Terbaik UMT! Hasilkan aiskrim perisa baharu! Daripada buah gac! Baik untuk kesihatan mata, jantung!

Published by
KitaReporters


Aiskrim jenama BetaGag


KANDUNGAN beta karotena dan antioksidan yang tinggi dalam buah gac atau nama saintifiknya Momordica cochinchinensis mendorong sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menghasilkan aiskrim BetaGac daripada buah unik ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Chm. Dr. Marinah Mohd Ariffin berkata ia susulan kejayaan sekumpulan enam penyelidik universiti itu menghasilkan aiskrim BetaGac yang bagus untuk kesihatan manusia serta boleh mengurangkan risiko kesihatan berkaitan mata dan jantung.


Lagi


Prof Dr Marinah Mohd Ariffin


Menurutnya, aiskrim itu diformulasikan daripada aril atau selaput biji gac yang tinggi kandungan beta karotena dan antioksidan yang boleh mengurangkan risiko kesihatan berkaitan mata dan jantung.

"Kita jangka aiskrim ini akan mendapat permintaan yang meluas dalam industri makanan premium kerana kandungan khasiatnya yang mempunyai banyak kebaikan untuk kesihatan manusia.

"Namun, tanamannya masih terhad di Malaysia kerana tidak ramai yang mengenali buah gac sedangkan ia sangat popular di Vietnam dan Thailand hingga digelar sebagai 'superfruit' atau 'buah syurga' berikutan khasiatnya.

Oleh itu,katanya, UMT sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membantu golongan petani dan penduduk kampung menanam buah ini sebagai satu lagi sumber pendapatan baharu untuk mereka. 

Penyelidikan ini dijalankan dengan mengggunakan Geran Commercialization Initiative Fund (CIF) oleh enam penyelidik yang diketuai Dr. Faridah Yahya dan diikuti Prof. Madya Dr. Fauziah Tufail Ahmad, Dr. Ramisah Mohd Shah, Dr. Shayuti Mohamed Adnan, Dr. Azlinzuraini Ahmad dan Dr. Sarina.


Kumpulan penyelidik bersama Dr Marinah (tengah)


Dalam masa yang sama Dr. Faridah berkata buah Gac dapat dituai dalam jangka masa yang singkat iaitu lima bulan sahaja dan sehingga kini, proses penanamannya belum dibuat untuk projek komersil yang berskala besar.

Tambahnya ia ditanam di stesen penyelidikan Alami UMT di Bukit Kor, Marang untuk tujuan inovasi makanan premium ini dan penyelidikan berkaitan tanaman. Kami boleh memberikan bimbingan kepada komuniti yang berminat.

"Potensinya sangat besar dan wajar diterokai oleh penduduk Terengganu kerana ia mudah dijaga, tidak cerewet dan mempunyai permintaan tinggi dari industri," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, secara umumnya, satu bekas kecil aiskrim BetaGac dengan kandungan bersih 100 mililiter tersebut berharga dalam lingkungan harga RM7 hingga RM8 di pasaran bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang.

"Namun, buat permulaan, kami telah menjual aiskrim BetaGac sejak 1 November (2022) lalu dengan harga RM5 sahaja iaitu harga yang disubsidi oleh geran pengkomersialan," ujarnya.


Ketua Projek Dr Faridah Yahya


UMT berhasrat untuk menjual lesen kepada pengedar ataupun pengeluar aiskrim tempatan dan membuat jaringan kerjasama antara industri dan universiti serta menyediakan beberapa model perniagaan yang khusus bergantung kepada keperluan pasaran.

Mengakhiri perbualan, Dr. Faridah menyeru kepada pengusaha aiskrim tempatan terutama yang sedang mencari kelainan produk terutama dalam bentuk ‘healthy lifestyle’ (gaya hidup sihat) untuk menghubungi kumpulan penyelidik ini untuk perbincangan lanjut. - KitaReporters


Khasiat dari buah Gac

 

13
12
1
13
0

Copy Link: