Dari kiri, Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin; Nor Sharizan Sulaiman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad (tengah); dan Dr Anuar Sani Pengarah Pusat Keusahawanan Universiti USIM 


Selari dengan gagasan yang dibawa oleh universiti untuk melahirkan prosumer Muslim yang berjaya dalam aspek keusahawanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan program inkubator bakeri dan kafe, Program Prosumerisme: Latihan Bakeri Asnaf USIM – Maybank Islamic Berhad (MIB) baru-baru ini.  

Program yang diterajui di bawah Pusat Keusahawanan Universiti USIM (PKUU) ini telah membangunkan kafe yang pertama di kampus yang dinamakan Genba Bakery, bertempat di Pusat Keusahawanan Pelajar (Student Mall)

Bakeri ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.  


Menurut Naib Canselor USIM Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin, dalam satu kenyataan media pada 28 April 2022, seramai 80 orang pelajar asnaf di USIM daripada pelbagai fakulti telah berjaya melengkapkan 5 modul secara teori serta praktikal secara intensif dan mereka kini aktif membuat jualan sempena perayaan Aidilfitri dengan menjual pelbagai jenis kuih raya seperti tart nenas, ferrero rocher cookies dan biscoff butter cookies.  

“Genba Bakery memulakan operasi dengan menganjurkan latihan bakeri yang dikenali sebagai Program Prosumerisme: Latihan Bakeri Asnaf USIM-MIB Genba Bakers yang mendapat tajaan dana zakat berjumlah RM500,000 daripada Maybank Islamic Berhad selain turut mendapat kerjasama daripada Pusat Wakaf dan Zakat USIM,” ujarnya dalam kenyataan itu.   

Dalam majlis yang sama, turut diadakan Majlis Berbuka Puasa bersama para peserta dan pengurusan MIB, di mana Program Prosumerisme: Latihan Bakeri Asnaf USIM-MIB itu telah dirasmikan oleh Nor Sharizan Sulaiman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad. - KitaReporters


19
13
0
16
0

Copy Link: