Panel forum Inspirasi Keluarga Pejuang, Ustaz Ahmad Nu'man Mazlan (tengah), Shazamawati Zam Hashari (kanan) dan Shueib Sulaiman.


TARBIAH yang dilakukan terhadap kanak-kanak Palestin di masjid sejak mereka masih kecil menjadi kunci kepada kebangkitan perjuangan negara itu melawan tentera aparteid Israel. Ini mereka buktikan dalam serangan mengejut Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2023 lalu.

Pengasas Hamas, Ahmed Yassin memberi didikan agama dan tarbiah kepada mereka sebelum Hamas ditubuhkan malah ia dilakukan 20 atau 30 tahun sebelum Taufan Al-Aqsa. 

Inilah kanak-kanak yang dulunya mendapat tarbiah Ahmed Yassin, kini menjadi sebahagian pejuang Hamas yang menggegarkan Israel dalam perjuangan mereka.


Inilah wajah pejuang Islam masa depan yang membesar dengan roh Islam.


Mantan Pengerusi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan, Ustaz Ahmad Nu'man Mazlan, berkata pendekatan inilah yang dilakukan oleh pemimpin Hamas bagi mendekatkan anak-anak kepada roh Islam sebelum mereka membesar menjadi pejuang hebat yang tidak takut mati, sebaliknya mahu syahid.

Beliau berkata, walaupun pada awal penentangan, rakyat Palestin hanya menggunakan batu-batu kecil untuk melawan tentera Israel, tapi usaha dakwah berterusan menjadikan mereka pejuang terbaik untuk merobek kesombongan tentera Zionis itu. 

Sebahagian kanak-kanak yang mengambil bahagian sempena Program Syurga Keluarga Kita di Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor


"Dan, selepas penubuhan Hamas pada awal 1990-an, kegiatan itu berubah kepada perjuangan lebih keras termasuk melawan menggunakan senjata.

"Ciri-ciri yang ditanam kepada pejuang Hamas iaitu perlu memiliki akhlak Muslim yang terbaik seperti solat subuh berjemaah dan perlu menghafal al-Quran membentuk jati diri mereka sebagai pejuang hebat.

"Dan, peristiwa penentangan pada 7 Oktober lalu bukan secara spontan tapi sudah dirancang sejak sekian lama malah ramai di antara mereka tidak sabar untuk turun ke medan peperangan berjuang dan mati syahid selepas sekian lama terkurung di sebalik tembok batu di bumi sendiri. 

"Mereka sedar hanya dengan kekuatan al-Quran mampu menewaskan tentera Israel dan membebaskan bumi Palestin," katanya di forum Inspirasi Keluarga Pejuang sempena Program Syurga Keluarga Kita di Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor. 


Peserta Program Syurga Keluarga Kita menunjukkan salah satu surat yang ditulis untuk slot "Surat Cinta Untuk Gaza"


Seorang lagi ahli panel ialah Ketua Wanita ISMA dan Penceramah Kekeluargaan, Shazamawati Zam Hashari dan dipengerusikan oleh Shueib Sulaiman. 

Program anjuran Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA, Bangi itu turut mengadakan aktiviti lain yang disertai kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun, antaranya Abang Azzam Bercerita, Q-Tip Painting, Balloon Doodle, Surat Cinta Buat Gaza, Hafal Peta Palestin, Kolaj Bendera Palestin dan DIY Mafla.   

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA, Mior Anas Mohamed dan Pengarah Laman Nazim merangkap Setiausaha BKM, Engku Aeisyah Engku Zakir Hussein.


Sesi Bercerita Bersama Abang Azzam mendapat sambutan kanak-kanak yang tekun mendengar cerita disampaikan mengenai perjuangan rakyat Palestin.


Sementara itu, Shazamawati, berkata kaedah tarbiah yang dilakukan oleh ibu bapa di Palestin patut dipraktikkan di negara ini kerana ia amat baik bagi memberi ilmu agama, baik dan buruk kepada anak-anak sejak mereka masih kecil.

Bagaimanapun, katanya peringkat paling asas untuk mendapatkan anak cemerlang ialah ketika kita suami isteri bersama, berdoa sebelum melakukan hubungan kelamin kerana ia proses terawal permohonan kita kepada Allah. 

"Begitu juga ketika mengandung, sentiasa berdoa, berzikir dan membaca al-Quran kerana kita mahu anak bakal lahir nanti sihat, sempurna dan memiliki akhlak yang terpuji.  

"Apabila anak-anak berusia tujuh atau lapan, latih mereka untuk melakukan solat subuh, bawa anak-anak ke masjid atau surau. "Peringkat awal, memang sukar sikit kerana terpaksa bangun awal pagi ketika orang lain diulit mimpi tapi percayalah apabila dilakukan berterusan, kita akan nampak impaknya," tambahnya.


Peserta Program Syurga Keluarga Kita berbangga menunjukkan peta Palestin dan lokasi di negara itu yang mereka hafal.


"Begitu juga apabila memasukkan anak ke prasekolah, pastikan tadika itu mengamalkan pendidikan Islam, adab dan akhlak dalam Islam.

"Saya sendiri sanggup pergi dari satu tadika ke tadika lain semata-mata bagi memastikan silibus yang diajar menepati kehendak ibu bapa yang mahukan pendidikan Islam. 

"Tadika tidak semestinya mahal atau glamor kerana yang penting anak-anak dapat belajar pendidikan Islam, tahu nilai adab dan akhlak seperti berdoa ketika makan, berwuduk, solat dan perbuatan yang baik. Yang penting, anak-anak nanti membawa risalah Allah," kata Shazamawati lagi. 

"Apabila anak-anak masuk ke sekolah, katanya pastikan ibu bapa mempunyai hubungan baik dengan guru-guru, jangan suka mencari kesalahan mereka kerana guru-guru adalah "mata-mata" kita kerana sepanjang di sekolah, mereka bersama anak-anak kita.

"Saya selalu berjumpa guru-guru di sekolah anak-anak, bertanya khabar mereka, bercerita atau bertanya mengenai anak-anak kita. Insya-Allah ramai guru-guru yang sedia membantu jika kita pandai mengambil hati mereka," katanya. 


Dua kanak-kanak ini tekun menyiapkan mafla Palestin mengikut kreativiti mereka sempena Program Syurga Keluarga Kita di Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Sambil menyiapkan lukisan Masjidil Aqsa, sempat lagi kanak-kanak ini bergambar untuk kenang-kenangan.


Dalam perkembangan yang sama, Pengarah Program Syurga Keluarga Kita, Ahmad Muadz Nor Asri, berharap melalui pengisian yang diadakan itu, ia dapat memberi semangat kepada kanak-kanak kerana mereka pejuang Islam pada masa depan.

“Ibu bapa juga dapat manfaat dan ilmu melalui forum yang membariskan penceramah pengalaman dalam bidang masing-masing. 

"Kami hanya mengenakan yuran RM5 kepada setiap penyertaan tapi pengisian yang disediakan lengkap dan berbaloi. Ini kami lakukan bagi memastikan kanak-kanak dan ibu bapa yang hadir dapat manfaat dan ilmu secukupnya," katanya. - KitaReporters


Ahmad Muadz Nor Asri

20
13
0
11
0

Copy Link: