Tiga pasangan kembar dari tiga kaum terbesar di Malaysia antara yang mendaftar sebagai pelajar baharu Sarjana Muda sidang akademik 2023/2024 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh Putra pada 30 September 2023. 

Mereka ialah pasangan Nur Arifah Haznul dan Nur Arina Haznul; Teoh Ling Jie dan Teoh Ling Sheng; serta Mithunan Jegathesan dan Mithran Jegathesan. 

Menurut Nur Arifah (20), beliau memilih UniMAP kerana lokasinya yang jauh di negeri kelahirannya selain tertarik dengan komen-komen positif yang diperoleh melalui media sosial. 

“Saya seorang yang sukakan cabaran dan peluang melanjutkan pengajian di UniMAP adalah satu perkara yang saya harapkan. 

“Ini kerana selain belajar saya juga ingin mempelajari dan memahami budaya orang utara,” katanya yang menetap di Skudai, Johor. 

Katanya lagi, selain tertarik dengan komen-komen tersebut, beliau memilih UniMAP kerana universiti ini menawarkan program yang diminatinya iaitu Keusahawanan Kejuruteraan. 

Adiknya iaitu Nur Arina pula berkata, pemilihan UniMAP adalah kerana keyakinan beliau terhadap universiti ini mampu merealisasikan impiannya yang memilih Komunikasi Media Baharu. 

“Hasil penggumpulan maklumat saya mendapati graduan UniMAP laris di pasaran  pekerjaan dan inilah faktor penguat saya memilih UniMAP,” katanya.  



Bagi pasangan Teoh Ling Jie dan Teoh Ling Sheng, 22 tahun dari Kedah, mereka sememangnya meletakkan UniMAP sebagai universiti pilihan utama mereka. 

“Selain faktor berdekatan dengan keluarga, UniMAP dipilih kerana minat kami terhadap program pengajian yang ditawarkan oleh UniMAP,” kata Ling Jie yang memilih kejuruteraan elektronik sambil disokong adiknya, Ling Sheng yang menyambung kejuruteraan bahan.  

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, UniMAP menerima 2,135 pelajar baharu dengan pecahan 1,091 lelaki dan 1,044 perempuan. 

“Bilangan ini jelas menunjukkan perkembangan yang positif, sekali gus membuktikan bahawa program teknikal yang selalunya dipelopori kaum lelaki telah mula diminati kaum wanita. 

“Jumlah ini walaupun menunjukkan jumlah pelajar lelaki lebih ramai tetapi boleh saya katakan bahawa persaingan bersama pelajar perempuan adalah sengit dengan perbezaan peratusan hanya 2.2 peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Taklimat Kepada Waris Bersama Naib Canselor sempena Minggu Suai Kenal (MSK) Sarjana Muda Sidang Akademik 2023/2024. 



Beliau turut memberikan keyakinan kepada ibu bapa dan waris apabila berkongsi data kebolehpasaran graduan UniMAP 2022 yang mencatatkan 97 peratus graduan telah memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduat. 

“Ramai alumni UniMAP diterima bekerja di industri-industri besar seperti Oppstar yang 40% kakitangannya adalah graduan UniMAP. 

“Begitu juga industri lain yang percaya akan graduan yang dihasilkan oleh UniMAP seperti Intel, Micron, Keysight, Renesas, Jabil Circuit, Walta dan lain-lain. 

“Justeru, usah ibu bapa bimbang kerana di UniMAP kami sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai program dengan industri agar graduan UniMAP sentiasa menjadi rebutan majikan,” katanya. - KitaReporters/UniMAP

9
11
0
20
0

Copy Link: