Tak salah bela kucing! Tapi jangan sampai aniaya dan susahkan jiran! Sihat dibelai! Sakit dibuang!

Published by
KitaReporters


Ramai antara kita suka memelihara haiwan peliharaan yang jinak, manja dan comel. Antara haiwan peliharaan paling popular dibela di negara kita ialah kucing. 

Sifat manja dan comel antara tarikan utama kenapa kucing paling banyak dibela. Malah, saat kucing peliharan pergi buat selama-lamanya, ia memberi kesan mendalam terhadap tuannya. Itu bukti betapa kucing sangat disayangi kebanyakan orang.

Namun, membela haiwan peliharaan seperti kucing memerlukan komitmen dan tanggungjawab. Jangan bela kucing hanya semata-mata mengikut trend sahaja. 

Apabila membela haiwan tanpa rasa tanggungjawab, maka terjadilah perkara yang tidak diingini seperti menganiaya haiwan tersebut dan tidak menjaganya dengan baik sehingga menyusahkan jiran tetangga.


Si comel ini dibuang apabila tuannya tidak lagi mampu menjaganya. - Kredit foto: IG animalmalaysia


Ada orang hanya mahu membela kucing-kucing comel dan mahal sahaja sedangkan kucing-kucing domestik atau kucing kampung disisihkan dan diseksa. Ada juga ketika kucing peliharaan masih sihat, dibelai dan apabila sakit, ia dibuang tanpa rasa bersalah. Baru-baru ini Instagram milik ‘animalmalaysia’ berkongsi gambar dan keadaan seekor kucing baka Parsi Flat Face yang dibuang kerana berpenyakit. Keadaan kucing tersebut sangat menyedihkan kerana ditinggalkan dalam keadaan kebuluran dan kehausan.


 


Kucing tersebut dibuang mungkin disebabkan tuannya tidak mampu merawat dan menjaganya kerana kucing spesis ini memerlukan kos penjagaan yang tinggi seperti mandian dan perapian. 

Rata-rata netizen bersimpati dengan keadaan kucing tersebut. Mereka berpendapat, jangan sesekali membela haiwan peliharaan sekiranya anda tidak mampu menjaganya.

Selain tidak menganiaya haiwan peliharan, anda juga bertanggungjawab memastikan kucing-kucing yang dibela tidak menyusahkan jiran tetangga. 

Ramai yang membela kucing tetapi membiarkannya bebas. Apatah lagi kalau anda tinggal di rumah pangsa dan teres, pastikan kucing-kucing peliharaan tidak berkeliaran bebas sehingga membuang najis di rumah jiran. 

Dapat jiran yang memahami, baguslah. Namun kalau sebaliknya, pasti akan menimbulkan perbalahan.


Ada antara pembela kucing tidak mampu menampung kos perubatan kucing yang mahal dan akhirnya membuangnya. - Kredit foto: Google Image


Dalam Islam, hubungan baik antara jiran sangat dititikberatkan. Kita dilarang menyakiti hati jiran dengan apa cara sekalipun. Namun, kadang-kadang kita tak sedar ada perkara yang kita rasa kecil sebenarnya membuatkan jiran kita tertekan dan menyusahkannya.

sehubungan itu, sebelum mengambil keputusan untuk memelihara kucing atau haiwan peliharaan lain, kena tahu apakah anda mampu menjaganya dengan baik dan tidak menyusahkan jiran tetangga. Ini kerana menjaga hati jiran juga adalah perkara wajib. 

Sedia maklum, najis kucing sangat busuk dan kalau tidak dijaga dengan betul, kucing suka membuang najis di merata tempat termasuk kawasan rumah jiran. Malah, ada kucing yang memasuki rumah jiran untuk ‘mencuri’ makanan. 

Percaya atau tidak, sudah banyak berlaku kes pertelingkahan sesama jiran akibat perkara ini.


Latih kucing anda membuang najis di tempat yang sepatutnya agar tidak mengganggu jiran tetangga. - Kredit foto: Google Image 


Jadi, kalau korang tetap mahu bela haiwan peliharan seperti kucing, korang kena ikuti langkah-langkah yang diberi di bawah ini:

Letak dalam sangkar

Dah namanya haiwan, mana ada akal fikiran. Jadi, sebagai tuan, anda kena bijak menjaganya. Sediakan sangkar atau letakkan kucing-kucing di tempat khas supaya tidak berkeliaran bebas. 

Jangan bagi alasan tiada modal untuk beli sangkar kerana sebelum ambil keputusan untuk membelanya, anda awal-awal lagi perlu memikirkannya.

Sediakan tempat buang najis

Walaupun tidak mempunyai akal, kucing akan jadi pandai kalau kita didik. Ajar kucing-kucing buang najis di tempat yang betul. Sediakan tandas untuk mereka. 

Di kedai menjual barang-barang haiwan peliharan, ada jual pasir khusus untuk kucing buang najis. Jadi, tidak timbul lagi kucing anda buang najis di kawasan rumah jiran. 

Beri makanan berkhasiat

Berikan makanan berkhasiat yang dijual di kedai-kedai haiwan peliharaan. Jadi, tiada kes kucing-kucing anda pergi ‘serang’ rumah jiran ‘curi’ makanan. Biasanya kalau anda bagi makanan berkhasiat, mereka tak pandang dah makanan lain. 

Apabila anda dah sediakan semua ini, insya-Allah kucing anda takkan menyusahkan jirang tetangga lagi. - KitaReporters


Sediakan sangkar khusus agar kucing anda tidak berkeliaran di rumah jiran. - Kredit foto: Google Image

14
20
0
14
1

Copy Link: