Sekolah terpaksa ditutup! Gara-gara cikgu arah murid tampar rakan sekelas! Secara bergilir-gilir!

Published by
KitaReporters


SEBUAH sekolah persendirian di negeri Uttar Pradesh, India terpaksa menutup operasi susulan tindakan kontroversi yang berlaku di premis itu apabila seorang guru wanita mengarahkan muridnya secara bergilir-gilir menampar rakan sekelasnya yang beragama Islam.

Penutupan Sekolah Awam Neha itu dilakukan berikutan kontroversi yang berlaku selain mendapati tidak memenuhi kriteria Jabatan Pendidikan selepas beroperasi di sebuah rumah teres dua tingkat di bandar Muzaffarnagar, Uttar Pradesh.



Malah, kesemua murid di sekolah berkenaan akan dipindahkan ke sekolah kerajaan atau sekolah berhampiran di kawasan tersebut. 

Memetik portal nationalheraldindia.com, kejadian berkenaan yang berlaku 25 Ogos 2023 lalu berpunca daripada mangsa didakwa tersalah ketika melakukan kira-kira bagi subjek Matematik.

Situasi itu menyebabkan guru wanita beragama Hindu itu mengarahkan rakan sekelasnya memukul mangsa yang berdiri sambil menangis.

“Kenapa awak pukul pada pipi perlahan-lahan? Pukul dia dengan kuat,” demikian arahan guru terbabit.



Kejadian berkenaan kemudian tular dalam media sosial dan bapanya murid malang yang berusia lapan itu kemudian membuat laporan polis di atas tindakan guru yang keterlaluan.  

Insiden itu telah mencetuskan kemarahan beberapa pihak dengan beberapa ahli politik pembangkang menggelar tindakan itu sebagai ‘jenayah kebencian'. 

Sementara itu, guru yang terlibat dalam kes kontroversi tersebut yang dikenali Tripta Tyagi kekal mempertahan tindakannya dan mengakui tidak terkesan serta tidak malu dengan perbuatan yang dilakukan. 

Menerusi temu bual dengan saluran berita NDTV, dia menjelaskan tindakan itu dilakukan untuk ‘mengawal’ murid di sekolahnya, selain mahu memberi pengajaran kepada murid-murid  supaya memberi tumpuan ketika dia mengajar di dalam kelas.



Pastinya mangsa tadi trauma untuk ke sekolah lagi selepas ini, biarlah apapun alasan mendidik bukanlah dengan cara yang kasar tetapi perlu kaedah yang tegas tetapi tidak mencederakan. 

Semoga kejadian itu yang terakhir berlaku dan tiada lagi kisah sama yang mampu menghancurkan semangat anak-anak dalam proses mencari ilmu. - KitaReporters


15
12
0
6
1

Copy Link: