KEMERIAHAN mengakhiri sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hujung Syawal digunakan sebahagian bekas pelajar dengan  mengadakan majlis reunion (pertemuan semula) raya untuk berjumpa dan bersemuka dengan kawan-kawan yang sudah lama berpisah.

Dengan bantuan teknologi moden terkini media sosial terutama menerusi penggunaan telefon pintar dalam beberapa minggu sahaja mereka berjaya mengumpul rakan lama dari satu sekolah untuk bertemu semula sambil meraikan perayaan Aidilfitri.

Pengerusi Kelab Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Manir (KAWAN), Kuala Terengganu, Mohd Johairi Ngah, berkata dengan penggunaan telefon pintar sekarang hanya dalam tempoh beberapa minggu sahaja kami dapat mengumpul semula rakan sekolah bagi tahun 1984 hingga 1988.


Mohd Johairi Ngah (kanan) bersama-sama Penaung KAWAN, Dato' Anuar Mat Jan (tengah) dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Abdul Rahman Limbong pada Majlis Reunion Raya 2023.


Menurutnya, dengan dibantu rakan selepas diuar-uarkan menerusi telefon pintar dan media sosial lain seperti Facebook dan TikTok mereka berjaya mengumpul lebih 80 rakan yang juga ahli KAWAN untuk hadir pada Majlis Reunion Raya di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Abdul Rahman Limbong, pada 19 Mei 2023.

Tambahnya, usaha mengumpul semula rakan pelajar mungkin juga mudah dilaksanakan apabila ditubuhkan KAWAN berfungsi untuk mewujudkan hubungan erat antara mereka kekal di samping senang menghubungi semula rakan yang terputus hubungan.

Jelasnya, walaupun sekolah sudah bertukar kepada nama Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Abdul Rahman Limbong dengan adanya KAWAN perkara itu tidak menjadi masalah besar bagi berjumpa semula dengan rakan apabila ada antaranya sudah 35 tahun tidak bertemu.

“Dengan adanya KAWAN ini kami berjaya mewujudkan badan khairat kematian, bantuan kecemasan hospital, bantuan bencana alam dan sebagainya untuk ahli yang sama-sama menuntut di sekolah berkenaan dalam kelas sains, perdagangan dan sastera,” ujar beliau. 

Pada majlis itu ahli-ahli KAWAN yang hadir mengambil peluang bertanya khabar serta beramah mesra di samping menikmati pelbagai hidangan tradisional Terengganu bersesuaian dengan sambutan Aidilfitri seperti nasi minyak, nasi dagang, sate, nasi impit, ketupat, rendang ayam dan daging, laksa kuah merah, tapai, kuih-muih selain pelbagai perisa air balang. 


Sebahagian bekas pelajar tahun 1984 dan 1988 Sekolah Menengah Kebangsaan Manir, Kuala Terengganu yang hadir pada Majlis Reunion Raya 2023 merakamkan kenangan pada 19 Mei 2023.


Sementara itu, 50 bekas pelajar tahun 1984 dan 1985 yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1985, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah, Perak, turut berjumpa dalam majlis reunion yang diadakan pada 20 Mei 2023.

Pengerusinya, Alias Ahmad, berkata sempena bulan baik dan mengakhiri sambutan Hari Raya Aidilfitri pada penghujung Syawal mereka bertemu kembali selepas 40 tahun membawa haluan masing-masing selepas menamatkan pengajian pada peringkat menengah, kolej dan universiti.

Menurutnya, namun begitu masih ada antara mereka terus berhubung menerusi pelbagai media sosial yang digunakan bagi berbincang mengenai pelbagai hal semasa termasuk bidang kerjaya yang diceburi kerana sebilangan mereka berjaya menamatkan pengajian di universiti luar negara.


Alias Ahmad (berdiri lima dari kanan) bersama-sama rakan bekas pelajar tahun 1984 dan 1985 Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah, Perak, berjumpa dalam majlis reunion yang diadakan pada 20 Mei 2023.


Jelasnya, selain dapat mengeratkan ukhuwah persahabatan antara mereka di samping bertanya khabar, reunion itu juga bagi memaklumkan perkembangan terkini proses pendaftaran persatuan alumni dengan jabatan berkenaan.

“Kami mencapai persetujuan dalam reunion sebelum ini untuk mendaftar menjadi sebuah persatuan alumni supaya dapat bergerak lebih aktif dan tersusun terutama dalam membantu rakan yang ditimpa musibah,” katanya pada Majlis Perjumpaan Aidilfitri 2023 di Homestay Harmony, Gopeng, Perak. 


Sebahagian bekas pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah, Perak yang hadir pada Majlis Perjumpaan Aidilfitri 2023 di Homestay Harmony, Gopeng, Perak.

32
20
0
13
0

Copy Link: