Zaidi Jappar (kiri) dan Mohd Hamidi (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada petugas PKD mengenai PPV di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Batu Pahat pada 6 Jun 2021. - Kredit foto Mohd Hamidi Madtap


MEMENUHI tanggungjawab sosial dan kebajikan,  Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Zaidi Jappar turun padang meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Batu Pahat, Johor, 6 Jun 2021 lalu.

Dalam lawatan lebih satu jam itu, beliau melihat secara lebih dekat barisan hadapan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) melaksanakan tugas penuh dedikasi bagi memastikan penjalanan suntikan vaksin itu termasuk untuk warga emas berjalan lancar.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PPV



Pengerusi Teraju Kebajikan UMNO bahagian itu, Mohd Hamidi Madtap yang mengiringi Zaidi, berkata walaupun dalam keadaan tangan kanan yang sakit, Zaidi dari awal lagi sudah membuat perancangan bagi melawat pusat berkenaan.

Menurutnya, Zaidi sentiasa memandang serius dalam perkara menjaga kebajikan dan kesejahteraan penduduk di daerah itu walaupun mereka berbeza fahaman politik supaya pengurusan hidup dalam mencari sumber pendapatan keluarga tidak terjejas.

Katanya, langkah Zaidi melawat pusat itu juga sebagai tanda sokongan dan memberi dorongan kepada warga emas supaya bersikap terbuka serta mengambil berat mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 yang disediakan kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Zaidi (kanan) bertanya khabar warga emas yang menunggu giliran suntikan vaksin Covid-19 di PPV Batu Pahat. 


“Zaidi menyarankan supaya penduduk mendaftar segera untuk mendapatkan suntikan vaksin jika belum berbuat begitu selain mengambil kesempatan kemudahan disediakan di dewan berkenaan sebagai PPV yang berdekatan dengan kediaman,” kata Mohd Hamidi yang juga Ketua Kampung Jorak Ilahi Batu Pahat. 

Dalam lawatan itu, Zaidi turut ditemani Pegawai Daerah Batu Pahat, Ismail Abu; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat, Kamalludin Jamal; dan Pegawai PKD, Dr Shahril Azian Masrom

Zaidi dimaklumkan pada waktu puncak lebih 1,200 orang penerima vaksin hadir di PPV berkenaan.

Sehubungan itu, Mohd Hamidi berkata, Zaidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN (JPKD) Penggaram bersetuju untuk menyumbangkan empat lagi khemah untuk didirikan di PPV berkenaan bagi keselesaan penduduk khusus warga emas menunggu giliran untuk disuntik vaksin.


Mohd Hamidi (kiri) berbincang dengan Zaidi mengenai bantuan yang diperlukan oleh PPV berkenaan.


Selain khemah Zaidi turut bersetuju untuk menaja 100 bungkus makanan tengah hari seminggu sekali kepada petugas di PPV sehingga selesai program suntikan vaksin yang dijangka berakhir pada April 2022 depan.

“Sumbangan Zaidi ini sebagai sokongan kepada kerajaan khususnya KKM dalam mempercepatkan proses suntikan vaksin kepada penduduk di Batu Pahat selain tanda penghargaan kepada petugas dari PKD yang menjadi barisan hadapan di PPV berkenaan.

“Zaidi turut berharap dan mengalu-alukan aduan daripada ahli UMNO dan parti lain jika mendapat maklum mengenai ada keluarga yang terkesan sehingga menyukarkan mendapat bekalan makanan kerana kehilangan pekerjaan dan sebagainya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau lockdown sekarang ini,” kata Mohd Hamidi yang juga Pengerusi Kebajikan JPKD Penggaram. - KitaReporters


Zaidi (kiri) membantu seorang warga emas menaiki kereta untuk pulang selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Batu Pahat.

9
2
0
0
1

Copy Link: