Syarikat India henti terima tempahan aparteid Israel! Tak sanggup tengok rakyat Gaza terus sengsara!

Published by
KitaReporters

 


SIAPA sangka, sebuah syarikat pembekal pakaian India yang selama ini lebih lapan tahun bekerjasama dengan negara aparteid Israel untuk menyediakan puluhan ribu pakaian seragam setiap untuk kegunaan tentera di negara itu akhirnya membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama dalam perniagaan tersebut.

Memetik Arabnews.com, langkah yang dibuat Maryan Apparel Private Limited yang beroperasi di wilayah Kannur, Kerala, selatan India itu berikutan tidak tahan melihat kezaliman dan sikap tidak berperikemanusiaan negara Zionis Israel yang berterusan membunuh dan bersikap kejam terhadap rakyat di Palestin.



Pengarah syarikat berkenaan, Thomas Olickal berkata, keputusan untuk menghentikan mengambil tempahan berikutan pengeboman Hospital Al-Ahli al-Arab di Gaza sehingga mengorbankan penduduk yang tidak bersalah terutama wanita, kanak-kanak dan warga emas.

“Tindakan kejam dan membunuh rakyat yang tidak bersalah di Gaza adalah punca kepada syarikat kami membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan pelanggan ini,” katanya.



Maryan Apparel, yang mempunyai 1,500 orang kakitangan yang kebanyakan terdiri kaum wanita merupakan kilang yang menyediakan fabrik kalis api untuk kegunaan pasukan seragam, pekerja di kilang penapisan petroleum, pasukan doktor dan jururawat.

Antara pelanggannya setia syarikat tersebut ialah anggota bomba dan hospital di Arab Saudi, penguat kuasa undang-undang di Qatar dan syarikat keselamatan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

 Syarikat tersebut juga turut membekalkan kepada rakyat negara aparteid ISrael itu dengan kira-kira 100,000 pakaian seragam setahun sejak 2015.



Komitmen untuk menghentikan tempahan berkenaan semestinya memberi tamparan kepada operasi negara pengganas itu.

"Saya tidak dapat melihat gambar kanak-kanak dan wanita yang menangis kesakitan dan tanpa ubat dan makanan," kata Olickal. 

Sehingga hari ini, Ahad, 22 Oktober 2023 lebih 4,200 rakyat yang tidak bersalah di Gaza menjadi syahid dan lebih ribuan yang lain cedera.

Semoga penarikan syarikat India itu memberi  titik tolak dan kesedaran kepada negara aparteid Israel untuk menghentikan pendudukan dan penjajahan ke atas Palestin. - KitaReporters.


12
8
0
12
0

Copy Link: