PENINGKATAN kes penyakit kencing manis di negara ini menunjukkan gejala menakutkan, apatah lagi kebanyakan penghidap diabetes tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai masalah itu dan hanya sedar menjadi penghidapnya apabila membuat pemeriksaan.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati kes diabetes meningkat dari 8.3 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus pada 2019. Trend kenaikan yang membimbangkan itu menyebabkan kos rawatan penyakit itu turut meningkat.

Peserta dan kakitangan Klinik Kesihatan Bangi bergambar kenangan selepas program Sambutan Hari Kesihatan Mental & Diabetes Peringkat Klinik Kesihatan Bangi, Selangor.


Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat, Dr Zailiza Suli, berkata kajian itu menunjukkan satu daripada lima masyarakat dewasa Malaysia menghidap diabetes, satu perkembangan tidak sihat.

“Kajian itu mendapati kira-kira 50 peratus penghidap diabetes di negara ini tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai masalah itu dan apabila melakukan pemeriksaan baru mereka tahu. Diabetes ini seperti "pembunuh senyap" kerana apabila dikesan, pesakit sudah pada peringkat kronik. 

"Pemakanan yang tidak terkawal salah satu faktor risiko peningkatan kes diabetes malah ia turut mendorong kepada pertambahan kes obesiti, bukan sahaja kepada orang dewasa tapi kanak-kanak," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental & Diabetes Peringkat Klinik Kesihatan Bangi, Selangor pada 15 Disember 2023.


Kakitangan Klinik Kesihatan Bangi memberi penerangan kepada pengunjung warga emas untuk menjaga kesihatan pada usia tua.


Sempena sambutan itu, pelbagai aktiviti diadakan, antaranya ceramah kesihatan mental dan diabetes, saringan kesihatan , pemeriksaan kesihatan wanita, pameran kesihatan interaktif, konsultasi cara hidup sihat dan funRobik. Turut hadir, Pegawai Perubatan dan Kesihatan Klinik Kesihatan Bangi (KKB), Dr Nurafiza Mohd Arif.

Dr Zailiza berkata, bagi menangani peningkatan kes diabetes di negara ini, setiap masyarakat harus mengetahui sama ada mereka berhadapan dengan masalah itu atau tidak. 

"Masyarakat perlu melakukan pemeriksaan dan saringan. Ini adalah langkah pertama untuk merawat masalah ini. Selepas mengetahui keputusannya, pesakit boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan dan nasihat susulan.

"Jangan ambil mudah kerana diabetes boleh menjadi punca kepada masalah lain termasuk kesihatan mental. Gula di dalam darah jika tidak dikawal boleh masuk ke buah pinggang, jantung, mata dan lain-lain sistem, ia akan menyebabkan berlaku komplikasi lain. "Jika paras gula dalam badan terlalu tinggi, ia akan menyebabkan sistem imun untuk melawan jangkitan virus berkurang. Lantas, risikonya penghidap diabetes akan mudah mendapat jangkitan dan sukar untuk pulih," katanya lagi. 


Pengunjung gembira kerana pelbagai aktiviti diadakan sempena sambutan Hari Kesihatan Mental & Diabetes Peringkat Klinik Kesihatan Bangi, Selangor.  


Dalam perkembangan yang sama, beliau turut mengingatkan orang ramai untuk berwaspada berikutan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 3 Disember 2023, berlaku peningkatan semula kes COVID-19 di negara ini iaitu sebanyak 2,305 kes. Daripada jumlah itu, empat daripadanya adalah varian Omicron baharu.

Jumlah kes baharu COVID-19 terus menunjukkan peningkatan, setakat 11 Disember 2023, laman rasmi KKM Now memaparkan, sebanyak 21,408 kes COVID-19 yang masih aktif di negara ini dan daripada jumlah itu 97.7 peratus atau 19,550 kes sedang menjalani kuarantin di rumah. Jumlah peningkatan kes mengikut negeri pula mendapati, Selangor mencatatkan jumlah kes baharu paling tinggi dengan 902 kes. 


Hadiah goodies beg dan pek makanan percuma diberikan kepada orang ramai yang mendaftar sebagai peserta Sambutan Hari Kesihatan Mental & Diabetes Peringkat Klinik Kesihatan Bangi, Selangor.


Sementara itu, Dr Nurafiza berkata, diabetes adalah satu masalah kesihatan yang menyebabkan ketidakupayaan badan untuk menukar glukosa (gula) kepada tenaga. Keadaan ini penting kerana glukosa merupakan sumber utama tenaga untuk badan.

Bagi penghidap diabetes jenis 2, apabila berlaku peningkatan paras gula dalam darah, ia menyebabkan berat badan menurun secara mendadak, sentiasa berasa lapar, kerap dahaga dan kencing, mengalami keletihan serta gangguan emosi, luka lambat sembuh dan penglihatan menjadi kabur. 


Dr Zailiza Suli mencuba minuman jus antioksidan bagi mengurangkan masalah kolestrol.


"Sambutan yang kita adakan ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahaya penyakit diabetes jika tidak dikawal di peringkat awal selain mencegah gaya hidup yang tidak sihat seperti makan berlebihan, tidak bersenam atau mengambil alkohol dan merokok.  

"Perubahan gaya hidup dengan menjaga pemakanan, mengekalkan berat badan seimbang, menurunkan berat badan sekurang-kurangnya lima hingga 10 peratus, serta meningkatkan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu, mampu mencegah atau melambatkan kesan penyakit.

"Penghidap diabetes juga perlu melakukan pemeriksaan berkala, saringan dan rawatan untuk risiko kardiovaskular seperti tekanan darah, tahap kolesterol dan obesiti," katanya. 

Beliau berkata, diabetes juga mempunyai kaitan dengan kesihatan mental, malah kajian mendapati individu yang mempunyai diabetes berisiko mengalami kemurungan. 

Dalam kes menguruskan diabetes misalnya, ia boleh menyebabkan seseorang menjadi stres, kebimbangan, sedih dan marah. - KitaReporters


Orang ramai teruja menguji permainan yang menguji minda bagi mengelak masalah kesihatan mental.  

21
18
0
12
0

Copy Link: