AMWAY Malaysia Sdn Bhd (Amway Malaysia), sebuah syarikat berasaskan kesihatan dan kesejahteraan terus menyokong usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyantuni komuniti yang terkesan oleh pandemik Covid-19 dengan memperkasakan penduduk projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong, Kuala Lumpur melalui program keusahawanan. : KitaReporters


Kredit foto: FB Hezleen Hassan


Lagi cerita-cerita berkaitan Amway:

https://kitareporters.com/search?search=amway


“Pada kala ketidaktentuan dalam pasaran pekerjaan di samping cabaran kesihatan serta ekonomi, Amway Malaysia berhasrat untuk memimpin komuniti yang terjejas ke arah kebebasan kewangan dan kemandirian. 

“Sejak Mac 2020, kami telah menyumbang kepada komuniti yang terjejas oleh Covid-19 dalam bentuk kelengkapan perlindungan peribadi dan makanan berkhasiat. 

"Kini, kami ingin mewujudkan sebuah platform mampan yang berpotensi meningkatkan peluang pendapatan mereka. Usaha ini, kami harap dapat meningkatkan kualiti hidup mereka, di sebalik cabaran kewangan yang disebabkan oleh penutupan perniagaan terutamanya sektor peruncitan,” ujar Mike Duong, Pengarah Urusan Amway Malaysia, Singapura dan Brunei dalam satu kenyataan media.


Mike Duong (kiri) dan Hezleen Hassan (kanan). - Kredit foto: Amway Malaysia


Menurut beliau, keusahawanan merupakan tunjang utama Amway Malaysia. Syarikat tersebut kini mempunyai lebih 260,000 Pemilik Perniagaan Amway (ABO) di seluruh negara.

“Keusahawanan sememangnya merupakan kekuatan Amway. Dengan berkongsi kepakaran dan solusi perniagaan kami, kami berharap untuk memberi inspirasi dan memanfaatkan bakat dan kebolehan dalam kalangan komuniti yang terjejas, terutamanya golongan suri rumah dan mereka yang terjejas sumber pendapatan akibat pandemik ini. 

"Dengan memulakan perniagaan kecil pilihan sendiri, mereka berpotensi mengurangkan beban kewangan pada kala krisis ini,” ujar beliau lagi. 

Keyakinan terhadap kebolehan dan bakat keusahawanan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terjejas ini berdasarkan hasil laporan dari Laporan Keusahawanan Global Amway 2020.

Menurut laporan tersebut, 82% dari responden di Malaysia mempunyai hasrat untuk menjadi usahawan, selaras dengan respons tahun-tahun yang lepas (2018: 81%; 2016: 82%; 2015: 82%). 67% dari responden di Malaysia percaya mereka memiliki keupayaan untuk memulakan perniagaan, sama seperti respons tahun-tahun yang lepas (2018: 63%; 2016: 63%; 2015: 69%).

55% responden percaya mereka memiliki sumber yang diperlukan untuk memulakan perniagaan, dan 77% berpendapat bahawa mereka tidak akan mengabaikan impian mereka untuk memiliki sebuah perniagaan walaupun mendapat tentangan dari keluarga dan rakan-rakan. 

Kadar ini hampir sama dengan respon tahun-tahun lepas (2018: 72%; 2016: 65%; 2015: 67%).  79% dari responden menyatakan bahawa mereka akan memanfaatkan lingkungan sosial mereka (keluarga dan rakan) jika memulakan sebuah perniagaan. 



“Bagi pihak JKM, kami sangat berterima kasih dengan adanya organisasi seperti Amway Malaysia yang konsisten dalam menyokong usaha kami untuk membantu komuniti yang memerlukan. 

"Bantuan bakul makanan berkhasiat serta bimbingan keusahawanan pada saat perubahan dalam dalam tempoh pandemik ini, mampu membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi keluarga di PPR Intan Baiduri,” kata Hezleen Hassan, Pengarah JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam kenyataan media yang sama. 

Untuk menangani keperluan nutrisi dalam kalangan komuniti, Amway Malaysia dengan kerjasama rakan perniagaan jangka panjang mereka, Philips Malaysia, Noxxa Products Sdn Bhd dan Orion Food Specialities Sdn Bhd telah menyumbangkan 100 bakul makanan bernilai RM45,000 yang mengandungi produk makanan beserta cecair pencuci tangan (hand sanitizer) Pursue Amway, Nutrilite Bio C Plus All Day Formula, Nutrilite Kids Chewable Natural C dan Vergold Granola Mix Seeds & Cranberry.

“Keupayaan untuk kekal sihat sangat penting dalam menghadapi pandemik ini. Kami sangat berbesar hati untuk membantu keluarga di PPR Intan Baiduri dalam memastikan mereka memperoleh kandungan nutrisi yang seimbang dalam usaha mereka untuk menangani cabaran kewangan yang sedang dihadapi,” kata Mike, seperti dipetik dalam kenyataan media. 



Bakul makanan tersebut diagihkan sempena program Kembara Prihatin Negara anjuran JKM di PPR Intan Baiduri. Sumbangan tersebut diterima oleh Nazarudin Samad, Pengerusi Surau Al-Hijrah, PPR Intan Baiduri bagi pihak penduduk.  

Digerakkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Kemajuan Masyarakat (KPWKM), Program Kembara Prihatin Negara menyasarkan untuk menyantuni sejuta rakyat Malaysia yang memerlukan

Sumbangan kali ini, merupakan kesinambungan dari siri sumbangan oleh Amway Malaysia pada tahun 2020 dengan jumlah sumbangan tunai dan barangan berjumlah lebih RM3 juta. 

Pada tahun 2020, Amway Malaysia telah menyumbang 250 unit penapis udara Atmosphere bernilai RM1.4 juta kepada KKM dan mengumpul dana sebanyak RM326,940 bagi pembelian 6,500 unit kit ujian untuk Pusat Perubatan Universiti Malaya. 

Selain daripada hospital kerajaan, Amway Malaysia juga telah menyumbangkan 25 unit penapis udara kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan 71 unit kepada pusat perlidungan seliaan JKM di seluruh negara. - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: