Program Baca Cepat Kawanku (BCK) sedang dijalankan. 


Yayasan Pahang (YP) telah memperkenal Program Baca Cepat Kawanku (BCK) bertujuan membantu murid-murid sekolah rendah mengenal huruf dan membaca seawal tahun 1 supaya mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran menerusi penggunaan  Modul BCK yang mengandungi 12 konstruk. 

Program BCK lebih fokus kepada murid sekolah luar bandar dan komuniti rentan bagi tujuan meningkatkan kadar kemahiran membaca dalam kalangan mereka yang terpilih. Ia adalah satu usaha murni YP dalam memastikan golongan ini tidak ketinggalan dan mampu bersaing secara sihat sesama mereka.

Antara sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Menson, Cameron Highlands, Pahang apabila seramai 121 murid terpilih mengikuti program BCK dan juga program Celik Al-Quran. 


Program Celik Al-Quran yang sedang dijalankan di SK Menson.


Melalui didikan guru yang berpengalaman, murid-murid SK Menson diajar menggunakan Modul BCK yang mengandungi 12 konstruk iaitu Konstruk 1 hingga Konstruk 12.

Modul ini diguna pakai bagi membolehkan murid-murid berkenaan dapat mengenal huruf dan membaca seawal tahun 1, sekali gus tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran mereka. 

Bagi Program Celik Al-Quran pula, murid-murid yang tidak boleh membaca al-Quran daripada tahun 1 sehingga tahun 6 diberi perhatian dengan pengajaran Iqra di dalam kelas. 

Seramai 141 murid dilatih oleh guru yang berpengalaman agar dapat menguasai dan diberi semangat untuk mencapai kejayaan membaca al-Quran dengan baik dalam tempoh terdekat.


Murid memberi tumpuan sepenuhnya ketika program BCK sedang berlangsung.


Setiausaha Sulit kepada Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Henry Savarimuthu  yang mewakili Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Noor berkata, usaha yang dilaksanakan oleh Yayasan Pahang tersebut diharap dapat memberikan impak tinggi kepada murid-murid sekolah di daerah ini.

"Usaha yang dijalankan itu dilihat dapat memberikan impak yang tinggi khususnya kepada murid-murid SK Menson. Murid yang terpilih itu diharap mengambil peluang dan manfaat di atas segala ilmu yang diberikan.

 ”Murid-murid yang mampu menguasai pembacaan akan dapat mengikuti aktiviti, sekali gus memahami pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang disampaikan oleh guru di dalam kelas,” katanya ketika merasmikan program itu pada 27 Oktober 2023 lalu.


Guru sedang mengadakan sesi pembelajaran BCK di dalam kelas.


Penyelaras BCK, Rumaiza Che Daud, berkata tahap penguasaan membaca murid-murid lebih baik berbanding sebelum modul itu diperkenalkan.

Katanya lagi, murid-murid yang mengikuti program BCK  diberi perhatian khusus oleh guru yang berpengalaman.

"Program ini sangat baik kerana ia dapat membantu mereka (murid-murid) meningkatkan tahap penguasaan pembacaan kerana guru yang dipilih itu mempunyai banyak pengalaman dalam mengajar.

“Melalui BCK, guru dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada murid-murid bermasalah,” katanya.


Seorang murid sedang kusyuk mengikuti program BCK


Sementara itu, bagi penyelaras Program Celik Al-Quran, Wan Yusof Wan Hamat berharap YP dapat meneruskan usaha murni itu supaya lebih ramai murid termasuk kalangan anak-anak masyarakat Orang Aslil menjadi insan celik al-Quran.

"Sebelum ini, kami kekurangan tenaga pengajar dalam bidang ini dan usaha sama penganjuran program seumpama ini begitu diperlukan.

“Kami begitu berharap ia dapat diteruskan lagi bagi tempoh jangka masa yang lama,” katanya.

Semoga program seperti ini yang dilaksanakan YP dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dapat dapat disebarluaskan lagi pada masa hadapan, sekali gus merapatkan jurang kemahiran membaca antara murid. - KitaReporters


10
11
0
6
0

Copy Link: