TIADA acara rasmi kerajaan termasuk Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri yang dijadual di Putrajaya, pada Khamis, 13 Mei 2021 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dilaksanakan di Kuala Lumpur bermula Jumaat, 7 Mei 2021.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, majlis solat tarawih menteri dan timbalan menteri bersama Yang di-Pertuan Agong turut dibatalkan.

Tegas beliau, sebarang penganjuran acara sosial oleh rakyat sepanjang tempoh PKP di Wilayah Persekutuan perlu ditangguhkan, bagi membendung penularan Covid-19 yang semakin meningkat di ibu negara.

"Mulai Jumaat, 7 Mei semua acara dan majlis berbuka puasa hendaklah dibatalkan. Perjumpaan ramai dan besar-besaran mesti dibatalkan. Sebarang perhimpunan beramai-ramai kita kena elakkan.

"Saya menyeru pada rakyat di Kuala Lumpur supaya semua program sosial boleh tangguh, boleh dielak, tolong batalkan. Galakkan semua duduk di rumah sekurang-kurangnya untuk dua minggu ini," katanya di Kuala Lumpur, pada Rabu 5 Mei 2021.

Terdahulu beliau hadir Program Prihatin Ramadan Wilayah Persekutuan di Pusat Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagi Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri, penilaian risiko akan dibuat dan jika ada keperluan kepada arahan penutupan, tindakan akan dilakukan.

"Ada dua bazar Ramadan sudah ditutup selain beberapa pasar raya. Ada dua pasar raya yang merekodkan kehadiran 700 kontak rapat dan mereka yang positif sudah berkunjung ke sana.

"Kerajaan serba salah. Kalau mahu hentikan jangkitan semua duduk rumah, tiada pergerakan, boleh. Tapi kita tahu ia tidak munasabah dengan terus dengan keadaan berkurung begini, tidak dibenarkan berniaga, tidak pergi ke sekolah, sukar," katanya.

Hampir semua kawasan di Kuala Lumpur sudah berada dalam zon merah dan jika tiada langkah drastik diambil, selepas Aidilfitri kes baharu Covid-19 akan mencanak naik.

Sehubungan itu beliau menggesa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil tindakan tertentu bagi menangani keadaan.

"MKN perlu ambil satu tindakan tertentu. Kita perlu kawal keadaan yang pelik dan sukar ini. Ini bukan satu benda mudah untuk dilaksanakan," katanya. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

0
0
1
1
0

Copy Link: