Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuka era baharu dalam industri penternakan kambing melalui Kursus Penternakan Kambing: USIM Breeder di bawah penyeliaan Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU).  

Kandang yang menempatkan lebih 60 ekor kambing ini dibina dengan keluasan 1 hektar berdekatan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM.

Menurut Pengarah PKUU Prof Madya Ts. Dr. Sundresan Perumal berkata, projek ini turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Jabatan Verterinar serta syarikat alumni USIM iaitu Ghonami Global Enterprise. 

Pelaksanaan projek ini telah bermula pada Ogos 2023 dan dijangka berakhir pada penghujung Julai 2024.



Antara matlamat projek ini adalah untuk memperkasa kemahiran dalam bidang penternakan dalam kalangan pelajar serta mendorong mereka menjana pendapatan sendiri. 

Ia juga bertujuan menyokong industri penternakan kambing dengan menyediakan pusat latihan dan kemahiran ternakan menggunakan teknologi RFID Tagging dan Precision Breeding. 

Selain itu, projek ini turut mengetengahkan kepakaran dalaman USIM dalam pelaksanaan Modul Pengurusan Daging Halal.

“Menariknya tentang projek ini, kami mempraktikkan konsep ‘zero waste farming’ iaitu air sisa buangan kambing ini akan diguna semula untuk siraman rumput yang ditanam khas sebagai makanan kepada kambing ternakan ini," kata Dr. Sundresan.



“Seramai 80 pelajar yang mengikuti kursus ini akan menjalani latihan berdasarkan 6 modul yang disediakan iaitu Modul Pengenalan dan Aspek Ekonomi Ternakan Kambing; Modul Pengurusan Pemakanan Kambing dan Peralatan; Modul Pemilihan Kambing dan Pengurusan Kesihatan; Modul Pembiakan Kambing dan Pengurusan Gerompok; Modul Pemasaran Kambing dan Kawalan Perniagaan, dan Modul Pengurusan Daging Kambing Halal," katanya.

Dr. Sundresan berkata, kambing ini merupakan kacukan baka Dorper dengan baka Santa Ines dan baka Barbados Blackbelly. 

Baka Dorper adalah merupakan salah satu baka bebiri berasal dari benua Afrika (spesifiknya di Afrika Selatan). Ia merupakan kacukan baka Dorset Horn dan Blackhead Persian Sheep, manakala baka bebiri Santa Ines ini berasal dari negara Brazil. 

Selain itu terdapat juga kambing jenis baka Jammunapari dan kacukan Boer yang diternak di kandang kambing ini.



Menurut Dr. Sundresan, industri penternakan kambing kian hari kurang digemari generasi muda. 

Dengan adanya penglibatan golongan pelajar dalam kursus penternakan kambing ini, diharapkan agar dapat mencetuskan semangat dan minat dalam bidang ternakan kambing, sekali gus mendorong kepada potensi kemajuan kerjaya golongan belia dan meningkatkan kesedaran tentang peluang dan potensi dalam perindustrian ini. 

"Harapan saya dengan adanya generasi muda ini maka isu keselamatan makanan nasional boleh diselesaikan dengan mudah," tambah beliau. - KitaReporters/USIM


9
12
0
11
0

Copy Link: