Pusat Tamhidi (Asasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta kejayaan manis selaku tuan rumah penganjuran Pertandingan Inovasi Inter-Asasi Matrikulasi (PIITRAM) 2024 apabila berjaya merangkul sembilan pingat emas. 

Berlangsung pada 23 dan 24 Februari 2024 lalu di Dewan Tuanku Canselor USIM, Pusat Tamhidi juga turut menggondol dua anugerah khas selain meraih tujuh pingat perak dan enam pingat gangsa dalam pertandingan tersebut.

Pingat emas disumbangkan daripada projek inovasi pelajar iaitu Non-CFCS Refrigerator, Smart Campus Mobility: Innovating Campus Life With Arduino-Based GPS Tracking, Edible Orange Straws, Pedestrian Traffic Gate (PTG), EGIP, dan Bloom Guardian.

Kakitangan akademik Pusat Tamhidi juga turut menyumbang pingat emas melalui projek IFace Version 1.0: A State of The Art Facial Recognition System for Seamless Attendance Recording, Al-Inas: Model Bahasa Arab untuk Perundangan Islam Melalui Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli, dan IENRollHub: Automasi Sistem Pendaftaran Penyertaan Seminar & Pertandingan Inovasi PIITRAM2024.



Sementara itu, projek inovasi dari kumpulan pelajar Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi iaitu Smart Campus Mobility: Innovating Campus Life With Arduino-Based GPS Tracking berjaya meraih perhatian juri untuk menerima Anugerah Khas Projek Paling Kreatif.

Inovasi ini merupakan penghasilan satu alat pengesan GPS yang dapat membantu pelajar untuk mengesan kedudukan bas yang berada di dalam kampus. 

Menurut ketua kumpulan, Muiz Irfan,18, idea menghasilkan inovasi ini datangnya daripada pensyarah mereka selain kesulitan yang sering dialami sendiri oleh beliau dan rakan-rakan lain iaitu ketinggalan bas untuk ke kuliah.

“Ada kalanya bas tiba lewat untuk ke kuliah atau bertolak terlalu awal dari yang dijadualkan. 

"Justeru melalui inovasi penciptaan alat GPS yang dihubungkan melalui satu aplikasi khas yang dimuat turun ke telefon pintar, pelajar dapat mengetahui kedudukan bas dengan menghubungi nombor yang terdapat di dalam sistem kami ini  melalui pesanan teks sahaja.

“Lebih kurang dua minggu menyiapkan projek ini dan antara cabaran besarnya ialah komponen elektrik yang sering mengalami masalah dan software coding yang menyebabkan GPS tidak berfungsi dengan baik pada peringkat awal. 

"Saya berharap inovasi ini boleh dikembangkan penggunaannya ke seluruh universiti di Malaysia kerana kami mempunyai perancangan untuk menambah fungsi baharu iaitu jangkaan masa ketibaan bas,” tambahnya lagi.



Selain itu, satu lagi anugerah khas diterima oleh USIM melalui Anugerah Pembentangan Terbaik (Dalam Talian) bagi projek IFace Version 1.0: A State of The Art Facial Recognition System for Seamless  Attendance Recording.

Sebanyak 342 produk inovasi menyertai pertandingan kali ini yang terdiri dari 224 penyertaan Asasi Universiti Awam, 113 Kolej Matrikulasi dan lima Politeknik (Asasi TVET). 

PIITRAM merupakan platform terbaik kepada pelajar asasi dan matrikulasi dalam menghasilkan reka cipta yang berteraskan pendekatan inter-disiplin dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) yang sejajar dengan transformasi pendidikan kebangsaan bagi melahirkan modal insan yang sangat mahir dan inovatif.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhmmad Tauffik Mohd Nor.

Turut hadir Pengerusi Majlis Dekan/Pengarah Pusat Asasi Universiti Awam, Profesor Madya Dr. Laili Che Ros dan Dekan Pusat Tamhidi, Profesor Madya ChM. Dr. Juliana Jumal. - KitaReporters/USIM


8
9
0
9
0

Copy Link: