Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa Dan Perpaduan Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh Datuk Rizam Ismail akan menganjurkan Fiesta Sate Selangor 2023 (FSS 2023) yang akan berlangsung di Pantai Bagan Lalang, Sepang, Selangor pada 16 September 2023 ini, bermula dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

FSS2023 dijangka akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Dato’ Seri Amiruddin Shari, Menteri Besar Selangor.

Acara ini antara lain merupakan percubaan Kerajaan Negeri Selangor untuk mencatat rekod Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu “Largest Satay Eating Session” di mana 100,000 cucuk sate akan dihidangkan kepada para pengunjung. 

Percubaan ini adalah berikutan kejayaan pengiktirafan MBOR untuk hidangan 2,022 dulang nasi ambeng pada tahun lepas (2022).

Selain itu, FSS 2023 akan turut berlangsung dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan artis, persembahan kebudayaan, gerai jualan, pameran, cabutan bertuah, dan pertandingan pakaian beragam. 

Sehubungan dengan fiesta ini juga Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor (PADAT) akan turut mempersembah demonstrasi penyediaan sate.



Pengunjung juga berpeluang untuk menyertai pertandingan video pendek dalam media sosial dengan tema "Hari Malaysia dan Kita Selangor". 

Pengunjung yang berminat untuk menyertai pertandingan ini hanya perlu menghasilkan video pendek berdurasi tidak lebih dari 60 saat dan mestilah mengandungi unsur sate dan dimuat naik ke akaun media sosial dengan menggunakan hashtag #ContestSateSelangor2023. Video pendek yang terpilih berpeluang untuk menang pelbagai hadiah menarik!

Rakyat Negeri Selangor juga berpeluang untuk bersama-sama menyaksi dan meraikan pengumuman rasmi rekod dan penyampaian Sijil MBOR yang dijangka akan berlangsung semasa acara ini.

100,000 cucuk sate akan disedia dan diedarkan secara percuma kepada semua pengunjung, oleh itu, Rakyat Negeri Selangor dijemput untuk datang beramai-ramai dengan rakan-rakan dan keluarga untuk turut sama memeriahkan fiesta ini. 

Untuk pendaftaran awal dan maklumat lanjut mengenai Fiesta Sate Selangor 2023, sila layari laman web di https://mkns.my/Satay2023/ - KitaReporters/Kenyataan Media

4
18
0
7
0

Copy Link: