Berbudi kepada tanah tidak pernah merugikan malah ia mendatangkan kebaikan. Itulah yang dirasai kini oleh warga Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi program yang berimpak tinggi iaitu Projek MegaChilli 2021 yang dijalankan sepanjang tahun 2021.

Bermula dengan cabaran pandemik COVID-19, projek yang tertunda agak lama ini akhirnya berjaya direalisasikan oleh para pelajar terlibat.

Projek hasil kerjasama antara Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM), Kolej-Kolej Kediaman, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Persatuan Alumni, Pusat Pembangunan Keusahawanan Dan Kebolehpasaran Graduan, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia dan Jabatan Pertanian Negeri Selangor yang memperuntukkan kos keseluruhan sebanyak RM50,000 telah membuahkan hasil.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan cili

Pengetua KOSASS, Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad menunjukkan cili yang dituai.


Projek MegaChilli ini telah menjadi salah satu projek yang memenuhi aspirasi teras Pelan Strategik HEPA 2021 iaitu Kelestarian Pertanian

Sebagai sebuah pusat tanggungjawab yang berperanan dalam menggerakkan aktiviti perhubungan alumni, ARCUPM sentiasa seiring dengan hasrat universiti untuk memperkasakan hubungan dan jaringan alumni dengan melaksanakan pelbagai program. 

Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk merapatkan hubungan para alumni dan alma mater dan diseiringkan lagi dengan Aspirasi ke-11 Naib Canselor 2022 iaitu Melibat Sama Alumni Untuk Kelangsungan Universiti.

Kejayaan Projek Megachilli 2021 terutama di Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) yang berjaya menghasilkan 23 kilogram (kg) cili pada tuaian kali kedua telah menarik minat Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail untuk meninjau tapak projek.


Sekitar lawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tengku Syarif Laksamana Perlis, Syed Razlan Syed Putra Jamalullail


Berkata pada sesi lawatan itu, Syed Razlan menyatakan sokongan penuhnya terhadap aktiviti dan program yang melibat sama antara pelajar, kolej kediaman dan juga alumni UPM.

Beliau yang juga Alumni UPM kelas 1972, mengatakan sudah tiba masanya universiti memainkan peranan penting dalam melahir dan mempersiapsiagakan pelajar UPM dengan teknologi yang mudah dan efektif.

“Di UPM sendiri masih banyak tanah yang boleh dijadikan projek penanaman pelajar dalam usaha kita mencapai Aspirasi Naib Canselor iaitu Menakhoda Pertanian Dan Pusat Rujukan Pengembangan.

“Banyak lagi projek yang boleh diusahakan untuk menjana ke arah itu. Jika ini kita lakukan di kampus hijau ini, maka isu kepada ‘food security’ yang sering kita takutkan apabila adanya krisis dan wabak dapat kita elakkan.

“Di sini kita boleh jadikan tapak mula dan jangan takut untuk gagal kerana dalam apa usaha yang kita lakukan andainya ia tidak menjadi seperti yang diharapkan itu bukanlah satu kegagalan tetapi kejayaan belum datang,” ujarnya di program yang berlangsung di KOSASS pada pertengahan Februari 2022 lalu.


Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan memberi ucapan. 


Pada program yang cukup bersejarah itu juga, Pengetua Kolej KOSASS, Prof. Madya Dr. Mohd  Mursyid Arshad menzahirkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pusat Perhubungan Alumni kerana menjemput kolej bawah kendaliannya untut turut serta dalam projek yang berimpak tinggi ini. 

“Satu penghargaan yang besar saya zahirkan kepada Pusat Perhubungan Alumni kerana melibatsamakan kolej kami dalam projek perintis ini. Manakala sinergi yang ditunjukkan oleh para pelajar, felo kolej dan staf turut membawa kepada kejayaan projek ini. Kerserakanan antara belia dan pelajar yang ditunjukkan ini adalah satu komitmen yang padu dalam merancakkan lagi kelestarian pertanian di kampus hijau ini.

“Kejayaan Projek Megachilli ini tidak harus berhenti di sini sahaja. Projek sebegini harus dipergiatkan lagi pada masa hadapan dengan beberapa penambahbaikan.

Cili dan rock melon merupakan tanaman ‘signature’ di UPM, tetapi ada beberapa lagi tanaman yang boleh kita usahakan seperti penanaman terung yang boleh juga guna teknik yang sama iaitu teknik fertigasi. Selain itu, kobis dan jagung juga antara yang mempunyai potensi besar dan boleh menambah kepada pengalaman pelajar apabila bergraduat kelak.



“Projek MegaChilli 2021 yang diterajui ARCUPM ini, merupakan satu permulaan yang baik dalam kita menjadikan pertanian satu inovasi untuk mencipta peluang pekerjaan dan seterusnya bergelar usahawan tani. Projek ini juga menjadi satu perintis kepada kita dalam sama-sama menyemarakkan lagi Seruan Al-Falah Dari Menara Ilmu yang sering dilaungkan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Roslan Sulaiman,” ujarnya,

Selaku Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang memantau rapat projek ini, ARCUPM menerusi pengarahnya, Prof. Dr. Arba’ie Sujud, menzahirkan setinggi ucapan terima kasih kepada yang turut sama terlibat dalam projek ini.

“Ini merupakan projek usaha sama antara ARCUPM, Alumni, Kolej Kediaman dan juga Jabatan Pertanian Negeri Selangor. Ini adalah salah satu usaha kami dalam memastikan bahawa UPM sebagai sebuah universiti yang meneraju pertanian agar terus dapat memberi impak, ilmu dan pengalaman kepada para pelajar UPM yang bukan sahaja daripada pengajian pertanian tetapi juga bidang pengajian yang lain. 

"Ini juga antara usaha kita dalam memasyarakatkan supaya pelajar dapat merasai bagaimana pertanian ini sebagai satu bidang kerjaya yang mencabar,” akhirinya. 


Prof. Dr. Arba’ie Sujud mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terbabit. 


Terdahulu, sebanyak lima buah kolej kediaman di kampus Serdang dan Sri Rajang, Bintulu telah menyahut cabaran dalam projek besar ini dan kolej KOSASS adalah kolej pertama yang berjaya menuai hasil dengan tiga kali tuaian.

Setiap kolej telah diberikan geran penanaman sebanyak RM5,000 secara ‘one off’ dan hari ini mereka dapat berbangga kerana usaha gigih selama ini telah membuahkan hasil.

Tuaian tersebut dijual sekitar UPM dan kepada kakitangan. Ada juga yang dibuat cili jeruk dan dijual. - KitaReporters


12
7
0
16
0

Copy Link: