Ruang solat baru siap, diusahakan oleh Daud Kim yang dirujuknya sebagai masjid dan sedia untuk diguna. - Kredit foto: Instagram JaeKim66


Apabila seseorang dituduh `scammer` dalam kegiatan yang dilakukan untuk jalan Allah dan diperkata macam-macam wajarkah kita pantas percaya seratus peratus, apatah lagi orang yang membuat cerita, dia sendiri tidak tahu secara pasti, sekadar mengesyaki.

Youtuber mualaf Korea Selatan, Daud Kim yang juga pempengaruh tersohor dengan konten bertemakan Islam antara individu yang sering diperkatadan dicari kesilapan dalam apa jua kegiatan dan perancangannya.

Daripada kisah silam sebelum Muslim, perbuatan buruknya diungkit-ungkit sehingga menjejaskan imejnya yang memaksanya membuat pengakuan dan memberi penjelasan demi penjelasan bagi membersihkan nama, di samping mengakui beliau bukan seorang sempurna, namun sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik.


Daripada serpihan bahan seperti jubin (gambar) membayangkan ruang dalaman asal bangunan ini menjalani pengubahsuaian daripada keadaan asal menjadi dewan solat. - Kredit foto: Instagram JaeKim66


Pengikutnya tahu hasrat murni beliau untuk menjadi pendakwah dan menjadi Muslim yang sentiasa membuat amal kebajikan dan tidak dinafikan ramai juga yang menyokongnya. Dalam saluran YouTube sahaja, dia mempunyai 5.7 juta pengikut dan Instagram 3.6 juta.

Terkini, Daud Kim telah membuktikan perancangan untuk membina rumah Allah bukan semata-mata gimik.

Dalam konten Instagramnya yang terkini, Daud Kim meluahkan rasa syukur akhirnya impian untuk membina masjid tercapai. Kata personaliti media sosial itu, hajatnya itu tidak akan berjaya dicapai tanpa bantuan sumbangan daripada orang ramai.

"Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya! Dengan bantuan anda semua, saya berjaya membina rumah Allah SWT. Saya juga tahu ramai yang mengambil berat, tetapi saya tidak pernah berputus asa dengan impian saya untuk membina masjid," katanya. 

Perkembangan terkini itu dilaporkan beberapa media sosial, termasuk media online berbahasa Melayu, mStar yang memetik kandungan Instagram pempengaruh itu.


Panel dinding atau pintu diangkut naik ke atas melalui tangga, membayangkan dewan solat dan pejabatnya terletak di lantai atas bangunan bertingkat. - Kredit foto: Instagram JaeKim66


Belum reda masyarakat mempertika ketulusannya mengutip dana untuk membina masjid, tup tup, dalam tempoh yang tidak lama Daud Kim memuatkan naik video bergerak pantas menunjukkan beliau menyertai kegiatan membina sebuah ruang bangunan yang luas lagi lapang, selayaknya sebagai tempat solat.

Gambar menunjukkan langkah demi langkah kerja pembinaan, daripada mula sehingga siap dan kerja pemasangan permaidani sepenuh lantai dengan gambar terakhir, kegiatannya solat berimam bersama satu saf di ruang yang baru siap itu. 

Namun dalam video itu tiada fakta mengenai tempat mahupun keluasan bangunan. 

Daripada penelitian gambar dan kegiatan kerja, lokasi seakannya sebuah ruang yang luas di bangunan bertingkat, bukan sebuah bangunan tersendiri. Apa yang penting, sebuah ruang selesa untuk solat berjemaah telah pun berjaya disempurnakan atas inisiatif Daud Kim, itu pun sudah cukup mengembirakannya. 

Tentulah dia berasa lega, sekurangnya sebahagian wang kutipan yang diamanahkan kepadanya sudah dibelanjakan untuk yang sepatutnya, biar pun masjid di atas tanah yang diidamkan belum menjadi kenyataan.


Siling dan lantai bangunan diberikan kemasan baru. Gambar menunjukkan kemasan ruang ini sedang dalam proses pembinaan. - Kredit foto: Instagram JaeKim66


Bagi yang tidak tahu, logiknya bukan mudah untuk membina sebuah bangunan tersendiri di atas sebuah kawasan tanah, apa lagi rumah ibadat Muslim yang menerima tentangan seratus peratus daripada masyarakat setempat, sementelah dengan undang-undang bangunan dan peraturan sedia ada.

Keterujaan Daud Kim berjaya membeli satu lot tanah di Incheon bertukar suram apabila sebaik sahaja dia membuat pengumuman untuk membina masjid, terus sahaja timbul pertikaian dan bantahan daripada penduduk setempat, sehingga penjualan tanah dilaporkan ditarik balik. 

Tidak hanya itu, ada pula dua wanita mualaf Muslim yang mendakwa arif mengenai peraturan di Korea mengeluarkan peringatan kepada umum, supaya berhati-hati memberi sumbangan derma dibimbangi terkait dengan penipuan.

Daud Kim menghadapi semua itu dengan tenang. Gagal pelan A, tukar pula kepada pelan B. Seterusnya tersiar video "My dreams come true" dalam Instagramnya beberapa hari lalu.


Kemasan siling dan lampu siap dipasang. Keseluruhan lantai siap diratakan, sedang menunggu untuk dipasangkan hamparan permaidani dari dinding ke dinding iaitu sepenuh ruang. - Kredit foto: Instagram JaeKim66


Usaha Daud Kim yang ini mungkin tidak seberapa bagi orang lain, tetapi sesuatu yang besar baginya. Berkata tidak putus asa dengan halangan, pantas menyusun semula perancangan dan tindakan, sesuaikan dengan sifat kekangan dan peraturan. Daripada sebuah masjid tersergam yang diidamkan, terpaksa berpuaslah hati dengan yang termampu setakat ini. Logiknya yang begini lebih menjimatkan dari segi perbelanjaan, sekali gus ada peluang untuk membina lebih banyak lagi di tempat lain pula.

Sebagaimana publik dimaklumkan, tidak mudah bagi individu untuk membina sebuah masjid di atas tanah di Korea Selatan melainkan usaha dibuat bersama pertubuhan yang sah.  

Mulanya beliau berhasrat membina masjid di mana azan boleh dilaungkan, tetapi hakikat itulah (azan) yang membuat masyarakat sekitar menolaknya, bimbangkan gangguan pada kemudian hari.


Permaidani tanpa corak, warna biru tua bergaris putih, siling dan dinding putih bersih berganding hitam polos memberi imej moden minimalis kepada ruang, lapang kemas dan bersih. - Kredit foto: Instagram JaeKim66


"Saya juga tahu ramai yang mengambil berat, tetapi saya tidak pernah berputus asa dengan impian saya untuk membina masjid," tegas Daud Kim.

Berhubungan isu kutipan dana menerusi akaun peribadi yang diperkatakan sebelum ini, Daud mengakui terlepas pandang dan meminta orang ramai berhenti sementara menghulurkan sumbangan seraya meminta supaya diberikan peluang untuk memperbaiki langkah mengikut peraturan. 

Pada masa sama, Daud Kim berjanji akan bersikap lebih telus pada masa akan datang terutama melibatkan sumbangan orang ramai dalam pembinaan masjid.


Daud Kim dan petugas lain sedang tekun mengecat. - Kredit foto: Instagram JaeKim66


Namun semua itu tidak melemahkan semangatnya, sambil menghadapi pelbagai tohmahan, dia tiba-tiba muncul dengan berita terbaharu, baru saja selesai menyiapkan satu ruang solat yang dianggap masjid. Beliau juga pernah berkata, tempat itu bakal turut dilengkapi studio podcastnya. 

Terdahulu, bagi merealisasikan impian membina masjid, Daud Kim melancarkan kutipan dana yang boleh disalurkan terus ke akaun peribadi miliknya. 

Di situlah terjadinya isu, apabila dia didakwa cuba menipu orang ramai kerana undang-undang Korea Selatan melarang mana-mana pihak memungut sumbangan menerusi akaun peribadi melebih had tertentu (RM40,000) dan pembinaan rumah ibadat atau masjid hanya boleh dibuat dengan kerjasama pertubuhan bertauliah, selain perlukan lokasi yang diluluskan. - KitaReporters


Bersama tim yang sentiasa bersemangat dalam kerja masing-masing. - Kredit foto:  Instagram JaeKim66

7
18
0
15
0

Copy Link: