RAJA Pop tanah air Datuk Jamal Abdillah, 63, didakwa tidak hadir untuk sebuah show atau persembahan di Geylang Food Festival di Singapura yang berlangsung dari 7 hingga 11 September 2022 lalu.

Dakwaan itu dibuat oleh artis kelahiran Singapura Roslan Shah yang menguruskan persembahan artis untuk festival makanan tersebut.

Menurut Roslan dalam media sosial dan beberapa media, akibat kegagalan Jamal menghadiri show di festival itu, dia telah diminta membayar ganti rugi SD$10 ribu atau lebih RM30 ribu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi Jamal Abdillah



Bagaimanapun, Jamal menganggap Roslan tidak jujur dalam urusan jemputan artis.

“Saya dah banyak kali cakap tak boleh. Tapi Roslan Shah tetap pujuk saya untuk ke Singapura. Keputusan saya tetap tidak boleh pergi,” kata Jamal kepada sebuah media.

Menurut Jamal, dia tidak dapat memenuhi jemputan tersebut kerana sudah terikat dengan komitmen lain yang telah dipersetujui lebih awal.

“Saya memang tidak boleh pergi ke Singapura. Saya ingat lagi, ketika itu saya dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang ke Dungun, Terengganu.

"Roslan hubungi dan pujuk saya. Tapi saya tetap dengan jawapan ‘tidak boleh’,” tambah Jamal.

“Lagipun saya bakal adakan konsert eksklusif di Singapura yang telah telah dipersetujui pada 31 Disember dan 1 Januari 2023 nanti. Konsert ini adalah persembahan berbayar. Saya tidak mahu ganggu penjualan tiket.

“Tapi Roslan tetap pujuk saya dan yakinkan bahawa tiket konsert saya akan tetap habis terjual. 

"Sebab dah malas nak layan orang yang tidak faham bahasa, saya cuma ‘iyakan’ sahaja, namun tidak memberi apa-apa persetujuan,” katanya kepada sebuah media.



Menyentuh tentang kerugian yang ditanggung selepas segala persiapan dari segi promosi dan tiket kapal terbang dan hotel yang telah dibeli, Jamal berkata pihaknya langsung tidak tahu apa-apa tentang perkara tersebut.

Malah, Raja Pop ini yakin, Roslan mempunyai agenda tertentu sehingga beriya-iya mahu dia datang membuat kemunculan pada acara pameran tersebut.

“Persoalannya sekarang kenapa Roslan beriya sediakan tiket, penginapan dan promosi tanpa persetujuan saya dan mengatakan bahawa saya akan hadir. Sedangkan saya tidak tanda tangani apa-apa kontrak untuk membuat persembahan.

“Saya yakin pasti dia (Roslan) ada agenda tersembunyi. Saya dijemput tanpa sebarang bayaran. Kalau betul-betul nak saya datang, bayar saya. Baru saya akan datang.

“Jangan fikir tekak sendiri. Fikirkan juga kesibukan waktu saya. Sekarang ini saya cakap terus terang apa juga tentang kerugian yang ditanggung, saya sudah beritahu awal-awal saya tidak boleh pergi. Saya memang tidak ada masa untuk pergi dan tidak akan pergi,” tegas Jamal.

Menurut Jamal dia tidak akan memohon maaf kepada peminat kerana pihak yang perlu meminta maaf ialah Roslan

“Dia (Roslan) juga telah memburukkan nama saya. Seharusnya permohonan maaf itu datang daripada dia,” katanya lagi.



Terdahulu, Roslan yang mesra disapa cik Lan memuat naik beberapa hantaran dalam InstaStory miliknya dengan mendakwa seolah-olah ditipu oleh Jamal Abdillah apabila tidak hadir ke festival tersebut seperti yang dijanjikan.

“Kenapa Datuk Jamal Abdillah buat saya begini? Janji harus ditepati. Telefon dan WhatsApp pengurus pun tidak berjawab. Sedangkan semuanya disediakan oleh pihak penganjur.

“Siapa nak bayar ganti rugi? Dugaan saya nak pergi umrah pada 27 September 2022. Tak mengapa, Allah SWT Ada walaupun saya teraniaya,” tulisnya. - KitaReporters


12
10
0
16
0

Copy Link: