Agih 236 naskhah al-Quran! Badim bantu sekolah tahfiz, pengajian pondok, masjid di Selatan Thailand!

Published by
KitaReporters

Azhar Yop (kiri) melakukan gimit penyerahan al-Quran kepada Ustaz Abdul Rashid Sulaiman.


PERSATUAN Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad (Badim) melaksanakan misi penghantaran 263 naskhah al-Quran berkualiti untuk sekolah tahfiz dan pengajian pondok serta masjid di Selatan Thailand pada program yang diadakan selama dua hari bermula 16 Februari 2023.

Infak al-Quran diterima oleh Badim hasil kerjasama serta sumbangan infak daripada pelbagai pihak termasuklah Persatuan Kebajikan Amal Syumul (Perkas), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu prihatin sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kitab suci al-Quran

Azhar (tujuh dari kiri) bersama-sama pelajar Sekolah Tahfiz dan Pengajian Pondok Baba Abdul Qadir, di daerah Khok Pho, Patani, Thailand pada misi penghantaran 263 naskhah Al-Quran pada 16 Februari 2023. 


Timbalan Yang Dipertua Badim, Azhar Yop, berkata infak al-Quran itu diserahkan kepada pengurusan Sekolah Tahfiz dan Pengajian Pondok Baba Abdul Qadir di daerah Khok Pho, Patani dan Masjid Ibadur Rahman, Kampung Kuve, Narathiwat, Thailand.

Menurutnya, kedua-dua lokasi berkenaan terjejas teruk dalam bencana banjir yang berlaku awal Januari 2023 lalu apabila banyak bahan bacaan serta kitab agama dan al-Quran rosak digenangi air banjir.


Wakil Perkas, Ustaz Sayuti (tengah) menyerahkan sumbangan wang zakat kepada Ustaz Abdul Rashid.


Tambah Azhar, sebaik menerima berita berkenaan Badim mengerakkan kempen infak al-Quran dengan menguar-uarkan menerusi media sosial dan tidak menjangka mampu mengumpul naskhah al-Quran itu dalam tempoh masa yang singkat sahaja.

Ujar beliau, usaha itu juga diharapkan banyak membantu saudara seagama di negara berkenaan untuk mengembangkan ilmu agama serta dakwah dan tidak terbantut apabila menghadapi masalah kekurangan bahan pembelajaran.

“Sumbangan al-Quran ini bertepatan pula dengan kedatangan bulan Ramadan yang tidak berapa lama lagi dan akan dimanfaatkan pelajar sekolah tahfiz dan pondok serta jemaah masjid untuk beramal.  

“Di samping menginfak al-Quran ini, Badim turut menyerahkan wang zakat kepada pondok dan masjid berkenaan yang dalam pembinaan serta pengubahsuaian,” kata Azhar lagi. 


Sukarelawan Badim, Zainol Khalid (kiri) menyerahkan wang zakat kepada wakil seorang keluarga.


Ketua Kegiatan Pelajar & Pentadbiran Umum sekolah tahfiz dan pengajian pondok itu, Ustaz Abdul Rashid Sulaiman yang hadir menerima sumbangan al-Quran berkenaan, berkata 163 naskhah al-Quran akan diagihkan untuk kegunaan di sekolah tahfiz dan pengajian pondok manakala selebihnya diserahkan kepada pengerusi masjid berkenaan, Yunan Yunuh.

Menurut beliau, mereka berasa bertuah apabila mendapat perhatian daripada rakyat Malaysia menerusi NGO yang sanggup melengkapkan kemudahan pembelajaran agama apabila menyumbangkan al-Quran menerusi Badim.


Pengerusi Perkas, Zabba Abdul Ghani (kanan) menyerahkan sumbangan al-Quran kepada Yang Dipertua Badim, Mohd Isa Ali.


“Kami akan memanfaatkan sumbangan ini dan akan memastikan operasi sekolah tahfiz dan pengajian pondok berterusan seperti sebelumnya supaya dakwah Islamiah terus berkembang bagi melahirkan generasi muda yang berilmu dalam bidang agama,” katanya. - KitaReporters


Sukarelawan Badim menurunkan al-Quran untuk diagihkan kepada sekolah tahfiz dan pengajian pondok.

28
12
0
14
0

Copy Link: