaran. 

Kini saluran Syahmi Sazli mencapai 2.39 juta subscriber.

Dengan mempertaruhkan Asif dan Yoe Parey serta diri sendiri, filem Syahmi Sazli untuk saluran 480 Astro First meletup, hasil gandingan dengan beberapa lagi pelakon insan istimewa dan beliau sendiri sebagai Mael Totey.



Berikutan kejayaan pecah rekod tayangan di Astro First, filem MTTM, Syahmi Sazli dan tim pelakon menjadi bualan penonton dan pengulas filem dalam YouTube dan media. 

Pelbagai kupasan dan komen diberikan. Penulis sempat mendengar sekali lalu dan mengumpul sebahagiannya di sini.

Pengulas 1 yang sebelumnya tidak menonton drama Syahmi Sazli memberi pujian setelah menonton MTTM. Katanya, dulu beliau tak tengok kerana mengganggap drama Syahmi tak menarik kerana menggunakan OKU (Orang Kurang Upaya).

“Selepas saya tengok balik dramanya, kini saya faham Syahmi bukan `menggunakan` OKU tetapi mengangkat kalangan OKU untuk berlakon sama,” katanya.

Melihat situasi pelakon OKU yang bermasalah dari segi menghafal skrip, tetapi boleh berlakon biarpun terkadang kedengaran suara pengarah mengajar dialog, "namun it works (sesuatu yang boleh diterima) bagi filem semacam itu," katanya. 

"Apabila saya kaji balik, akhirnya saya faham bahawa dia (Syahmi) tidak menggunakan OKU sebaliknya mengangkat martabat OKU melalui drama dan filemnya. Ending cerita tu (MTTM) betul-betul buat saya tergelak. Kepada Yoe dan Asif, saya rasa okey je dialog korang..."


Pengulas 1 turut memuji keberanian Syahmi Sazli bekerjasama dengan Astro Shaw menerbitkan filem itu, bukan saja turut melabur bahkan mengambil keputusan mengarah sendiri. Dengan tertera kredit nama Syahmi Sazli dan FDAM (Persatuan Sutradara Malaysia), satu pencapaian baik.

Ulasnya lagi, tidak nampak janggal atau bosan dengan dialog bahasa Kelantan, lakonan pun hidup. Juga perbualan Bahasa Inggeris Teacher dalam lakonan itu juga cukup baik, ada babak sedih, lucu dan pengajaran, memang `good job'.

"Syahmi break the wall beberapa scene yang mana dia terpaksa ajar dialog kepada pelakon. Aku tergelak betul betul masa tu… aku suka dengan Yoe dan Asif.. kini baru aku tahu, no wonder mereka menambat hati rakyat Malaysia," ulasnya.

Dalam pada itu, pelbagai lagi pandangan pengulas diluahkan dalam video Review Rakyat, di bawah (himpunan pengulas).



Pengulas 2 pula berkata, walaupun MTTM bukan kategori filem yang dia gemari, ada sesuatu yang boleh dibanggakan mengenai hasil kerja Syahmi Sazli. 

"Dia terkenal, subscribernya lebih 2 juta, janganlah kata dia tak femes, siapa yang tidak acknowledge dia sebagai Youtuber memang orang itu ignorance la. Walaupun aku bukan fan dia dan tak minat sangat, dia buat filem untuk audiennya bagi merealisasikan impiannya menjadi pembuat filem, okey. 

"Tabik dengan keberaniannya mengeluar RM400,000 duit sendiri, saya dapat rasakan kesungguhannya membuat filem ini. Tahniahlah,  pelakon pun menunjukkan kesungguhan.

"Sebagai filem pertama, aku nampak kesungguhan dan passion dia dalam pembikinan filem ini. Dan MTTM mampu mengutip RM700,000 hari pertama tayangan. Respect!  Secara keseluruhan bagus, DOP, bunyi, rakaman, lokasi outdoor tip top, jelas, tak bising, pilihan muzik latar juga bersesuaian, bagus!  Syahmi banyak idea, cuma mungkin kurang pengalaman dari segi menghasilkan screen play full length.  Untuk filem seterusnya, mungkin Syahmi boleh mencari penulis profesional," ujarnya. - KitaReporters

2
3
0
0
0

Copy Link: