Persekitaran Tasik Chini yang separuh gondol. Kredit foto - Aku Anak Pahang Blogspot


SEKIAN lama sepi bagai hilang daripada radar, tiba-tiba Tasik Chini, Pekan, Pahang menjadi tajuk berita dalam media arus perdana dan sosial

Ini berikutan tersiar dalam media sosial beberapa keping gambar persekitaran Tasik Chini yang menampilkan suasana separuh gondol beriringan gambar lama  yang hijau melata. 

Kalangan pencinta alam, mempersoal apa sebenarnya terjadi pada Tasik Chini yang kian hilang nilai keaslian alam semula jadi, sehingga menarik perhatian Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat melawat ke Tasik Chini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan alam sekitar


Soal masalah pencemaran alam sekitar di Tasik Chini bukanlah satu perkara yang baharu. Kemerosotan alam sekitar di Tasik Chini, sudah berlarutan hampir satu dekad, yang terjejas sedikit demi sedikit. 

Kini dikatakan, musim bunga teratai di Tasik Chini yang menjadi tarikan atau sumber ekopelancongan destinasi itu semakin tidak bermakna kerana tumbuhan itu kian sukar hidup. Perubahan dari segi kualiti air dan habitatnya, dikatakan punca masalah itu.

Pada tahun 60-an dan 70-an persekitaran Tasik Chini masih lagi asli, difahamkan ketika itu keadaan air tasik masih asli, bersih dan berkualiti. 

Ia belum tercemar seperti mana sekarang, justeru persekitaran tasik pada waktu itu bersuasana asli dan semula jadi yang bertukar ragam mengikut musimnya. 

Ada waktu Tasik Chini menjadi seakan taman apabila permukaan dipenuhi bunga teratai yang subur, hijau dan berwarna terserlah melalui dedaun dan kelopak. Pada masa dulu, musim teratai yang ditunggu-tunggu oleh pencinta alam Tasik Chini adalah dari bulan Jun hingga September.


Tasik Chini ketika air keruh. - Kredit Foto - Kelanafana.blogspot


Tasik Chini adalah tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia

Bagi yang pernah ke sana pada waktu itu pasti teringat-ingatkan keindahan suasana tasik, sehingga ada membuat lawatan ulangan pada musimnya. 

Keadaan sebegitu merupakan satu tarikan yang mungkin tidak ada di tempat lain dan tidak hairanlah menjadi perhatian pihak tertentu untuk menaikkan martabat Tasik Chini di mata negara dan dunia. 

Maka Tasik Chini disenaraikan dalam Program Manusia dan Biosfera (MAB) yang dilancarkan pada tahun 1971. Ia adalah satu program saintifik Kerajaan di bawah Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menyediakan asas saintifik untuk pengurusan, pendidikan dan penyelidikan bagi memulihara dan menggunakan sumber asli secara mampan selain bertujuan memperbaiki pertalian antara manusia dengan alam sekitar dengan mengimbangkan keperluan pembangunan dan penjagaan alam sekitar.


Sekumpulan media dan bloggers sewaktu dibawa melawat ke Tasik Chini. Kredit Foto - Rashidah Ibrahim


Memetik laporan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, terdapat 651 tapak rizab biosfera dari 120 negara di dunia

Malaysia menyertai Program MAB pada tahun 2009 dengan mencalonkan Tasik Chini, Pahang sebagai tapak rizab biosfera pertama di MalaysiaDiikuti Banjaran Crocker di Sabah yang berjaya disenarai sebagai tapak rizab biosfera kedua Malaysia pada 2014

Fungsi Tapak Rizab Biosfera adalah:

1. Pemuliharaan dan konservasi biodiversiti.

2. Menyokong pembangunan lestari.

3. Sokongan logistik (sebagai pusat pembelajaran, latihan, penyelidikan dan sebagainya) Rizab Biosfera Tasik Chini.

Meliputi keluasan seluas 6,922.97 hektar, tasik itu akhirnya telah diwartakan sebagai tapak rizab biosfera pertama di Malaysia pada 26 Mei 2009. 

Ada 104 spesies pokok terancam, 304 spesies haiwan bukan akuatik dan 144 spesies ikan air tawar di tasik itu. Kekayaan sumber alam ini telah menjadikannya salah satu destinasi ekopelancongan di Malaysia

Hakikatnya untuk mendapatkan pengisytiharaan seperti itu tentulah sangat sukar, pastinya perlu memenuhi kriteria ketat yang telah ditetapkan, justeru apabila Tasik Chini berjaya diwartakan sebagai tapak rizab biosfera pertama di Malaysia pada 2009, pastinya sesuatu yang sangat membanggakan kita semua. 

Bukankah perisytiharaan itu sekali gus melayakkannya mendapat dana khas untuk memulihara dan membangunkan keaslian tasik? 


Pemandu bot hilang punca rezeki dengan ketiadaan pelancong di Tasik Chini. Kredit foto - Varia Seri


Menyepi sekian lama, tahu-tahu kemudiannya diberitakan Tasik Chini mengalami masalah pencemaran air dan menjadi rungutan penduduk asli di situ, manakala persekitarannya terancam oleh kegiatan perlombongan manusia.

Pada hal, semestilah taraf keaslian alam sekitarnya perlu terus dijaga agar kekayaan sumber alamnya dapat berterusan menjadikan Tasik Chini yang dibanggai sebagai destinasi ekopelancongan di negeri Pahang dan Malaysia.

Kunjungan ke Tasik Chini sekitar pertengahan tahun 2014, airnya tidaklah terlalu keruh, namun sudah terdengar sungutan tasik itu sebenarnya sudah ada tanda terjejas, dek kegiatan manusia di persekitaran.  

Atas faktor Tapak Rizab Biosfera menyebabkan Tuanku Pemangku Raja Pahang memberi perhatian terhadap masa depan Tasik Chini. 

Dan tentunya, Persatuan Pencinta Alam Sekitar Malaysia (MNS) menjunjung kasih serta menyambut baik titah Tuanku berkait isu alam sekitar di Tasik Chini, Pekan, Pahang baru-baru ini.


Menaiki bot menyusuri celah lorong pokok akua yang subur, pengalaman mengujakan di Tsik Chini. Kredit gambar - Rashidah Ibrahim


"Saranan baginda agar aktiviti perlombongan punca ancaman di kawasan Tasik Chini dihentikan seharusnya ditangani dengan jaya oleh pihak kerajaan," kata Presiden Prof Dr Ahmad Ismail secara eksklusif kepada KitaReportes pada Isnin, 14 Jun 2021.

Menurutnya, titah baginda amat bertepatan semoga selepas ini tiada lagi aktiviti yang boleh mencemarkan Tasik Chini dalam usaha mempertahankannya sebagai Tapak Rizab Biosfera UNESCO yang pertama di Malaysia.

"Bak kata Tuanku, semua pihak berkaitan sama ada pada peringkat negeri dan Persekutuan perlu mempertahankan permata alam sekitar itu agar keindahan flora dan fauna serta penempatan masyarakat Orang Asli di sekitarnya terus dipelihara," tambahnya.


Musim bunga teratai di Tasik Chini. Tumbuhan ini boleh terjejas dengan kemerosotan mutu air tasik. Kredit gambar - Pusat Penyelidikan Tasik Chini UKM


Difahamkan perisytiharaan Status Tasik Chini sebagai Tapak Rizab Biosfera oleh UNESCO perlu melalui proses penilaian yang dilakukan 10 tahun sekali oleh UNESCO. Dalam kes Tasik Chini sepatutnya pada 2019.  

Dengan kegiatan penerokaan termasuk perlombongan yang telah menjejaskan keaslian tasik, maka usaha baik pulih sewajarnya dilakukan segera, kerana dibimbangi UNESCO menarik balik status rizab biosfera Tasik Chini

Tasik Chini adalah salah satu daripada 12 tasik yang berdekatan dengan Sungai Pahang (di tengah negeri Pahang). Ia adalah tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera. 

Persekitarannya didiami Orang Asli suku Jakun, iaitu 800 orang pada 2016, dan terkini tidak tahu berapa ramai bertahan tinggal di kawasan itu.

Semoga rancangan untuk membaik pulih seperti diumum baru-baru ini, berjalan lancar dan menjadi kenyataan agar ada sinar di hujung terowong bagi Tasik Chini. - KitaReporters


Keseronokan berada di taman teratai Tasik Chini. - Kredit foto: Travelpahang-ruslan.blogspot

1
0
0
0
1

Copy Link: