Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di empat daerah iaitu Kota Setar, Kuala Muda (Kedah), Kuala Terengganu dan Kuala Nerus (Terengganu) boleh mendapatkan rawatan di bawah Skim Perubatan Madani (SPM) bermula 17 Ogos 2023. 

Program perintis SPM menyediakan Rawatan Pesakit Luar Kes-Kes Akut secara percuma kepada penerima STR untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta yang berdaftar. 

SPM ditawarkan secara automatik kepada penerima STR dengan membantu menampung kos rawatan kes-kes akut di klinik swasta yang berdekatan dengan tempat kediaman atau tempat kerja. 

Sehingga kini, jumlah klinik swasta yang berdaftar untuk skim ini melebihi 750 buah klinik dan dijangkakan jumlah ini akan meningkat dari semasa ke semasa. 

Sebagai permulaan, sebanyak 39 klinik telah diaktifkan di empat daerah ini dan bersedia untuk memberi rawatan. 

KKM mengalu-alukan lebih banyak klinik swasta di daerah-daerah ini untuk mendaftar sebagai klinik panel. 

Perluasan SPM diharap dapat membantu lebih ramai penerima manfaat menikmati program ini yang merupakan inisiatif Ekonomi Madani Kerajaan Perpaduan memperkasa rakyat dengan memastikan akses sejagat kepada sistem sokongan kesihatan. 



Melalui penglibatan kemudahan swasta, isu kesesakan pesakit luar di kemudahan kesihatan kerajaan dapat diatasi dengan membantu hampir 700,000 isi rumah yang kurang berkemampuan mendapat rawatan di klinik swasta. 

Persediaan untuk pelaksanaan sedang dijalankan di daerah-daerah seperti Kota Bharu, Pasir Mas (Kelantan), Kuantan (Pahang), Melaka Tengah (Melaka), Seremban (Negeri Sembilan), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Perlis yang akan bermula pada 25 Ogos 2023. 

Perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan akan diberikan di klinik swasta kepada penerima manfaat mengikut pakej yang ditentukan. 

Penerima manfaat boleh mendapat beberapa kali rawatan percuma sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah habis digunakan. 

Peruntukan bagi setiap isi rumah berkeluarga adalah sehingga RM250, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang. 

Penerima yang layak menerima manfaat skim ini hanya perlu membawa kad pengenalan mereka ketika mendapatkan rawatan.

Layari www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani untuk menyemak kelayakan dan senarai klinik panel. - KitaReporters/Kenyataan Media

11
9
0
6
0

Copy Link: